BAB SATU
Fikri sudah buntu untuk menasihati
Ahmad Rafiq. Semakin dinasihati, pasti ada sahaja kata-katanya yang mematikan
hujah Fikri. Sekarang terserah sahabatnya lagi. Fikri sudah angkat tangan.
“ Kau pasti dengan keputusan kau
Rafiq ? Kau tahu kan , apa impak daripada keputusan kau tu ?”
“ Kau boleh tak jangan cakap dengan
aku macam lah aku ni tak tahu hukum ? Aku dah fikir dah masak-masak. Aku akan
tinggalkan Qusyairah. Dia layak diperlakukan macam tu.”
“ Cuma aku nak kau cerai talak biasa
sahaja. Tak payahlah kau nak jatuhkan lian ke atas dia. Kita pun tak tahu lagi
apa yang sebenarnya berlaku.”
“ Jadi kau nak cakap yang Qusyairah
tu tak buat perkara yang terkutuk tu ? Fikri, aku dah siasat benda ni.
Qusyairah tu ditemui berdua dalam khemah dengan jantan mana entah, bukan
berzina ke ?”
“ Kau tak tahu apa yang berlaku
sewaktu tu. Kau tak pernah beri peluang untuk dia jelaskan semua.”
“ Semuanya dah jelas Fikri. Dan aku
pasti, anak dalam kandungan Qusyairah tu bukan milik aku. Kami baru sahaja
sekali bersama dan aku kena balik ke Mesir. Dan tak lama lepas tu, dia balik ke
Indonesia. Kau tak rasa apa perasaan aku sewaktu ni Fikri. Sewaktu aku dapat
berita dia mengandung, aku gembira sampai tak sabar nak balik Malaysia. Bila
dah jadi macam ni, hati aku tawar. Aku rasa tertipu dengan penampilan solehah
si Qusyairah tu.”
“ Aku bukannya apa. Sebagai seorang
peguam syarie, aku dah banyak menyaksikan episod-episod penceraian di depan
mata. Tapi, ini kali pertama aku handle kes lian. Dan aku syorkan, kau jatuhkan
talak sahaja tanpa perlu lian. Sebab apa, sekali kau dah melaknat Qusyairah,
kau takkan boleh kembali bersama dia selama-lamanya dan kau takkan ada hak ke
atas anak dalam kandungan Qusyairah. Sekurang-kurangnya kalau kau jatuhkan
talak, masih ada tempoh iddah dan dalam tempoh tu, kita boleh buktikan melalui
ujian DNA jika anak itu adalah anak kau dan Qusyairah. ”
“ Tapi bagaimana sepanjang tempoh
ini, anak dalam kandungan Qusyairah mati ? Orang kalau dah buat perkara
terkutuk, tak mustahil untuk tutup kesalahan dia sanggup lakukan apa sahaja.”
“ Astargfirullahalazim. Jangan tuduh
melulu. Kau yakin ke saksi-saksi yang dihadapkan tu semuanya tsiqah ?”
“ Fikri, orang yang ada menjadi
saksi sewaktu Qusyairah ada di sana, bukan orang lain. Anak saudara aku. Apa
kepentingan untuk dia berbohong. Lagi satu, Qusyairah sebagai wanita yang dah
bergelar isteri orang, berstatuskan pelajar agama, hukum keluarga , takkan tak
jelas tentang ikhtilat dan perkara yang boleh mendatangkan fitnah ? Aku tetap
dengan keputusan aku. Erm, aku dah lewat ni. Aku balik dulu. Esok kita jumpa di
mahkamah. Assalammualaikum.”
“ Waalaikumsalam.” Lemah sahaja
suara Fikri. Tangan yang dihulur untuk dijabat juga disambut biasa. Tidak semesra
dahulu. Fikri kasihankan Qusyairah. Namun, apakan daya, Ahmad Rafiq itu
sahabatnya. Dalam keadaan seperti ini, pasti sahabatnya itu lebih
memerlukannya.
Fikri mencapai telefon bimbitnya.
Dia menghubungi Qusyairah. Jelas kedengaran suara Qusyairah seperti baru
selesai menangis.
“ Assalammualaikum.”
“ Waalaikumsalam. Abang Fikri kenapa
call ?”
“ Tak ada. Cuma nak tanya Qusyairah
dah bersedia untuk esok ?”
“ InsyaAllah. Allah Maha Mengetahui
segalanya. Qusyairah tak paksa sesiapa untuk percaya. Tapi, Qusyairah yakin,
suatu hari nanti, semuanya akan jelas.”
“ Maafkan abang, Qusyairah. Abang
tak mampu nak pujuk Rafiq. Dah macam-macam cara dah abang cuba. Qusyairah pun
tahukan, Rafiq tu degil.”
“ Tak apalah Abang Fikri. Dia dah
nekad untuk buang Qusyairah dari hidup dia. Qusyairah percaya, Allah akan
gantikan dengan perkara yang lebih baik lagi selepas ni.”
“ Baiklah. Semoga Qusyairah tabah.
Rehatlah dulu, dik. Nanti Kak Afina datang ke rumah untuk periksa Qusyairah.
Abang tahu Qusyairah tak berapa nak sihat. Jaga diri baik-baik.
Assalammualaikum.”
“ Waalaikumsalam.” Qusyairah sebak.
Masih ada lagi insan-insan yang baik kepadanya. Yang masih mahu menumpangkannya
tempat tinggal. Dia sudah tidak tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan
setelah ayah dan ibunya menghalaunya keluar daripada rumah. Sedangkan dahulu,
ayah dan ibunya yang beria-ia untuk menyatukan dirinya dengan Ahmad Rafiq.
“ Ibu harap Kak Long setujulah kalau
ibu dan ayah satukan Kak Long dengan anak kawan ayah. Ahmad Rafiq tu sesuai
dengan Kak Long. Sama-sama belajar jurusan agama. Lagipun, ayah pun dah lama
kenal dengan mak dan abah Ahmad Rafiq. Kami yakin, Ahmad Rafiq tu lelaki yang
terbaik untuk Kak Long. Kak Long lupakanlah si Harraz tu. Cinta macam tu takkan
kekal. Lagipun Harraz masih banyak adik-adik yang dia akan tanggung selepas
habis belajar. Ahmad Rafiq ni anak tunggal.”
“ Ibu, Kak Long tak nak menikah
seawal ni. Dan tak semudah tu untuk Kak Long lupakan Harraz. Biarlah kami
sama-sama belajar dan mengejar impian dulu.”
“ Kak Long. Mana lebih penting,
Harraz ke Ibu dan Ayah ?”
“ Ibu. Jangan cakap macam tu. Ibu
dan ayah lah yang paling penting dalam hidup Kak Long.”
“ Dengar cakap ibu. Tak ada ibu yang
nak anak dia merana dalam hidup ni. Esok, keluarga Ahmad Rafiq akan datang ke
rumah. Jadi, ibu harap Kak Long dah tak berdalih lagi. Hujung bulan ni, akad
nikah berlangsung di rumah ni.”
Tanpa memberikan waktu dan peluang
untuk membuat keputusan, Qusyairah ditinggalkan sendiri di dalam biliknya. Dia
kesal. Tidak tahu bagaiman untuk memberitahu kepada Harraz tentang berita ini.
“ Harraz, saya minta maaf. Saya tak
dapat bersama-sama dalam perjuangan awak.”
“ Ada apa yang berlaku ni Qusyairah
?”
“ Saya minta maaf sebab mungkir
janji. Duit simpanan kita sepanjang kita berkawan, saya akan serahkan bahagian
awak. Saya minta maaf sekali lagi, Harraz. Saya akan berkahwin.”
“ Qusyairah. Awak tak main-mainkan
?” Qusyairah meletakkan panggilan dan semua media sosial yang berkaitan dengan
Harraz telah disekat aksesnya. Tidak sanggup lagi Qusyairah terus melukakan
Harraz.
Sehingga kini, enam bulan telah
berlalu, hubungannya dengan Harraz sudah menjadi renggang. Bukan Harraz yang
menjauhkan diri, Qusyairah yang tidak mahu Harraz berharap lagi.
Qusyairah menjadi terlalu kecewa.
Dia tahu sukar untuk Ahmad Rafiq mendengar penjelasannya. Tetapi, Qusyairah
benar-benar tidak melakukan perkara terkutuk itu. Dia sehingga kini tidak tahu
bagaimana perkara ini boleh dijadikan isu seakan ada seseorang yang
memanipulasi cerita ini.
Bukannya Qusyairah ingin menjadi pendendam tetapi
selagi manusia yang membawa cerita itu tidak meminta maaf kepadanya, dia tidak
akan memaafkannya. Bukan kerana dia sudah hilang kasih suami, tetapi kasih dan
percaya dari orang tuanya. Sekali lagi Qusyairah menangis mengenangkan dia
sudah menjadi yatim sebelum masanya.
Mahkamah Syariah
“ Encik Ahmad Rafiq bin Ahmad
Syukri, adakah Encik benar-benar pasti dengan keputusan Encik ?”
“ Ya.” Yakin sahaja wajah Ahmad
Rafiq sewaktu menjawab pertanyaan hakim.
“ Bismillahirrahmanirrahim. Dengan
ini saya naik saksi atas nama Allah bahawa isteri saya sudah melakukan zina
atau saya naik saksi atas nama Allah bahawa anak yang dikandung bukan dari
benih saya. Dan untuk sumpah kali ke empat ini, jika saya berdusta, saya akan
terkena laknat Allah.”
Seluruh isi sidang berasa tegang.
Kes seperti ini jarang berlaku dan selalunya peguam syarie akan menasihati sang
suami untuk memutuskan perkahwinan dengan talak bain sughro dimana sang suami
boleh kembali bersama isterinya dengan akad yang baru.
“ Sekarang, mahkamah membenarkan
Puan Qusyairah binti Mohd Saleh untuk menolak pertuduhan seandainya tidak
bersalah.”
“ Bismillahirrahmanirrahim. Saya
bersaksi kepada Allah, saya tidak berzina dan saya bersaksi kepada Allah,
kandungan ini dari benih suami saya.”
“ Kau bohong. Jangan nak berdalih.”
Ahmad Rafiq sudah hilang sabar sehingga tindakannya tidak menghormati hakim
syarie yang berada di hadapan.
“ Kawal diri kau Rafiq. Ini
mahkamah.” Fikri dengan tegas mengarahkan Ahmad Rafiq untuk kembali ke tempat
duduknya. Tergambar pada wajah Ahmad Rafiq yang dia sangat tidak berpuas hati.
" Saya tak takut dengan
kata-kata Encik. Saya tak berzina."
Qusyairah dengan air mata yang
bergenang memberikan pandangan tajam kepada Ahmad Rafiq. Dia sudah bersabar
selama ini dengan tuduhan dan celaan oleh bekas suaminya itu. Kali ini dia
benar ingin membersihkan namanya.
Setelah empat kali mengulangi lafaz
tersebut, Qusyairah menyambung dengan lafaz seterusnya.
“ Saya bersaksi atas nama Allah
bahawa suami saya berdusta. Seandainya saya berdusta, saya bersedia menerima
kemurkaan Allah.”
Persidangan selesai. Kini Ahmad
Rafiq dan Qusyairah sudah tiada apa-apa ikatan sebagai suami dan isteri. Afina
mengiringi Qusyairah untuk keluar dari bilik persidangan sehingga ke dalam kereta.
Afina bimbang jika Ahmad Rafiq mencederakan Qusyairah. Qusyairah sedari tadi
hanya berdiam diri dan merenung ke luar. Afina hanya membiarkan Qusyairah
berdiam diri. Dia tahu bukan mudah untuk Qusyairah menghadapi semuanya.
“ Kak. Terima kasih sebab sudi jaga
saya. Saya pun tak tahu ke mana saya nak pergi kalau kak Afina dan Abang Fikri
tak jaga saya.”
“ Qusyairah dah macam adik kami dah.
Qusyairah jangan risau. Buat masa ni Qusyairah tinggal di bilik sewa kakak.”
“ Maaf kak. Saya dah tak tahu macam
mana nak hidup. Ibu dan ayah saya dah buang saya kak. Tengok muka saya pun
mereka benci. Sedangkan dahulu, yang memilih untuk menikahkan saya, ibu dan
ayah. Sekarang ni, selepas semua terjadi, kenapa saya yang mereka persalahkan ?
Di mana rasa percaya mereka kepada saya. Mereka lebih sanggup dengar kata-kata
orang luar berbanding anak sendiri yang dah mereka bela selama 23 tahun.”
Tersentuh Afina mendengar luahan
hati Qusyairah. Dia berhentikan kereta di tepi jalan. Dia tahu, Qusyairah
memerlukan dakapannya. Afina merupakan juniornya sewaktu di sekolah menengah.
Jadi, setiap sisi masalah Qusyairah, Afina dan Fikri mengetahuinya. Afina juga
seakan tidak percaya Ahmad Rafiq sudah hilang rasionalnya. Tidak seperti yang
mereka kenal dahulu. Afina percaya ada sesuatu yang berlaku sehingga Ahmad
Rafiq nekad dan hilang pertimbangan. Fikri juga memikirkan perkara yang sama.
Walaupun kes ini sudah diselesaikan di mahkamah, Fikri tetap ingin mencari tahu
perkara ini daripada sahabat-sahabat Qusyairah di Indonesia. Ini semua demi
membersihkan nama baik Qusyairah dan keluarga.
“ Kak. Selepas, saya melahirkan,
saya akan balik ke Indonesia.” Suara Qusyairah mematikan kesunyian.
“ Qusyairah pasti ke ni ? Tak tunggu
anak besar sikit ?”
“ Tak kak. Semakin lama saya di sini,
semakin sakit saya, kak. Lagipun, saya kena habiskan pelajaran saya secepat
mungkin supaya saya tamat dan bolehlah saya cari kerja selepas ni. Dua semester
lagi.”
“ Baiklah. Kalau macam tu, kakak dan
abang Fikri bincang dulu.”
“ Dan kak Afina tak perlu risau.
Saya masih ada duit simpanan untuk bertahan. Untuk dua semester ni saya rasa RM
15,000 dah cukup.”
“ Banyaknya duit Qusyairah.”
“ Alhamdulillah, ni duit hasil
daripada saya menulis novel. Walaupun tak banyak mana, tapi saya harap dengan
adanya duit ni, saya boleh menyara kehidupan saya sampai saya habis belajar
nanti.”
“ Kalau Qusyairah tak sebut tentang
hal duit pun, abang dan kakak memang ada rancang untuk sara Qusyairah.”
“ Ya Allah kak. Dah banyak sangat
kakak tolong saya. Saya jadi segan kak.”
“ Qusyairah kan adik kakak. Kenapa
nak segan ? Lagipun, kami berdua tak ada tanggungan lain kan ? Kakak memang tak
dapat nak melahirkan selepas banyak kali keguguran.” Kini suara Afina pula yang
berubah. Qusyairah kagum dengan Afina. Meskipun dia sendiri menghadapi
kesukaran, Afina tidak pernah berkira untuk mencukupkan keperluan orang lain.
“ Boleh tapi, dalam tempoh ni,
izinkan saya untuk kerja di klinik kakak. Jadi tea lady dan cleaner pun saya
sanggup. Saya tak boleh terima pertolongan kakak dan abang secara percuma.”
Setelah lama berfikir, Afina
bersetuju. Dia tahu yang Qusyairah berasa tidak nyaman. Dia juga tahu bahawa
Qusyairah bukanlah orang yang mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain.
“ Sekarang ni kakak lapar. Jom kita
makan. Qusyairah ada nak makan apa-apa tak hari ni ?”
“ Tak ada kak. Tapi saya ikut je
mana Kak Afina nak pergi.”
“ Okay, let’s go.” Afina menyambung
pemanduannya.
Qusyairah kini semakin tenang. Dia
percaya, Qusyairah dapat menangani semua masalah yang berlaku.
Tiga bulan kemudian….
“ Dik, jaga diri baik-baik kat sana
nanti. Kalau ada apa-apa, jangan segan call akak.”
“ Terima kasih, kak. Terima kasih
bang. Doakan supaya semuanya berjalan dengan lancar. Saya masuk dulu.”
Thorique masih tidur dengan lena di
dalam stroller bayi. Seawal usia Thorique empat minggu, Qusyairah sudah
membawanya untuk pulang ke Malang. Sewaktu dia melahirkan Thorique, tiada
sesiapapun yang berada di sisinya melainkan Afina dan Fikri. Sewaktu berpantang
Afina juga telah mengupah seorang bidan untuk menjaga Qusyairah.
Saat melepasi pemeriksaan imigresen,
Qusyairah menghantar mesej kepada sahabatnya, Irdina yang belajar di
Universitas Brawijaya dalam bidang perubatan. Mereka bersahabat sejak
kedua-duanya aktif berpersatuan di dalam persatuan pelajar Malaysia dia Malang,
Indonesia. Pada awalnya, Irdina agak terkejut mendengar tentang perihal
Qusyairah, namun kerana Irdina sangat menyayangi sahabatnya itu, dia sanggup
untuk datang dari Malang dan menjemput Qusyairah di lapangan terbang antarabangsa
Juanda di Surabaya.
IRDINA : Tapi aku tak datang seorang
tau.
QUSYAIRAH : Dengan siapa ?
IRDINA : Nantilah kau tengok.
Apa-apa nanti kau contact je aku. Okay, aku nak gerak dah.
QUSYAIRAH : Okay. Terima kasih Dina.
IRDINA : Simpan dulu terima kasih
kau tu. Lepas ni kau kena janji kau cerita semua tanpa rahsia.
QUSYAIRAH : Baiklah.
Beberapa kali Qusyairah mengusap
kepala anaknya itu. ‘Thorique Ahmad Rafiq bin Abdullah’. Hanya itu sahaja daya
dan upayanya untuk mendaftarkan nama anak sucinya itu. Qusyairah berasa sebak
melihat anaknya yang tenang sahaja. Sebenarnya dia jika boleh tidak mahu
meletakkan nama Ahmad Rafiq di dalam sijil tersebut tetapi atas nasihat Fikri,
Qusyairah akur. Fikri lebih mengetahui impaknya nanti.
“ Anak mama yang soleh. Mama janji
mama akan jaga anak mama ni dengan sebaik mungkin. Mama minta maaf sebab awak
kecil-kecil lagi dah tak ada ayah. Walaupun macam tu, Mama yakin yang mama
mampu untuk jaga awak, sayang.”
Dahi Thorique dikucup lembut.
Qusyairah berharap, setibanya dia nanti di Malang, dia dapat melupakan segala
perkara yang terjadi kepadanya. Dia mahu kekal fokus untuk mencapai impiannya.
Thorique adalah kekuatannya kini, Namun tak putus-putus dia berdoa agar
kebenaran terungkap. Demi maruah dirinya dan keluarganya. Bukan kerana mahu
kembali, kerana rasa cinta itu dah lama mati.
BAB DUA
" Antara kita harus saling
percaya. Inilah dugaan hidup berjauhan. Abang berdoa kepada Allah agar rumah
tangga kita diberkati dan kekal harmoni. Abang berjanji takkan mensia-siakan sayang."
" Qusyairah pun akan selalu
mendoakan agar hati kita sentiasa teguh dan tabah. Satu tahun tu tak lama.
Qusyairah yakin kita boleh lalui satu tahun ni dengan baik."
Itu janji mereka. Janji yang
ditaburkan seperti kuntuman kelopak mawar merah yang semekar cinta mereka.
Namun akhirnya seperti daun kering yang gugur dan terbang tanpa arah ditiup
angin.
" Ya Allah, apa salah aku Ya
Allah. Adakah kau sedang menguji keikhlasanku ? Benarkah aku redha saat aku
disatukan ? Benarkah aku cukup redha dengan permintaan orang tuaku ?"
Kata-kata itu tidak terluah dari
bibirnya. Hanya ditulis di dalam diari. Kadang- kadang hanya diri sendiri yang
memahami segala isi hati. Tak perlu luahkan pada orang lain, hanya Allah dan
dirinya.
Qusyairah membuka mukasurat di
sebelumnya. Terdapat sekeping gambar. Gambarnya bersama Ahmad Rafiq sewaktu
majlis akad nikah mereka berlangsung.
" Assalammualaikum."
Qusyairah masih malu-malu
menyerahkan jari. Saudara mara galak mengusik mereka berdua.
Qusyairah ternyata tidak dapat
membohongi diri sendiri. Dia masih terkesan dengan peristiwa yang menimpanya.
Memaafkan itu mudah. Tetapi, untuk melupakan ?
" Ya Allah. Hapuskanlah
kedukaan di hati aku Ya Allah."
Masih terbayang di ingatan sewaktu
Qusyairah dihalau keluar daripada rumah sewaktu dia sarat mengandungkan
Thorique. Dalam kehujanan dia mencari tempat untuk berteduh. Sudahlah dibuang
suami, ibu dan ayahnya juga mengharamkan Qusyairah untuk menjejakkan kaki di
rumah mereka.
Mujur ketika itu, Fikri dan Afina
kebetulan melalui jalan tersebut untuk melawat Qusyairah. Habis tubuh badannya
berbekas luka kerana dilibas dengan menggunakan tali pinggang oleh bapanya.
" Maaf ayah. Saya dah tak boleh
nak mengajar anak ayah ni."
Meskipun tidak dipukul oleh Ahmad
Rafiq, tindakan Ahmad Rafiq itu sangat melukakan hatinya.
Tanpa dijelaskan apa salahnya, tanpa
diberikan peluang untuk berkata, tanpa tabayyun sebelum menjatuhkan hukum,
adilkah itu ?
" Mulai hari ni, kau carilah
kehidupan kau sendiri. Keluarlah dari rumah ni. Dan kau bukan anak aku
lagi." Bergetar tangan ayah Qusyairah menahan amarah. Jika tidak ditahan
oleh Qusyairi, adik lelaki Qusyairah, sudah pasti mati Qusyairah dikejarkan
oleh orang tua itu.
" Cik, okay ke ?" Sapaan
pramugari air Asia menghentikan lamunan Qusyairah. Cepat-cepat air matanya
diseka.
" Sekarang dah boleh boarding
Cik. Cik Premium Flex kan ?"
Qusyairah hanya mengangguk dan
sempat pramugari menawarkan bassinet untuk Thorique namun Qusyairah menolaknya
dengan baik kerana dia lebih selesa jika Thorique kekal dalam dakapannya.
Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda
Dari jauh Irdina sudah
melambai-lambai Qusyairah yang baru keluar daripada balai ketibaan. Dengan
hanya berbekalkan satu bagasi bersaiz besar, dan stroller Thorique, Irdina
membantu untuk mengangkat bagasi tersebut. Dia tahu, dengan keadaan Qusyairah
yang belum habis berpantang, Qusyairah masih belum kuat.
" Ya Allah Qusyairah."
Irdina sedikit menjerit. Lama dia memeluk Qusyairah. Kedua-duanya menangis.
Irdina tidak menyangka bahawa kisah cinta Qusyairah berakhir dengan tragis.
" Irdina. Aku rindu kau. Kau
sihat ?"
" Aku sihat. Alhamdulillah.
Dah. Ramai orang tengok kita kat sini. Kita masuk kereta dulu. Umar dan Harraz
dah tunggu kita kat luar."
" Kau bawa Umar dan Harraz
?"
" Sorrylah. Aku terpaksa bawa
dorang. Kau fahamkan ? Umar tak nak aku sorang dan tak mungkin aku pergi berdua
dengan dia. Lagipun Harraz yang sukarela nak ikut. Dia risau kat kau."
" Tak. Aku tak marahlah. Berapa
sewa kereta tu ? Aku nak bayar."
" Yang tu kau jangan tanya aku.
Harraz yang uruskan kereta sewa tadi. Yang penting sekarang kau ada dengan kita
orang."
Qusyairah hanya mengangguk. Terharu
kerana Umar dan Harraz sudi menawarkan pertolongan kepada Qusyairah.
" Assalammualaikum
Qusyairah." Umar memulai bicara.
" Waalaikumsalam."
" Lama dah tak jumpa kau. Kau
sihat ?"
" Alhamdulillah." Umar
kemudian membantu mengangkat bagasi Qusyairah dan meletakkannya di but kereta.
" Saya tahu awak penat. Bagi
saya pegang baby tu." Harraz menawarkan diri. Umar dan Irdina berpandangan.
Inilah kali pertama Harraz bercakap dengan Qusyairah setelah lama berdiam diri.
Berita pernikahan Qusyairah sangat melukakan hatinya. Namun sudah tibanya
Harraz melupakan segalanya demi persahabatan yang dibina sejak mereka berada di
tahun pertama lagi.
" Terima kasih."
" Comelnya. Siapa nama dia
?"
" Thorique."
" Sayang Thorique. Malam ni
Thorique tidur dengan Ayah Raz ya." Tergambar sifat kebapaan pada diri
Harraz. Sekali lagi Qusyairah berasa terharu. Thorique disayangi oleh seseorang
yang bukan bapa kandungnya.
" Suka hati kau je Harraz.
Macamlah mak dia bagi."
" Qusyairah boleh tak saya yang
jaga Thorique malam ni ?" Harraz ikhlas menawarkan diri.
" Kalau awak tak keberatan.
Saya tak kisah."
" Betul ke ? Terima kasih
Qusyairah. Terubatlah rindu saya dengan adik adik di kampung."
" Ya, tapi kau kena alert tau
Harraz. Baby ni kadang meragam malam-malam."
" Jangan risau. InsyaAllah saya
boleh jaga Thorique. Saya dah biasa jaga budak kecil. Nanti susu dia bagi
sekali ya." Pesan Harraz siap-siap.
Qusyairah merebahkan badannya. Dia
tidak dapat melelapkan mata. Perjalanan tiga jam dari Surabaya ke Malang tidak
mampu menjadi lulabi untuk membuatnya mengantuk.
" Qusyairah. Aku tahu ni bukan
masa yang sesuai untuk aku cakapkan ni. Cuma aku agak terkejut dengar cerita
tentang kau. Dari Jakarta, Surabaya, Malang, macam macam versi yang aku dengar.
Aku kenal kau macam mana Qusyairah. Aku harap, selepas semuanya reda, kau
sudilah ceritakan semuanya pada kita orang. Kita dah lama kawan. InsyaAllah, kita
orang sentiasa ada untuk kau."
" Terima kasih sangat-sangat.
Aku dah redha dan bersedia dengan apa-apa yang bakal aku hadapi sebaik sahaja
aku tiba di Malang nanti. Sekarang aku penat nak jelaskan kat orang. Orang
tetap akan nampak aku sebagai orang yang bersalah. Aku dipulaukan. Aku disindir
oleh banyak pihak. Tapi aku diam je. Aku tahu suatu masa nanti Allah akan
tunjuk semuanya."
" Sabar Qusyairah. Aku pun agak
terkilan masa aku pergi rumah sewa kau kelmarin. Tapi kau jangan risau, kita
orang dah jumpa bilik sewa yang sesuai dengan kau. Cuma tu lah. Rumah tu agak
jauh daripada UIN. Kau okay tak ?"
" Boleh as long aku ada
motorsikal. Nanti esok lusa aku kena cari motorsikal."
" Pasal motorsikal, nanti kita
orang yang tolong carikan."
" Terima kasih sekali
lagi."
" Ha, ni aku tolong ni bukan
percuma. Aku nak kau buat karipap ayam nanti bila kau free. Mak aku ada
bekalkan kari banyak betul tapi tak ada masa aku nak masak. Serious weh, rindu
dengan karipap ayam yang kau selalu bawa masa meeting." Umar menyelitkan
gurauan.
" Baiklah. Tunggu semuanya dah
settle ya." Perasaan sedih Qusyairah kini sedikit reda. Dia punya sahabat
yang sentiasa ada di sisinya.
" Eh aku lupa pulak. Nisa,
student medik Surabaya kirimsalam kat kau. Tadi dia ada cerita kat aku yang
Imran pelajar UIN tu sakit. Lama dah sampai nak di bawa balik ke Malaysia. YDP
Pusat pun dah turun ke Surabaya. Tak pasti Imran tu sakit apa."
" Imran yang aktif futsal tu eh
?" Teka Umar.
" Ye lah kot."
Harraz hanya memandang Qusyairah.
Dia seperti dapat mengagak apa yang berlaku.
" Jap. Bukankah, Imran tu anak
saudara suami kau ?"
Qusyairah pura-pura tidak mendengar
dan menutup mata. Dia malas mahu mengulas apa-apa. Takut dia pula nanti
terjebak dengan dosa kering.
Terngiang-ngiang di ingatan saat dia
bertelagah dengan Imran sebelum pulang ke Malaysia.
" Aku dah cakap kan ? Kalau aku
tak dapat miliki kau, aku akan pastikan yang kau takkan dapat dimiliki oleh
sesiapa. Walaupun aku terpaksa menghancurkan kehidupan bapa saudara aku
sendiri."
" Apa kau cakap ni Imran ?
Jangan buat keadaan menjadi keruh. Tolonglah Imran. Aku mohon."
" Terima kasihlah sebab
membantu aku untuk mengukuhkan lagi tuduhan tu. Sekarang dah terlambat untuk
kau. Kehidupan kau akan hancur balik Malaysia nanti."
" Aku tak faham betul apa yang
kau nak ?"
" Aku nak kau. Tapi kau tolak
aku dan terima Harraz. Lepas tu, kau boleh pulak kahwin dengan bapa saudara
aku. Jadi, rasakan lah."
Ternyata mukhayyam ukhwah yang
dianjurkan ketika itu menjadi medan perpecahan ukhuwah. Tidak dia menyangka
begitu rapi perancangan Imran. Di mata semua orang Imran adalah benar. Pandai
Imran bermain kata.
" Allah tahu siapa yang benar
Imran. Allah tahu. Aku takkan maafkan kau. Aku serahkan semuanya kepada
Allah."
" Aku tak perlu maaf kau. Aku
tak sabar nak bertepuk tangan di atas apa yang bakal berlaku nanti."
Qusyairah malas hendak melayan
Imran. Dia tahu dia akan kalah. Imran mempunyai pengaruh yang sangat kuat.
Kelebihannya dalam berhujah berdasarkan nash Al Quran membuatkan dia sangat
disegani oleh semua pelajar. Sayang, kelebihannya itu disalahguna untuk
menjatuhkan orang lain.
" Harraz."
Sergahan Umar mengembalikan
Qusyairah ke alam nyata.
" Jom kita solat jama' Maghrib
Isya dulu. Irdina dan Qusyairah jaga kereta ya." Umar memberhentikan
kereta sewa Xenia di sebuah masjid di pekan Lawang.
Qusyairah hanya mengangguk dan
Harraz menyerahkan Thorique kepada Ibunya. Irdina sudah terlena. Qusyairah
mengambil kesempatan untuk menyusukan Thorique sebelum mereka menyambung
perjalanan mereka yang berbaki satu jam setengah.
" Allahuakbar."
Jika benar Imran sakit gara-gara
ketulahan, semoga itu akan memberi pengajaran dan semoga Allah buka
seluas-luasnya pintu kebenaran.
Itu pinta Qusyairah.
BAB TIGA
Ahmad Rafiq dari tadi resah dan
mundar-mandir seperti orang yang hilang arah. Pakcik Syukri dan Makcik Zainab
berasa hairan melihat kelakuan anaknya yang seperti lipas kudung sejak pulang
daripada rumah sepupunya.
“ Kamu ni dah gila agaknya. Budak
Imran tu sakit, yang kamu nak belasah kenapa ?”
“ Dia tipu Rafiq abah, mak. Qusyairah tak bersalah pun dalam hal ni.”
“ Kalau ia pun, kamu janganlah buat
macam tu. Nasib baik, si Khairul tu ada tadi. Cubalah kawal emosi tu sikit.”
Ujar Makcik Zainab yang semakin hari berasa semakin tidak mengenali anaknya.
“ Nak kawal macam mana mak ? Rumah
tangga Rafiq dah hancur mak. Rafiq dan menzalimi orang yang tak bersalah.”
“ Itulah kamu, terbawa-bawa
perasaan. Abah tahu, kamu bukan sekadar sakit hati dengar berita kononnya
Qusyairah tu berzina. Abah tahu kamu tercabar dengan dia. Dari kecil sampai
besar, pantang ada orang lebih sikit dari kamu, kamu mesti tak puas hati. Abah
tak sangka, Rafiq. Sampai ke kahwin pun kamu masih macam tu. Apalah nak jadi.”
“ Mak dah suruh Fikri datang sini
untuk selesaikan masalah kamu. Kamu rehat dulu. Solat. Tak lama lagi sampailah
si Fikri tu.”
Ahmad Rafiq menurut sahaja kata
Makcik Zainab. Dia segera mengambil wudhu dan mengerjakan solat Zohor. Dia
dalam solatnya dia masih memikirkan hal
keduniaan. Layakkan dia dipanggil seorang mukminin ?
“ Assalammualaikum.” Suara Fikri
mematikan lamunan Ahmad Rafiq yang masih berteleku di atas tikar sejadah. Dia
bingkas bangkit dan membiarkan tikar
sejadahnya terhampar begitu sahaja.
Fikri sepertinya sudah tahu apa yang
terjadi. Sejak pulang daripada mahkamah kelmarin, hubungan Fikri dan Ahmad
Rafiq sedikit renggang. Ahmad Rafiq tidak berpuas hati dengan tindakan Fikri
dan Afina yang membantu Qusyairah.
“ Kalau tak disebabkan abah kau yang
suruh aku ke sini, aku memang tak akan ke sini.” Ujar Fikri. Dia benar-benar
tawar hati. Kejadian di pusat membeli belah di pekan masih lagi tergambar jelas
dalm fikirannya.
“ Oh, lepas aku, kau nak cuba tackle
kawan aku.” Suara sindiran Ahmad Rafiq yang jelas membuatkan semua mata fokus
terhadap Qusyairah.
“ Kau dah kenapa Rafiq ? Orang
tengok. Benda dah settlekan. Tak perlu kot kau hina Qusyairah macam tu.” Ujar
Fikri yang hairan. Tindakan Ahmad Rafiq sangatlah tidak matang. Qusyairah hanya
mendiamkan diri dan mencari kekuatan untuk menghadapi Ahmad Rafiq. Semakin hari
ada sahaja kata-kata bekas suaminya yang menyakitkan hati.
“ Afina, you hati-hati. Nampaknya si
Fikri ni ada potensi nak memadukan you. Murni sungguh hati you kan ? Nak
bermadu dengan perempuan penzina.” Belum sempat Ahmad Rafiq menghabiskan kata-katanya. Penumbuk Fikri
sudah mengenai tepat pada wajah Ahmad Rafiq sehingga dia tersungkur.
“ Sanggup kau tumbuk kawan kau
sendiri demi mempertahankan orang lain, Fikri.”
“ Kau dah melampau Rafiq. Aku tak
faham ilmu apa yang kau tuntut sehingga kau bongkak macam ni. Semakin kita ni
belajar agama, semakin tulah jiwa kita tunduk. Kau belajar Al Quran dan kau
siap marah lagi bila aku ajar kau. Kononnya ilmu kau lebih mantap daripada aku.
Aku terima. Tapi, sikap tu, Rafiq. Tak menggambarkan apa yang kau belajar.” Ternyata
Fikri sudah hilang sabar dengan sikap sahabatnya itu. Semakin hari semakin
melampau sikapnya. Apa lagi yang Ahmad Rafiq nak ?
“ Ehem. Fikri nak minum apa, makcik
buatkan.” Suara Makcik Zainab mematikan lamunan Fikri. Fikri menolak dengan
baik kerana baru sahaja selesai makan tengahari di rumah tadi. Namun Makcik
Zainab tetap menghidangkan jus oren untuk membasahkan tekak.
“ Fikri. Aku.. aku nak minta maaf
tentang hari tu. Tapi kali ni aku memang perlukan bantuan kau.”
“ Okay. Cerita dari awal.” Fikri
cuba bertindak profesional walaupun dia cukup geram dengan Ahmad Rafiq.
“ Segala tuduhan aku terhadap
Qusyairah adalah tidak benar.”
Fikri membundarkan matanya tetapi
tidak terlalu terkejut kerana dia sudah mengetahui semuanya dari Qusyairah.
Namun Fikri agak terkilan dengan sikap Imran yang sudah memperbodohkan semua
orang. Atas dasar apakah, Imran tegar melakukan hal yang demikian kepada
Qusyairah ?
“ Imran. Dia mengaku. Dia minta maaf
atas kesalahannya dan dia merayu nak jumpa Qusyairah. Teruk benar dah Imran tu
Makcik tengok.” Sampuk Makcik Zainab. Imran berterus terang dengan semua orang.
Meskipun jasadnya terbaring sahaja di katil dan suaranya tergagap seperti tak
cukup nafas, Imran berhasil membuat pengakuan. Jelas tergambar kesakitan pada
wajah Imran.
“ Okay. Maaf aku tanya ni. Kau
takkan lah tak kenal Qusyairah. Kau suami dia. Kenapa kau lebih percaya orang
lain berbanding Qusyairah ? Kau tahu tak apa kesannya. Qusyairah dah dibuang
keluarga tau.”
“ Aku tahu. Aku…”
“ Kamu tu cemburu melebih-lebih
selepas tahu yang Qusyairah pernah menyayangi orang lain sebelum kamu Rafiq.
Kamu tercabar. Memang salah abah sebab membuka kisah lama. Tapi abah tak sangka
benda ni boleh jadi macam ni. Kamu tu sebenarnya masih belum percayakan
Qusyairah sepenuh hati. Kamu cakap kamu mencintai Qusyairah. Tetapi cinta kamu
tu menyakitkan. Kamu rasa kamu yang paling benar. Bawa-bawa lah berubah Rafiq.
Sikap kamu tu dah memakan diri kamu sendiri. Abah hantar kamu belajar agama
supaya dengan adanya ilmu ni kamu akan dapat mengawal rasa bongkak dan pemarah
kamu tu.”
Ahmad Rafiq tunduk sahaja. Tidak
sampai satu minit, Pakcik Syukri kembali menasihati anaknya itu.
“ Qusyairah dah korbankan segalanya
saat dia memilih kamu menjadi suaminya. Abah juga rasa berdosa sebab abah dan
ummi, orang tua Qusyairah mendesak Qusyairah untuk memutuskan persahabatannya
dengan orang yang sepatutnya jadi teman hidupnya. Memang diakui, Harraz anak
arwah Ustaz Muhammad tu sangat baik. Dia tahu yang Qusyairah dah berkahwin
bahkan mengandungkan anak kamu, dia masih ada untuk membantu Qusyairah sewaktu
itu. Sehinggakan cerita Harraz membantu Qusyairah dimanipulasi dan menjadi
fitnah. Abah tak sampai hati betul tengok Ustazah Mashitah tu menangis bila dengar
cerita tentang anak bujang dia yang merupakan harapan keluarga menjadi bualan
orang. Seandainya Harraz tak membantu Qusyairah, tak tahulah apa nak jadi.”
“ Pakcik tahu cerita ni dari mana ?”
Tanya Fikri sopan. Persis seperti yang diceritakan oleh Qusyairah.
“ Pakcik rasa tak tenang semenjak
peristiwa tu berlaku. Banyak betul versi cerita yang pakcik dengar sehingga
murah sangat nama anak pakcik dan bekas menantu pakcik ni dijaja. Pakcik cuba
cari tahu tentang semua ni dari Harraz sendiri. Untuk pengetahuan kamu,
sekarang ni di Malang, Harraz dan kawan-kawan dia yang bantu jaga anak tu.”
“ Anak aku, Fikri. Aku tahu aku
takkan dapat kembali kepada Qusyairah. Tapi aku nak jaga anak tu. Aku tak nak
Harraz yang jaga. ” Masih kedengaran bibit cemburu dari bicara Ahmad Rafiq.
“ Kau tak ingat ke apa yang kau
cakap di mahkamah hari tu ?” Sinis sahaja suara Fikri mengingatkan Ahmad Rafiq.
“ Ya. Tapi sekarang aku yakin tu
anak aku. Tolong aku dapatkan anak aku balik.”
“ Astaghfirullahalazim. Kamu fikir
semudah tu ke kamu nak ambil Thorique tu balik ? Rafiq, mak sebagai seorang ibu
sangat memahami perasaan Qusyairah tu selepas apa yang kamu buat kepada dia.
Kamu dah menjadikan dia perempuan yang terhina sekali di muka bumi ni. Jangan
bermimpi Rafiq. Walaupun kamu anak mak, mak tetap akan menyokong Qusyairah
seandainya nanti dia ingin mengambil tindakan undang-undang.”
“ Kau dengar cakap mak dan abah kau
Rafiq. Sepatutnya kau kena ambil pengajaran daripada apa yang dah terjadi. Pada
masa ni kau tak boleh nak ego lagi. Nasihat aku, pertama, kau kena bersihkan
nama dia. Jernihkan hubungan dia dengan keluarga dia. Jika kau mengaku yang kau
cintakan Qusyairah, hadapilah realiti.”
“ Kalau semua tak nak bantu Rafiq,
Rafiq akan cari cara supaya Rafiq dapatkan anak tu. Rafiq nak jaga Thorique dan
nak tebus balik kesalahan Rafiq.”
“ Ya Allah. Masih lagi perangai kamu
macam ni. Abah ingatkan dah berubah. Istifar Rafiq. Jangan jadi hamba ego. Nak
tebus kesalahan bukan dengan cara macam ni.” Sudah berbuih mulut Pakcik Syukri
menasihati anaknya.
“ Cuba faham perasaan Rafiq, mak
abah. Rafiq dah hilang Qusyairah atas kebodohan Rafiq sendiri. Bila-bila masa
laknat Allah boleh terkena Rafiq. Nauzubillah. Tapi tolong Rafiq.
Sekurang-kurangnya sekali sahaja untuk Rafiq tengok anak Rafiq.”
Tersentuh perasaan Fikri
mendengarkan permintaan Rafiq. Pakcik Syukri dan Makcik Zainab hanya mendiamkan
diri sahaja. Mereka sedang mempertimbangkan permintaan Rafiq. Jika diikutkan,
Rafiq sudah tiada hak untuk mengakui Thorique sebagai anaknya.
“ Semoga ni jadi pengajaran terhadap
kamu Rafiq. Tapi, jangan letakkan pengharapan terlalu tinggi. Ingat, Qusyairah
berhak sepenuhnya ke atas anak itu. Sebelum apa-apa, kamu kena jelaskan
semuanya kepada ibu dan bapa Qusyairah.” Makcik Zainab menambah. Di dalam
kelembutannya terselit ketegasan.
“ Ya, maaf aku katakan benda ni. Aku
kena bagi kau tempoh waktu. Dalam masa satu bulan, nama Qusyairah mesti
dibersihkan. Kalau tidak, aku sendiri akan mewakili Qusyairah dan memfailkan
saman fitnah kepada Imran dan juga kau di bawah Akta Fitnah 1957 ( Defamation
Act).” Ujar Fikri yang penuh karisma sebagai seorang peguam.
Ahmad Rafiq mengangkat wajahnya
namun tidak berdaya melawan. Semuanya salahnya.
“ Dalam hal ini Pakcik takkan masuk
campur Fikri. Pakcik nakkan yang terbaik. Semoga Qusyairah dan anaknya
mendapatkan pembelaan atas perkara ini. Ahmad Rafiq, kamu dengar tu. Kali ini,
abah takkan bantu kamu. Selesaikan sendiri hal ni.”
Kerjasama Pakcik Syukri sangat
dihargai. Sejak kecil Pakcik Syukri tidak pernah memberi muka kepada Ahmad
Rafiq sekiranya anaknya itu melakukan kesalahan. Bekerja sebagai seorang guru,
PakCik Syukri sangat berfikiran terbuka dan rasional.
“ Esok, abah dan mak akan bersama kamu untuk
bertemu dengan ibu bapa Qusyairah. Kalau boleh Fikri dan Afina, datang sekali
lah kalau tak ada aral melintang.” Ajak Pakcik Syukri.
“ Tak pasti pulak saya. Apa-apa saya
akan maklumkan kepada Pakcik.”
Ahmad Rafiq tidak mendengar lagi.
Dia segera masuk ke dalam bilik. Banyak perkara yang dia fikir. Dia tidak tahu
bagaimana untuk menjelaskan semuanya kepada ibu bapa Qusyairah. Yang pasti, dia
bersedia untuk menghadapi kebencian bekas mertuanya itu.
Malang
Hari ini Qusyairah membawa anak
Irdina ke Malang Town Square bersama Thorique. Sepanjang kesibukan mereka
menjadi pelajar tahun akhir, Qusyairah dan Irdina jarang meluangkan masa
bersama-sama. Irdina sibuk berpraktikal di Rumah Sakit Umum Saiful Anwar
manakala Qusyairah pula masih dalam penulisan skripsinya. Seandainya Qusyairah
sibuk menghadiri kelas, Harraz dan teman serumahnya akan sukarela menawarkan
bantuan untuk menjaga Thorique.
“ Saya keluar dengan Irdina hari ni
Harraz. Awak rehatlah ya. Biar saya jaga Thorique hari ni.”
“ Betul ni ?” Harraz benar-benar
memastikan.
Qusyairah mengangguk. Dia berasa
serba salah dengan kebaikan Harraz yang sentiasa ada untuknya.
“ Qusyairah. Kau tak rasa ke Harraz
tu suka dengan kau ? Aku tengok dia tu betul-betul ikhlas jaga Thorique. Sejak
kau kembali ke Malang lima bulan lepas. Aku nampak Harraz tu dah macam bapa si
Thorique. Thorique demam dia yang bawakan ke hospital.
“ Harraz tu memang baik. Tak
payahlah kau fikir lain.”
“ Kau tahukan sejak first year lagi
Harraz tu suka dengan kau. Dan kau pun hampir..”
“ Dina, jangan ungkit.”
“ Sorry. Aku cuma nakkan yang
terbaik untuk kau Qusyairah. Aku tahu, jadi ibu tunggal menguruskan anak
seorang diri sementara kau pun masih belajar, adalah bukan sesuatu yang mudah.”
“ Tak apa, benda ni akan jadi pahala
untuk aku nanti.”
“ Dan pahala untuk aku jugak. Eiii
geram betul tengok Thorique ni.”
“ Kalau geram, cepat-cepatlah kau
dan Umar menikah. Bertambah-tambahlah pahala kau nanti.”
“ Ada ke situ pulak.”
“ Eh, aku nak pergi ke tandas dulu.
Kau tolong jagakan Thorique ni ya.” Pinta Qusyairah.
“ Okay.”
Lima minit kemudian, Qusyairah
langsung pergi masuk ke dalam pasar raya untuk
mencari Irdina dan Thorique. Tidak lama kemudian, ada seseorang
menyergahnya dari belakang.
“ Qusyairah.”
Suara lelaki itu sangat dia kenali.
Namun Qusyairah segera menepuk pipinya. Dia bimbang itu hanya ilusi. Qusyairah
masih berdiri tegak tanpa berpaling.
“ Qusyairah. Tengok abang.”
Ya. Betul. Bukan ilusi dan apa yang
membuatkan lelaki itu datang mencarinya sehingga ke Malang. Bukankah dia
sepatutnya berada di Mesir dan hidup berbahagia di sana ?
“ Apa encik nak ?”
“
Tak payahlah nak berencik-encik dengan abang. Panggil sahaja abang
seperti kita mula-mula kenal.”
“ Maaflah encik, panggilan tu
terlalu mulia untuk orang seperti saya. Takut jatuh pulak darjat encik jika
saya panggil encik sedemikian rupa.”
“ Jangan hukum abang, sayang.” Ahmad
Rafiq hilang kawalan. Dia hampir sahaja menyentuh tangan Qusyairah namun
Qusyairah sempat mengelak. Tegas wajahnya dan segera dia memberikan pandangan
tajam sama seperti pandangan di mahkamah sewaktu dia mempertahankan dirinya
dahulu.
" Sementara saya masih ada rasa
hormat dengan encik, lebih baik encik berambus dari pandangan saya."
Qusyairah sudah tidak dapat menahan
amarahnya. Berani-beraninya Ahmad Rafiq muncul di hadapannya seperti tiada apa
yang berlaku.
" Qusyairah. Abang minta maaf.
Abang tahu abang salah. Qusyairah... abang...," Ahmad Rafiq mencuba untuk
memegang tangan Qusyairah. Namun cepat-cepat Qusyairah mengelak. Matanya
membundar. Derap nafasnya kedengaran. Tanpa berkelip, wajah Ahmad Rafiq
ditenungnya dengan pandangan tanpa kasih.
" Encik dah kenapa nak
pegang-pegang saya. Saya ni bukan lagi isteri encik. Encik tak ingat ke Encik
dah laknat saya. Bukan tu sahaja. Encik dah laknat sekali anak yang dah saya
lahirkan. Tanpa belas kasihan encik yang buang saya dan anak saya dari
kehidupan encik. Apa encik ni dah tak tahu halal haram ? Encik kan sarjana
hukum islam. Tak kan tak tahu kot. Belajar jauh-jauh sampai ke Mesir, takkan
masih tak jelas dengan hukum tu ? Lain lah saya ni. Ilmu masih cetek. Belajar
pun tak habis lagi."
" Qusyairah. Jangan cakap macam
tu. Abang menyesal. Abang tak tahu lah nak buat macam mana lagi. Abang kalau
boleh nak kembali..."
" Encik dah gila ke ? Kalau
dapat kembali semua sekali pun, saya tak akan kembali. Tak perlulah encik nak
melutut kat saya. Tak sesuai. Maruah encik kan tinggi. Takkan nak jilat balik
ludah sendiri."
" Kalau macam tu, bagi abang
peluang untuk jaga anak kita ?"
" HAHAHAHAHAHAH."
Qusyairah ketawa berdekah-dekah. Kenyataan lucu apakah yang berada di
hadapannya ini ?
Dalam masa yang sama, Irdina sempat
menyaksikan perbalahan mereka berdua. Namun, Qusyairah berusaha mengawal
dirinya kerana dia tidak mahu mereka menjad pusat perhatian pengunjung yang
datang untuk membeli belah.
" Encik Ahmad Rafiq, saya tidak
menafikan hak encik untuk jaga anak ni. Tapi, encik sendiri yang melaknat dan
bersumpah ini bukan anak encik. Takkan benda simple macam ni encik tak tahu.
Sekali seorang lelaki melaknat anak dalam kandungan bekas isterinya, maka anak
itu dinisbahkan kepada keturunan ibunya. Dan itu yang encik cakap dahulu. Nak
saya tambah lagi ?"
Ahmad Rafiq terdiam. Lima bulan setelah dia berpisah dengan Qusyairah, hilang sudah sifat ayu dan lemah lembut Qusyairah. Tidak seperti dahulu. Sementara itu, Irdina segera menghubungi Harraz dan Umar. Dia takut seandainya Ahmad Rafiq nekad untuk lakukan sesuatu yang bukan-bukan.
“ Boleh
kita cakap sekejap. Di tempat yang ada privasi. Tapi, Qusyairah boleh bawa
kawan Qusyairah ni. Abang nak cakap sikit je.”
“ Saya tak
ada kepentingan untuk bercakap dengan encik. Saya kira dah tak ada apa-apa
urusan antara kita.”
“ Please
Qusyairah. Takkan tak ada perasaan belas dan kasih Qusyairah yang masih berbaki
untuk abang ? Abang tahu abang dah hilang kedua-duanya. Qusyairah dan Thorique.
Tetapi, abang masih berusaha untuk cari Qusyairah di sini.”
“ Saya tak
suruh encik datang ke sini dan cari saya. Perasaan belas ? Encik fikirlah
sewaktu saya merayu dan meronta saat saya dihalau ke rumah keluarga saya dengan
kehinaan. Pernah encik kasihankan saya yang sarat sewaktu itu ? Perasaan kasih
? Maaf, perasaan tu dah lama hilang.”
Tiada
setitik pun air mata Qusyairah yang menitis ketika itu. Dia sudah cukup kuat
untuk menghadapi semua ini. Allah yang memberinya kekuatan sehingga mampu
bertahan sejauh ini.
Beberapa
minit kemudian, Umar dan Harraz muncul namun mereka cuba untuk tenang dan
menyapa baik Ahmad Rafiq.
“
Assalammualaikum.” Giliran Harraz berjabat tangan. Lama Ahmad Rafiq memandang
Harraz. Namun Harraz hanya membalas dengan senyuman.
“ Kau Harraz
?”
“ Ya
saya.” Ujar Harraz yang masih sopan. Sementara itu, Umar membawa Irdina,
Qusyairah dan Thorique ke kereta yang diparkir di parkiran pasar raya di
tingkat bawah. Umar sempat menghantar mesej pendek kepada Harraz.
UMAR :
Apa-apa kau inform je kat aku. Aku bawa dorang balik dulu.
Harraz
tidak membalas mesej tersebut. Dia segera mengikut Ahmad Rafiq. Ada perkara
yang harus dibicarakan dari seorang lelaki kepada seorang lelaki. Harraz cuba
berlapang dada walaupun ada sedikit gentar. Tetapi dia percaya, Ahmad Rafiq
benar-benar perlu untuk berbicara empat mata dengannya.
BAB EMPAT
Qusyairah
menidurkan Thorique dan Irdina juga turut ikut sama terlelap. Qusyairah masih
lagi menunggu kedatangan Harraz yang ingin membincangkan hal penting. Sementara
itu Qusyairah meneruskan penulisan tesisnya yang akan dinilai tidak lama lagi.
Meskipun sibuk menguruskan anaknya, Qusyairah masih dapat menumpukan sepenuh
perhatiannya kepada pengajiannya. Atas dorongan dan bantuan daripada
sahabatnya, Qusyairah menjadi bersemangat dari hari ke hari.
HARRAZ :
Saya dah ada di luar.
Pendek
sahaja pesan yang dikirim oleh Harraz. Qusyairah segera memakai tudung dan
membancuh minuman 3 dalam 1 untuk Harraz. Mereka akan bertemu di lobi bilik
sewa dan had masa melawat adalah sehingga jam 9:30 malam.
“ Mas,
ingat ya batas waktu maksimal itu sehingga setengah sepuluh.”
Pengawal
keselamatan mengingatkan lagi. Namun, selama ini, Harraz dan Qusyairah masih
peka dengan peraturan yang ditetapkan.
“ Nah,
air.” Ujar Qusyairah yang menyerahkan cawan kecil kepada Harraz. Mereka duduk
berhadapan.
“ Thorique
dah tidur dah ?”
“ Dah.
Dari tadi tak berhenti menangis.”
“ Kenapa
?”
“ Masuk
angin. Ni kenapa nak jumpa ?”
Sebelum
memulakan, Harraz menghirup minuman terlebih dahulu. Berkira-kira bagaimana untuk
memulakan bicara. Takut tersalah tafsir.
“ Rafiq.
Sekarang ada di rumah. Dan Qusyairah dengar dulu ya apa yang saya nak cakap.”
Qusyairah
mengangguk lemah.
“ Rafiq
nak jumpa dan bercakap dengan awak.”
“ Kenapa ?
Saya tak ada apa-apa nak cakap dengan dia. Antara kami, dah tak ada apa-apa.”
“ Ya, saya
tahu. Tapi mungkin dia ada perkara penting nak cakap ? Saya rasa awak patut
jumpa dia. Dia pun akan terbang balik ke Mesir selepas ni. Satu lagi, Rafiq nak
minta peluang untuk tengok dan jaga anak dia.”
“ Awak
tahu tak Harraz ? Bagi saya bapa Thorique bukannya dia. Bapa Thorique tu adalah
awak. Awak yang sentiasa ada untuk jaga dia melebihi kemampuan saya untuk
menjaga dia.”
“ Yang
lepas tu biarlah lepas ya. Saya pasti, awak tahu bagaimana rasanya tak diberi peluang
kedua. Saya faham perasaan awak.”
“ Tak
Harraz. Awak tak faham. Awak tak berada di tempat saya.”
“
Qusyairah. Saya tahu tu. Tapi sekurang-kurangnya, awak ada Thorique. Rafiq ?
Memang awalnya dia yang salah dan benda ni pun takkan boleh jadi seperti biasa.
Awak dan Rafiq takkan dapat kembali pun, sampai bila-bila. Tapi awak yang tahu
kebenaran. Awak yang bersumpah bahawa Thorique itu adalah benih dari Rafiq.
Jadi, berilah peluang untuk Rafiq tebus balik kesalahan dia.”
“ Macam
mana kalau dia cuba untuk merebut Thorique dari saya ?”
“ Tak kan
dapat. Awak dan Rafiq sudah difarakkan untuk selama-lamanya. Meskipun diberikan
pembuktian DNA, dalam kes lian, hak hadhanah dan nasab dia semuanya milik awak.
Saya, abang Fikri ada untuk backup awak. Dan…”
“ Dan apa?”
“ Saya
sebenarnya nak cari waktu sesuai untuk cakap benda ni. Insya Allah waktu itu
akan tiba juga suatu hari nanti.”
“ Okay.
Macam ni. Saya bersetuju untuk berjumpa dengan dia. Tetapi, saya nak awak dan
Irdina ada sekali.”
“ Tapi tak
sopan kalau saya dan Irdina ada sewaktu perbincangan yang hanya melibatkan awak
dan Rafiq. Tapi, awak jangan risau. Saya tak rasa yang Rafiq akan lakukan hal
seperti yang awak sangka. Percayalah. Sekarang, masuk tidur. Jangan fikir
banyak. Minggu depan kita akan bentang skripsi. Saya harap perkara ni tak akan
menjejaskan pelajaran awak. Selamat malam. Assalammualaikum. Terima kasih air
teh.” Ujar Harraz.
Seperti
biasa, Harraz akan memberikan senyumannya. Dalam keadaan kusut seperti ini,
jujur Qusyairah sudah terbiasa dengan kata galakan daripada Harraz. Namun, dia
sendiri yang membataskan perasaan itu. Layanan Harraz hanyalah layanan baik
daripada seorang sahabat kepada sahabatnya.
“
Sama-sama. Waalaikumsalam.” Qusyairah menunggu sehingga kelibat motorsikal
Harraz hilang dari pandangannya.
Apalah
dayanya selain daripada meminta pertolongan Allah. Setiap kegelisahan dan
kedukaan, hanyalah Allah yang dapat menghapuskan.
“ Maaf
lambat.” Hanya sepatah kata sahaja yang keluar daripada bibir Qusyairah.
Sementara, Thorique masih dalam pelukannya.
“ Tak apa.
Abang pun baru je datang ni. Nak pesan apa-apa ?”
Qusyairah
menggeleng. Jika boleh, dia ingin menyelesaikan segala-galanya secepat mungkin.
Irdina, Umar dan Harraz hanya memerhatikan mereka dari jauh.
“ So, apa
yang Encik nak cakap, sampai nekad nak jumpa saya jauh di Malang ni ?”
Ahmad
Rafiq menundukkan wajahnya. Kemudian, wajahnya sedikit didongak dan matanya
memandang tepat pada mata bekas isterinya.
“ Abang
tahu, abang…”
“ Maaf
Encik, saya tak selesa dengan panggilan tu. Boleh tak Encik berbahasa dengan
formal ?”
Kata-kata
Ahmad Rafiq tergendala. Terhiris benar jiwa wanita yang berada di hadapannya.
“ Abang…
Saya tahu. Dah terlambat untuk saya ucapkan kata maaf. Tetapi jujur dan ikhlas
dari hati saya, saya ingin meminta maaf kerana…”
“ Saya dah
maafkan. Tetapi, Encik jangan sangka saya dah lupakan.”
“ Saya,
saya tahu, besar salah saya kepada Qusyairah dan Thorique. Tak mampu rasanya
saya menjawab di hadapan Allah pada hari kiamat nanti jika saya tidak
melafazkan maaf di atas kesalahan saya. Saya juga dalam proses untuk
membersihkan nama Qusyairah. Saya dah failkan permohonan itu dan juga saya dah
bercakap sendiri dengan ibu dan ayah Qusyairah. Mereka mengharapkan kepulangan
Qusyairah.”
Qusyairah
hanya mendengar tanpa apa-apa reaksi pada wajahnya. Hatinya sudah kering. Benar
kata orang, seorang manusia boleh bertukar personaliti jika puas tersakiti.
“ Dan,
saya juga ada menghibahkan sedikit harta pemilikan saya kepada Thorique.
Memandangkan, hanya Thorique lah waris saya. Semoga apa yang saya tinggalkan
dapat membantu awak untuk membesarkan Thorique. Saya yakin, awak mesti nakkan
yang terbaik untuk Thorique. Sewaktu Thorique membesar, saya tak pasti yang
saya masih ada di dunia ini. Laknat Allah kepada saya, bila-bila masa sahaja
boleh tiba. Selain itu, yuran pengajian awak yang berbaki sudah saya lunaskan.
Begitu juga bayaran rumah sewa awak. Saya tahu tak cukup dengan ini. Tetapi,
ini sahajalah yang saya mampu untuk menebus semua kesalahan saya pada awak.”
Air mata
Qusyairah menitis kerana teringatkan kenangan manisnya bersama Ahmad Rafiq
sewaktu mula-mula bergelar suami isteri. Sewaktu itu mereka berdua sudah mulai
merancang tentang anak dan masa depan mereka.
“ Abang
kalau boleh, nak kita cepat-cepat ada anak. Dan kalau boleh abang nak anak
lelaki dan kita namakan Thorique.”
“ Bukan ke
Thorique tu nama penakhluk Andalusia ?” Tanya Qusyairah yang sewaktu itu sedang
berbaring di riba Ahmad Rafiq.
“ Ya.
Thorique Ziyyad. Tapi abang cuma ambil nama Thorique. Thorique Ahmad Rafiq.
“ Thorique
Ahmad Rafiq. Tapi nanti kan abang jauh di Mesir. Qusyairah di Indonesia. Macam
mana Qusyairah nak jaga Thorique ? Mesti Thorique rindukan papa dia.”
“ Eleh,
mengaku jelah, Mama Thorique pun akan rindu Papa Thorique.”
“ Mana
ada. Tak rindu pun.”
“ Sabar ya
sayang. Jadikan perhubungan jarak jauh kita ni sebagai penguat semangat untuk
kita sama-sama tamatkan belajar. Abang kalau boleh nak ambil Master di Malaysia
tapi tu lah, Abang dah daftar dulu di sana sebelum mak dan abah satukan kita.”
“ Abang,
boleh Qusyairah tanya satu soalan ?”
“
Tanyalah.”
Qusyairah
bangkit daripada pembaringannya. Dia duduk di hadapan suaminya, lutut bertemu
lutut. Mata suaminya dipandang dengan penuh kasih.
“ Kenapa
abang bersetuju nak kahwin dengan Qusyairah, sedangkan abang tak kenal pun
Qusyairah.”
“ Sebab
redha orang tua. Mak dan abah adalah segalanya bagi abang. Satu lagi sebab
Qusyairah dah memenuhi kriteria wanita yang dianjurkan untuk dinikahi.Perempuan
itu dinikahi kerana empat perkara. Yang pertama, adalah harta, keturunan,
kecantikan dan agamanya.”
“ Nak
dikatakan berharta, tak adalah sangat. Nak dikatakan keturunan, Qusyairah bukan
puteri raja. Cantik tu tak ada, tapi, Qusyairah tahu Qusyairah comel.” Ahmad
Rafiq sempat mencubit pipi isterinya yang bersahaja.
“ Agama…,”
Qusyairah menyambung. “ Kalau agama, Qusyaira tak rasa ilmu agama ni penuh di
dada. Setakat yang biasa-biasa tu adalah.” Ujar Qusyairah merendah diri.”
Tangan
Ahmad Rafiq melingkar pada bahu Qusyairah. Semakin erat. Qusyairah suka. Rasa
sangat disayangi.
“ Ramai orang meletakkan kriteria yang tinggi
dalam panduan memilih isteri. Bagi abang, jika harta yang dipandang bukanlah
harta dan kemewahan. Cukuplah sekadar harta untuk memenuhi keperluan diri
sendiri. Jika keturunan, bukanlah puteri raja ataupun keturunan terhormat.
Cukuplah ada identiti diri. Jelas nasabnya. Keluarga abang pun tahu siapa ayah
dan ibu Qusyairah. Itu sudah memadai. Jika kecantikan, kecantikan adalah
subjektif. Ada orang suka yang kulit putih gebu. Hidung mancung. Ada orang suka
yang kuning langsat. Ada orang suka yang kurus ramping. Ada orang suka yang
berisi. Jadi, kecantikan tu abang nilai, asalkan tenang mata memandang. Jika
agama, memadai orang yang menjaga solatnya. Pandai mengaji. Kerana selebihnya,
suamilah yang membimbing.”
“ Tapi
takkanlah abang tak ada pilihan lain selain Qusyairah ? Takkan tak ada akhawat
Malaysia di Mesir yang abang boleh jadikan sebagai isteri ?”
“ Sayang
cemburu ya ? Sayang. Di saat abang dah melafazkan akad, dah tak ada perempuan
lain yang bertahta di hati abang. Atau, sayang sebenarnya pernah ada pilihan
hati yang lain ? Jujur je. Abang faham.”
Qusyairah
terdiam. Teringat Harraz. Namun cepat-cepat Qusyairah menggeleng.
"
Antara kita harus saling percaya. Inilah dugaan hidup berjauhan. Abang berdoa
kepada Allah agar rumah tangga kita diberkati dan kekal harmoni. Abang berjanji
takkan mensia-siakan sayang."
"
Qusyairah pun akan selalu mendoakan agar hati kita sentiasa teguh dan tabah.
Satu tahun tu tak lama. Qusyairah yakin kita boleh lalui satu tahun ni dengan
baik."
Doa yang
dipanjatkan ternyata tidak termakbul. Mungkin ada sesuatu yang lebih baik Allah
akan gantikan. Tangisan Thorique mengembalikan Qusyairah ke alam realiti.
Qusyairah segera menyeka air matanya. Ahmad Rafiq juga turut sama menangis
kerana gagal mempertahankan rumah tangga mereka.
“ Boleh
saya pegang Thorique ?”
Qusyairah
mengangguk lemah. Dia menyerahkan Thorique kepada Ahmad Rafiq. Sementara
Irdina,
Umar dan Harraz hanya menyaksikan adegan air mata antara Ahmad Rafiq
dan Qusyairah. Ada sesuatu di dalam benar hati Harraz yang mengganggunya ketika
itu. Dia langsung beredar ke luar mengambil angin malam.
Tidak lama
kemudian, Harraz menerima panggilan daripada Malaysia.
“
Assalammualaikum anak ummi.”
“
Waalaikumsalam, Ummi. Ummi sihat ?”
“ Sihat.
Alhamdulillah. Bila nak balik Malaysia ?”
“ Tak tahu
lagi Ummi. Masih dalam proses penilaian. InsyaAllah bila dah selesai semua
urusan, Harraz balik.”
“ Ya. Ummi
rindu dekat Harraz. Adik-adik pun sama jugak. Lagipun, madrasah kita perlukan
Harraz. Itu amanah arwah Abi. Qusyairah
dan anak dia apa khabar ?”
“
Alhamdulillah baik.”
“ Kamu
masih jaga anak dia ?”
“ Masih.”
“ Ummi
bukannya apa. Ummi dah serik dengar bualan orang. Macam mana orang jaja nama
anak Ummi dulu. Pedih hati Ummi. Kamu pun dah kenal Qusyairah lama. Anak dia
pun dah selesa dengan kamu. Kalau boleh, kamu nikahilah Qusyairah tu. Dia
perlukan pelindung. Ummi tahu, kamu masih sayangkan Qusyairah.”
Sebenarnya
sudah lama dia fikirkan tentang itu. Namun belum ada kekuatan untuk
mengatakannya
kepada Qusyairah. Qusyairah juga masih belum benar-benar
melepaskan perasaannya terhadap Ahmad Rafiq. Sanggupkah Harraz tinggal dalam
bayang-bayang seseorang sedangkan dirinya benar-benar mencintai Qusyairah ?
“ Harraz
akan fikirkan lagi. Lagipun, Harraz masih kena tanggung Ummi dan adik-adik.
InsyaAllah akan tiba juga waktunya.”
“ Baiklah.
Ummi letak dulu. Nak urus adik-adik ni. Sampaikan salam Ummi kepada Qusyairah.
Assalammualaikum.”
“
Waalaikumsalam.”
Harraz meletakkan
panggilan. Dia kembali ke dalam kafe. Qusyairah masih lagi duduk bersama Ahmad
Rafiq. Tetapi ada Irdina dan Umar bersama. Harraz melangkah menyertai mereka.
“ Pergi
mana tadi ?” Tanya Umar.
“ Mak aku
telefon tadi. Qusyairah, Ummi kirimsalam.”
“ Waalaikumsalam.”
Ahmad
Rafiq masih cemburu tetapi salah dia sendiri kerana mensia-siakan Qusyairah.
Dia berharap jika Harraz lah pilihan Qusyairah nanti, Harraz dapat menjaga
Qusyairah dan Thorique dengan baik.
“ Semua
dah ada dalam tu. Saya yang tolong Qusyairah kemaskan tadi. Kalau ada apa-apa
minta tolong Harraz sebab dia dah biasa.” Ujar Irdina. Umar dari jauh memberi
isyarat mata kerana ekspresi wajah Ahmad Rafiq mulai berubah. Namun Irdina
masih berlagak biasa.
“ Baiklah.
Terima kasih sekali lagi. Saya balik dulu. Assalammualaikum.” Ujar Ahmad Rafiq.
Harraz dan Umar hanya mengikuti dari belakang. Irdina dan Qusyairah tidak lama
kemudian pulang ke bilik sewa mereka masing-masing.
Di kediaman Harraz, setelah menidurkan Thorique,
Ahmad Rafiq mengajak Harraz berbual sebentar. Kali ini isi kandungannya lebih
serius daripada pemintaan yang sudah terlaksana.
“ Harraz.
Aku nak minta maaf.”
Harraz
hairan. Tidak mengerti maksud Ahmad Rafiq.
“ Aku dah
memisahkan dua jiwa yang saling mencintai. Aku tahu tindakan aku zalim dan ego.
Kalaulah aku tak menikahi Qusyairah, pasti dia dah bahagia bersama kau. Maafkan aku sekali lagi sebab dah merampas
Qusyairah dari kau. ”
“ Tiada
siapa yang merampas Qusyairah. Walaupun pada awalnya aku kecewa tetapi kenapa
perlu aku kesalkan sesuatu yang bukan milik aku pun. ”
“ Tetapi
kali ini aku harap kau dapat terima Qusyairah dan Thorique. Aku yakin yang kau
boleh jaga mereka. Aku betul betul menyesal dengan apa yang aku dah lakukan.
Antara kami, dah tiada kata kembali. Sekarang apa yang aku fikir, masing-masing
kena teruskan kehidupan. Untuk memberikan kehidupan yang baik seperti janji aku
kepada Qusyairah dahulu adalah mustahil. Jadi dengan ini, besar harapan aku
untuk kau kembali kepada Qusyairah. Jadi ayah yang baik kepada Thorique.”
Suara
rengekan Thorique kedengaran.
“ Aku tak
paksa. Tapi aku harap kau fikirkan balik permintaan aku. Aku nak masuk tidur
dulu. Anak aku dah menangis.”
“ Rafiq, aku
tak boleh hidup dalam bayang-bayang kau. Qusyairah sebenarnya masih mencintai
kau. Seperti yang kau cakap, antara kau dan Qusyairah tiada kata kembali. Tapi
bagaimana jika ada ? Aku pasti Qusyairah akan menerima kau kembali.”
Ahmad
Rafiq terdiam.
“ Tapi hal
ini takkan merubah kasih sayang aku terhadap Thorique. Aku sayang Thorique
bukan kerana Qusyairah.” Jujur Harraz mengatakannya.
“ Baiklah.
Semoga Allah memberi petunjuk dan bantuan kepada kita untuk menyelesaikan semua
kekusutan ini.”
Ahmad
Rafiq beredar ke bilik sebelah. Dia membaringkan dirinya di sisi Thorique. Air
mata penyesalannya mengalir lagi. Dahi Thorique dikucup lembut.
“ Anak
papa. Mungkin suatu hari nanti Thorique tak akan kenal papa sebagai bapa
Thorique. Papa redha. Tapi percayalah, papa sangat menyayangi Thorique. Maafkan
papa sebab dah jadi kejam kepada mama dan Thorique. Papa tinggalkan Thorique
bukan kerana Papa tak sayang. Salah papa juga sebab tak cukup percaya dengan
mama. Mama Thorique adalah perempuan yang baik. Seorang yang taat dan menjaga
agamanya. Cuma papa yang tak menghargai mama. Papa harap Thorique jadi anak yang soleh. Jaga mama.
Kalau Thorique ada papa baru nanti, Thorique kena hormat dia. Thorique mesti
qowiy. Semoga Thorique menjadi insan yang bermanfaat kepada keluarga dan agama
dunia dan akhirat. Papa sayang Thorique.”
Air
matanya mengalir deras. Tanpa sedar, Harraz telah menyaksikan semuanya. Kasih
yang tak kesampaian dari seorang bapa kepada anaknya. Adakah Harraz tegar
membiarkan permintaan Ahmad Rafiq begitu sahaja. Sesungguhnya dia juga buntu.
Namun, kepada siapa dia harus luahkan semua ?
“ Allah.
Jika jiwa rasa kosong dan sesak, kembalilah kepada Allah. Kerana Dialah yang
mengetahui segala isi hati.” Pesan Ummi masih lagi terngiang-ngiang. Sudah lama
dia tidak bertahajud. Adakah apa yang berlaku di sekelingnya itu merupakan
teguran daripada Allah ?
Lantas
Harraz beredar membiarkan Ahmad Rafiq berdua bersama Thorique dan mengorak
langkah untuk mengadu kepada Sang Pencipta.
BAB LIMA
Fakultas
Syariah, UIN Maulana Malik Ibrahim
Di hadapan
ruangan SY 201 Qusyairah menanti penuh debar. Hari ini dia akan membentangkan
tesis kajiannya. Dia sudah mencuba sehabis baik dan kini hanya berserah dan
bertawakal kepada Allah.
Sementara
itu Qusyairah melilau keadaan sekeliling. Dia mencari kelibat Harraz. Sudah dua
minggu dia tidak bertemu dengan Harraz. Qusyairah juga tidak terfikir untuk
menghubungi Harraz dan dia juga tidak menerima sebarang panggilan dan mesej
daripada Harraz.
“ Ya Allah
kenapa aku ni ? Penting sangat ke ?”
Qusyairah
hairan kerana perasaannya berbaur-baur di luar kebiasaan. Adakah dia tidak
betah tanpa Harraz ? Jiwanya berkecamuk. Seperti sedang berperang dengan ego
dalamannya.
“
Astaghfirullahalazim.” Qusyairah meletakkan kedua-dua tapak tangannya pada
wajahnya. Fikirannya runsing beberapa hari ini. Mungkin kerana terlalu banyak
berfikir.
“
Qusyairah. Kau relaks je. Kau je yang overthinking. Fokus… Fokus..”
Qusyairah
menyarung blazernya dan masuk ke dalam ruangan SY 201 setelah dipanggil masuk.
“
Allahumma Yassir Wa La Tuassir Rabbi Tamim Bil Khair,”
Qusyairah
melangkah masuk dengan penuh debar. Senyuman ibuk Faridatus Syuhada
menenangkannya. Selain itu, terdapat beberapa panel penilai yang lain bersama
mereka di ruangan itu.
“
Qusyairah, sihat ?”
“ Iya
buk.”
“ Ibuk
kira kamu pulang sekalian ke Malaysia bersama Harraz ?”
“ Harraz
pulang bu ?”
“ Iya,
sempat pamit ke ibuk.”
Di dalam
hati Qusyairah mempersoalkan. Mengapa Harraz tidak memberitahu kepadanya ?
“
Qusyairah, sudah siap ?”
“ Iya
buk.”
“ Silakan
dipresentasi skripsinya.”
Qusyairah
mengembalikan fokusnya. Harapannya agar segera lulus dan dapat memulakan
kehidupan baru setelah berjaya menamatkan pelajarannya. Namun kini, fikirannya
masih sedikit terganggu dengan panggilan telefon daripada ibu dan bapanya. Dia
benar-benar masih belum bersedia untuk berkomunikasi dengan mereka. Tidak cukup
dengan hati yang terluka, dia masih terkesan kerana kata-kata bapanya.
"
Mulai hari ni, kau carilah kehidupan kau sendiri. Keluarlah dari rumah ni. Dan
kau bukan anak aku lagi."
Inilah
yang sedang dia lakukan sekarang. Mencari kehidupan sendiri.
Irdina
masih lagi tekun menyiapkan segala tugasannya. Hari ini dia tidak bertugas di
hospital kerana keadaannya yang kurang sihat. Pada awalnya Irdina berdegil,
namun dia hampir pitam akibat daripada tekanan darah rendahnya.
“ Assalammualaikum.”
Qusyairah mengetuk pintu bilik Irdina. Thorique di bawa sekali.
“
Waalaikumsalam.” Balas Irdina sambil membuka pintu. Sesekali Irdina terbersin.
“ Dina. Ni
aku ada masak bubur ayam. Kau makanlah ya. Tadi Umar minta tolong aku suruh
tengok-tengokkan kau.”
“ Thanks
Qusyairah. Thorique sayang. Sorry, Aunty Dina tak boleh nak dukung.” Pipi
Thorique dicuit sahaja. Irdina tidak mahu menjangkitkan demamnya kepada
Thorique.
“ Banyak
kerja kau ?”
“
Biasalah. Report banyak kena buat. Ni pun aku tengah runsing ni. Balik je
Malaysia nanti Abah aku suruh nikah terus dengan Umar. Aku dah lah tak ready
apa-apa lagi.”
“ Wah.
Alhamdulillah. Baguslah. Kahwin terus. Lagipun sejak third year Umar dah jumpa
abah dan family kau kan ?”
“ Dah. Tapi
tu lah kita orang risau gak dengar berita di Malaysia. Graduan Medik sekarang
bersaing untuk dapatkan penempatan. Kalau kita orang menganggur, macam mana nak
membina kehidupan ? Kita orang tak nak lah kalau kahwin nanti parents masih
tanggung. Memang abah aku tak kisah. Parents Umar pun tak kisah, tapi kita
orang yang rasa serba salah.”
“ Dina.
Percaya dengan rezeki Allah. Lagipun jalan kau dan Umar dah dipermudahkan oleh
Allah. Keluarga dah restu.” Tangan Irdina dipegang. Qusyairah tumpang gembira
dengan berita yang dibawakan sahabatnya.
“ Tapi kau
macam mana ? Aku tak boleh tinggalkan kau sendiri sementara aku seronok
honeymoon.”
“ Tak apa
Irdina. Aku okay je. Insya Allah aku boleh jalani kehidupan aku.”
“
Qusyairah. Kenapa kau tak nak terima je si Harraz ?”
“ Eh,
kenapa kau tanya macam tu ?”
Irdina
terdiam sahaja. Dia lupa yang Umar memintanya merahsiakan perkara itu.
“ Eh tak
jadi lah.” Ujar Irdina sambil tersengih.
“ Irdina.
Cakap.”
“ Aku
memang tak boleh berahsia dengan kau. Kau ni cepat je tahu kan ?”
“ Eh, kita
kenal berapa lama ? Okay teruskan apa yang kau nak cakap.”
“ Harraz.
Dia balik Malaysia sebab fikiran dia terganggu.”
“ Kenapa
?”
“ Sebab
kau tolak dia hari tu ?”
“ Aku
bukannya tolak dia. Aku rasa aku tak layak. Aku dah lukakan hati dia dan lepas
tu mengharapkan dia kembali dalam kehidupan aku ?”
“ Tapi aku
tengok dia ikhlas je dengan kau.”
“ Kau
fikir senang ke hati kita ni nak ikhlas ? Tak semudah tu tau.”
“ Ke kau
yang masih tak boleh lupakan Rafiq ?”
Qusyairah
terdiam sekali lagi. Dia keliru dengan perasaan sendiri. Hendak kembali tiada
jalan lagi, jika meneruskan kehidupan dengan Harraz, dia berasa paranoid.
Semakin dia belajar di dalam bidang hukum keluarga, semakin itu dia dihadapkan
dengan pelbagai realiti kehidupan dalam institusi keluarga. Tidak perlu mengambil
contoh lain, apa yang berlaku kepada dirinya sudah cukup menjadikannya serik
untuk hidup berdua. Ironi ? Cukup ironi.
“ Aku tahu
masih ada sekelumit perasaan kau kepada Rafiq. Kau cuma tawar hati je Qusyairah
tapi tak bermakna perasaan tu dah hilang. Aku, sebagai sahabat kau nak kau
bahagia. Sudah sudahlah memandang masa lepas. Buang semua rajuk kau. Jangan
sampai kau hilang orang yang sayang kau.”
“ Dina,
kau tak faham…”
“ Apa yang
tak faham. Aku kenal kau dah berapa lama ? Berhentilah pura pura kuat Qusyairah.
Aku tahu kau sebenarnya pura-pura kuat sebab kau dah terbiasa berdikari. Beri
peluang untuk orang terdekat dengan kau memanjakan kau. Beri peluang Harraz untuk
melindungi kau. Ayat “ saya tak cukup baik untuk awak” dah cliché. Ni dah tahun
2017.”
“ Kenapa
kau bebelkan aku ?”
“ Sebab
kau degil Qusyairah. Sometimes kau ego.”
“ Aku tak
nak Harraz menerima aku sebab belas kasihan.”
“ Mana kau
tahu ? Kau ni tak percaya aku. Jap. Aku nak tunjukkan kau benda ni. Ya Allah.
Maafkan aku sebab aku tak jaga amanah ni. Semoga Kau redha. Aku cuma nak
betulkan hamba-hambaMu yang degil dan kepala batu ni.”
“ Apa doa
macam tu Irdina.” Qusyairah ketawa. Perwatakan Irdina yang selamba membuatkan
keadaan tidak tegang seperti mula-mula tadi.
“
Apa-apalah. Aku yakin Allah faham doa aku. Eh, sekejap.” Irdina mengeluarkan
sebuah kotak kecil yang disimpan di dalam lacinya.
“ Kotak
apa ni ?”
“ Kau
bukalah.”
Qusyairah
teragak-agak untuk membuka kotak tersebut. Ada sejumlah wang yang bercampur
mata wang Indonesia dan juga Malaysia. Di sebalik kotak tersebut, ada sekeping
kertas yang tertulis
“
BaitulMuslim 2017 Harraz dan Qusyairah.
Semoga Allah permudah semua.”
“ Aku rasa
aku tak perlu jelaskan benda ni. Aku yakin kau tahu untuk apa duit tu.”
Qusyairah
terkedu. Dia kehilangan kata.
“ Masa dia
tahu kau nak menikah, dia bagi aku kotak tu. Kenapa ? Sebab dia tak nak kotak
tu mengingatkan dirinya tentang kau. Sebab duit tu dia simpan demi kau. Kau
tahu tak dalam tu ada berapa ?”
Qusyairah
menggeleng.
“ Campur
tolak ada dalam RM 2500. Tiga tahun menabung. Jadi apa maksudnya ?”
“ Dina.
Aku tak tahu nak buat apa. Aku blur.”
“
Sekarang, yang tahu apa yang terbaik untuk kau adalah diri kau sendiri. Dan
yang menentukan apa yang terbaik untuk Thorique adalah kau. Dulu kau hanya fikirkan
tentang diri kau sahaja. Tapi sekarang, kau kena fikirkan tentang anak kau. Aku
rasa Harraz lah yang terbaik untuk menjadi ayah Thorique dan aku pasti Rafiq
pun nakkan hal yang sama.”
“ Tapi aku
rasa Umar lah yang sesuai untuk jadi ayah Thorique. Ke camne ?”
“ Eh,
sengal kau ni. Aku hempuk kang pakai bantal. Tak boleh. Umar aku punya.”
“ So,
cepatlah kahwin.”
“ Orang
nasihat dia, dia pulak nasihat kita. Apa-apalah.”
“ Erm, kau
tahu tak bila Harraz balik ?”
“ Tu aku
tak pasti. Kenapa kau tak direct je call Harraz ?”
“ Aku tak
ada urusan dengan dia.”
“ Ha,
nanti tak pasal-pasal Harraz balik sini nanti dengan bini dia. Jangan menyesal
sudah.”
Qusyairah
mencemik. Manakala tangan Irdina masih menaip. Thorique pula seakan mengantuk
dan Qusyairah meminta diri untuk pulang ke biliknya.
Tujuh
Hari Kemudian…
“ Esok
Harraz balik. Tapi berdua.” Ujar Umar. Hari ini Irdina membawa Umar dan
Qusyairah ke Bangi Kopitiam sebagai ganjaran setelah melalui minggu
peperiksaan.
“ Dengan
siapa ?” Irdina ingin tahu.
“ Erm. Tak
pasti.” Umar seperti menyembunyikan sesuatu.
“ Mak dia
kot.” Teka Qusyairah. Dua hari yang lepas Qusyairah ada menghantar mesej kepada
Harraz namun belum mendapat balasan. Mungkin Harraz sibuk.
Umar tidak
menambah. Dia hanya tunduk.
“ You tak
sihat ke Umar ?”
“ I okay
je. Dah makan cepat. Lepas ni kita pergi MOG.” Dari nada suara Umar masih
tergambar rasa serba salahnya. Apakah penyebabnya.
“ Umar.
Kenapa ?” Qusyairah dapat mengagak.
“ Tak ada
apa.”
“ Baiklah.
Malang
Olympic Garden ( MOG )
Qusyairah
melihat Umar seperti runsing. Tidak ceria seperti biasa. Begitu juga Irdina.
Sepertinya ada sesuatu yang berlaku di luar pengetahuannya.
“ Apa
masalah kau berdua ni ? Ada apa-apa ke yang sepatutnya aku kena tahu tapi aku
tak tahu ?”
“ Harraz
dah menikah, Qusyairah.”
“ Jadi ?”
“ Harraz dah menikah tapi kau ?”
“ Dah jodoh dia Irdina. Tak apa. Aku
gembira dia dah jumpa jodoh yang terbaik untuk diri dia.”
“ Kau tak rasa kesal ke apa ?”
Qusyairah menggeleng. Dia senyum
sahaja.
“ Eh, Umar, tolong dukung Thorique
dulu, aku nak pergi tandas sekejap.”
Thorique
yang tembam diserahkan kepada Umar. Irdina tidak betah mendukung Thorique lebih
dari lima minit.
Sementara
di bilik air, Qusyairah tidak dapat menahan air matanya daripada terus
mengalir. Beberapa kali dia menyeka air matanya dan memujuk hatinya.
“ Kenapa
aku perlu sedih.” Qusyairah bermonolog. Sementara beberapa pengunjung lain
hairan melihat kelakuannya. Beberapa kali wajahnya dicuci supaya tidak
kelihatan seperti baru menangis.
“ Mbak ?”
Tisu dihulur oleh salah seorang pengunjung tandas awam.
“
Makasih.”
Lima minit
kemudian, Qusyairah keluar daripada tandas dengan wajah yang pura-pura tenang.
Umar dan Irdina juga berpura-pura tidak perasankan kemerahan setelah menangis
pada wajah Qusyairah.
“ Nak
pergi mana lagi selepas ni ?” Irdina bertanya.
“ Balik ?”
Umar mencadang.
“ Jap.
Teman aku pergi kedai CD dulu. Aku nak cari drama Korea.”
“ Eh sejak
bila kau layan Korea ni ?”
“ Hari ni
? Jom.”
Irdina
mengerti, sahabatnya sedang gundah. Dia dan Umar berasa serba salah kerana
menipu
Qusyairah. Bukannya apa. Qusyairah dan Harraz adalah manusia yang paling
degil dalam muka bumi ini. Ego untuk mengakui perasaan sendiri. Sampai bila
Irdina dan Umar harus menjadi pendengar luahan perasaan yang tidak terluah pada
empunya badan ?
BAB ENAM
Qusyairah
seperti biasa pada masa lapang dia akan mengemas biliknya. Setelah itu, dia
akan menghabiskan masanya dengan membaca buku undang-undang di Malaysia.
Memandangkan tidak lama lagi dia akan menamatkan pengajiannya, Qusyairah sudah
mulai menghantar resume ke mana-mana agensi yang boleh menawarkan pekerjaan
kepadanya di Malaysia. Tentang soal pekerjaan, Qusyairah tidak memilih. Asalkan
dia dapat mempraktikkan keilmuan yang ada.
“
Eeeeeekkkkk.” Tiba-tiba Thorique menangis seperti kesakitan. Qusyairah panik.
Tidak pernah Thorique menangis seperti itu. Qusyairah memeriksa anaknya yang
menangis tiba-tiba. Irdina di bilik sebelah juga mendengar suara tangisan
Thorique yang luar biasa.
“ Kenapa
Thorique ni ?”
“ Aku tak
tahu. Dia elok je atas katil tadi. Tiba-tiba menangis. Kau tolong check dia.”
“ Mungkin
masuk angin atau sembelit. Kau ada bagi makan solid food tak ?”
“ Tak
ada.”
Irdina
mengendong Thorique dan menterbalikkan Thorique. “ Dia ada muntah-muntah tak ?”
Qusyairah
masih menggeleng.
Irdina
memeriksa suhu badan Thorique. Normal sahaja.
“ Sekarang
kau mandikan Thorique dan susukan dia. Aku ingat dulu masa adik aku nangis.
Macam ni lah mak aku buat. Aku siap dulu, lepas ni kita pergi hospital. Risau
pulak aku tengok. Takut ada sakit di dalam. Aku order grab car.”
Irdina
bersiap-siap dahulu. Dia mengenakan blaus maksi dan instant shawl berwarna
sama. Setelah itu, Irdina membantu Qusyairah menyiapkan Thorique yang masih
lagi menangis walaupun sudah disusukan. Dalam masa yang sama Irdina menghubungi
Harraz.
“ Harraz…”
Telefon
bimbit Irdina dirampas oleh Qusyairah. Panggilan dimatikan. Irdina hairan
dengan kelakuan Qusyairah.
“ Kenapa
kau rampas ?”
“ Tak
perlu minta tolong dia. Tak perlu cakap kat dia. Ni anak aku. Bukan anak dia.
Dia dah ada kehidupan sendiri.”
“
Tapi Qusyairah. Harraz yang selama ini
jaga Thorique. Harraz pun dah dianggap seperti ayah Thorique. Tak salah kan ?”
“ Apa kata
isteri dia nanti. Korang kan cakap dia dah menikah. Sekarang ni pun dia ada di
Malang dengan isteri dia.”
Irdina
tiba-tiba teringat dengan rancangan dan pakatannya bersama Umar semalam sewaktu
di MOG. Ternyata Qusyairah benar-benar terkesan dengan berita pernikahan
Harraz.
“ Sorry
Qusyairah. Aku dah text Umar. For sure, kalau benda berkaitan dengan Thorique
dan kau, Umar mesti akan beritahu Harraz. Dah kau pergi bersiap. 10 minit lagi
Grab Car sampai.”
Qusyairah
menurut sahaja. Ada benar kata Irdina. Tapi bagaimana utnuk dia menghadapi
Harraz nanti ?
Instalasi
Gawat Darurat
Rumah Sakit Universitas Muhammadiyah Malang
Rumah Sakit Universitas Muhammadiyah Malang
Irdina
masih setia menemani Qusyairah yang menunggu giliran mendapatkan rawatan untuk
Thorique. Sedari tadi Thorique tidak berhenti menangis. Telefon bimbit
Qusyairah yang berdering tidak disambut.
“ Meh sini
handphone kau. Kenapa lah tak angkat call ? Kot-kot benda penting.”
Qusyairah
membiarkan sahaja. Baginya Thorique adalah keutamaannya sekarang. Irdina
mengambil telefon bimbit Qusyairah dan menjawab panggilan tersebut.
“
Assalammualaikum Kakak…” suara tangisan di talian.
“
Waalaikumsalam. Saya Irdina kawan Qusyairah. Boleh tahu ni siapa ?”
“ Kak
Irdina. Ni Qusyairi. Adik Kak Qusyairah. Kakak mana ?”
“ Thorique
masuk hospital. Jadi Qusyairah masih sibuk uruskan Thorique. Kenapa ya ?”
“ Abah..
Abah dah tak ada.”
“
Innalillahiwainnalillahiwailaihirajiun. Bila dik ?”
“ Pagi
tadi. Kakak boleh bagi telefon dekat Kak Qusyairah ?”
“ Sekejap
ya dik.”
Irdina
serba salah untuk memberitahu Qusyairah berita kematian bapanya.
“
Qusyairah. Adik kau nak cakap.”
“ Tak nak.
Aku tak ada urusan apa-apa dengan dorang.”
“
Qusyairah. Tolong sekali ni. Cakap dengan adik kau.”
“ Jangan
paksa aku boleh ?”
“
Qusyairah.” Suara Irdina naik dua oktaf. Semua staf yang bertugas memandang.
Irdina sudah hilang sabar. Maka secepatnya dia beredar ke luar dan membiarkan
Qusyairah sendiri bersama Thorique. Air mata Irdina mengalir. Dia sedih melihat
perubahan sikap sahabatnya yang dahulu dikenali sebagai seorang yang lembut
hati dan sentiasa berlapang dada.
Dari jauh
Umar datang bersama Harraz dan seorang wanita yang berusia sebaya. Mereka mendekati Irdina yang sedang duduk
sambil menundukkan kepalanya di tempat duduk penunggu.
“ Thorique
mana ?” Tanya Harraz.
“ Ada di
dalam.”
Harraz
segera masuk ke dalam ruangan Instalasi Gawat Darurat meninggalkan Umar, Irdina
dan Maisarah.
“ Kak Mai.
Sorry. Dina baru perasan. Kenapa datang Malang tak cakap ?” Irdina memeluk
kasih Maisarah. Sudah lama dia tidak bertemu Maisarah, naqibah usrahnya semasa
dia belajar di asasi UIA di Gambang dahulu.
“ Saja
surprise.”
“ Kenal ke
?”
“ Apa tak
kenal nya ? Anak usrah akak. Umar ni adik susuan akak.”
“ Tak
pernah cakap pun. Kenapa datang Malang
kak ?”
“ Umar tak cakap apa-apa ke ?”
“ Kak Mai
datang pun Dina tak tahu.”
“ Jom
masuk dalam dulu, kak Mai nak jumpa Qusyairah.”
“ Kak Mai
masuklah dulu. Dina tunggu luar.”
Maisarah
mengikuti langkah Harraz. Sementara Umar menunggu di luar bersama Irdina.
“ Kenapa
you nangis ?”
“ Tak ada
apa.”
“ You tak
boleh tipu I. Sebelum I lupa. Ayah Qusyairah baru meninggal pagi tadi. Tak
tahulah dia tahu ke tak.”
“ Belum.
Dia tak tahu lagi.”
“ You dah
tahu ?”
Irdina
tidak dapat menjawab. Dia mendahulukan tangisannya. Masih kecewa dengan sikap
sahabatnya.
“ Adik dia
call tadi nak cakap dengan dia. Tapi dia tak nak. I geram sebab dia masih lagi
nak simpan dendam dia. Rafiq dah bersihkan nama dia kan. Keluarga dia pun dah
nak terima dia balik. Minta maaf. Di mana ketinggian darjat seorang ayah jika
ayahnya sendiri kalah dengan ego seorang anak yang tinggi menggunung ? I tak
sangka Qusyairah macam tu, Umar.”
“ You tahu
kan, dia ditimpa banyak masalah. Kita kena faham Dina. You sebagai sahabat yang
ada bersama dia, you kena menerima lebih dan kurang sahabat you. Kadang-kadang
kita dah rasa kita cukup kenal sahabat kita tapi sebenarnya tak. I tak salahkan
you jugak. You pun nakkan yang terbaik untuk sahabat you kan. So, it’s better
to refresh yourself. Zohor pun dah masuk. Jom kita solat kat masjid depan.”
Irdina
hanya mengikut langkah Umar. Tiba-tiba dia teringatkan Maisarah.
“ Apa yang
you sembunyikan lagi daripada I tentang Kak Mai ?”
Umar
menghentikan langkahnya.
“ Kita
solat dulu ya. Nanti Maisarah sendiri yang akan cakap.”
“ Okay.”
Malas Irdina mahu menyoal lagi. Sekarang dia mahu menenangkan dirinya. Begitu
jauh fikirannya menghukum Qusyairah. Kepada Qusyairahlah dia berhutang pahala
nanti.
Sementara
itu, Qusyairah sedikit kekok apabila berdiri bersama Maisarah dan Harraz. Demi
anaknya, Thorique dia bertahan semampunya. Selesai sahaja sesi rawatan
Thorique, Qusyairah akan segera beredar. Tidak sanggup rasanya untuk melihat
mata Harraz dan Maisarah bertentang. Cemburu ? Pasti ada.
“ Boleh
saya pegang anak Qusyairah ?” Maisarah meminta izin.
“ Boleh.”
“
Semangatnya budak ni. Doktor cakap apa tadi ?”
“ Normal.
Mungkin dia terkejut sahaja.”
“
Qusyairah, awak okay ?”
“ Okay ?
Awak datang dengan isteri awak dan bermesra depan saya. Lepas tu awak tanya
saya okay ke tak ?” Kata-kata itu hanya tersimpan dalam hati. Tidak tegar dia
menghamburkan kemarahannya di hadapan seorang wanita yang baik budi pekerti.
Maisarah dan Harraz kedua-duanya tiada salah kepadanya.
“ Okay.”
“
Takziah.”
“ Takziah
kenapa ?” Qusyairah hairan.
“ Awak tak
tahu ?”
“ Tahu
pasal apa ?”
“ Ayah
awak baru meninggal pagi tadi.”
“ Harraz,
awak cakap apa ni ?” Bergetar suara Qusyairah. Masih lagi ingin menafikan.
“ Ya. Ayah
awak meninggal pagi tadi. Saya fikir awak dah tahu.”
“ Saya tak
tahu. Patutlah Qusyairi call saya berkali-kali dari pagi tadi.”
Maisarah
yang melihat Qusyairah seperti tidak stabil cepat-cepat berada di samping
Qusyairah. Dia mengurut belakang Qusyairah. Thorique diserahkan kepada Harraz.
“ Saya
bawa Thorique keluar dulu ya.” Ujar Harraz.
Qusyairah
tidak mampu mengungkapkan perasaannya. Selepas satu musibah menimpanya, ada
lagi bencana yang datang. Tiba-tiba dia teringat kata-kata Irdina dua hari yang
lepas.
“ Jangan
sampai orang yang betul-betul sayangkan kau pergi meninggalkan kau .”
Tangisan
Qusyairah bertambah deras. Dia kesal dengan keegoannya.
“ Anak
jenis apa kita ni Qusyairah kalau ibu bapa sendiri yang kena melutut nak minta
maaf dengan kita ? Memang mereka salah. Tapi kau tahu kan mereka dah minta maaf
malah sedar kesilapan mereka. Kau masih berkeras. Di mana darjat kemuliaan ibu
bapa ?”
“ Dalam
hal ni aku dah dibuang keluarga tau, Irdina. Aku bukan saja-saja bawa perasaan
tawar hati ni.
“
Qusyairah. Ingatlah yang memaafkan itu lebih mulia. Aku tahu aku tak lalui
perkara tu, tapi takkan tak ada sekelumit kemaafan yang berbaki untuk ibu bapa
kau ? Kalau Rafiq semudah tu kau maafkan, kenapa tak ibu dan bapa kau. Aku
kesian tau dengan ayah kau, mak kau.”
Telefonnya
berdering. Kali ini panggilan yang diterima adalah daripada Fikri. Qusyairah
segera mengangkat panggilan tersebut.
“
Qusyairah. Abang dah beli tiket untuk Qusyairah dan Thorique petang ni. Nanti
malam abang dan kakak jemput di KLIA 2.”
“ Ya. Terima
kasih.”
Qusyairah
dan Maisarah berjalan beriringan keluar daripada hospital menuju ke masjid.
Thorique dititipkan kepada Irdina dan Umar yang sudah selesai solat.
“ Semoga
arwah bapa Qusyairah ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman.” Pujuk
Maisarah. Irdina menyertai mereka. Dia juga turut sama memeluk Qusyairah.
Kemarahan yang dia rasakan tadi telah menghilang.
“ Sorry
Qusyairah aku tinggikan suara tadi.”
“ Aku pun
nak minta maaf sebab tak dengar cakap kau. Dah aku nak solat dulu.”
Sedang Maisarah
dan Qusyairah menunaikan solat, Irdina hanya duduk di suatu sudut. Thorique
disusukan dengan susu perahan. Thorique kini lebih tenang. Si kecil itu seperti
tahu yang ibunya sudah kehilangan bapa.
“ Irdina.
Irdina.” Harraz memanggil.
“ Apa ?”
“ Sini
sekejap.”
Irdina
menurut. Di luar Harraz dan Umar sudah menunggu.
“ Kenapa
?”
“ Tadi
Dina tanyakan, kenapa bawa Maisarah ke sini ?” Harraz bertanya.
“ Ya.
Kenapa ?” Irdina ingin tahu.
“ Maisarah
sebenarnya,...” Umar menyambung.
Maisarah
dan Qusyairah muncul menyertai mereka. Umar tidak sempat menghabiskan ayatnya.
“ Lepas ni
kita nak pergi mana ?”
“ Kak Mai
dah jalan pergi mana sahaja ?”
“ Belum
jalan lagi.”
“ Kalau
macam tu, kau dengan Irdina bawa Maisarah pergi jalan-jalan. Aku akan teman
Qusyairah untuk ke airport lepas ni.”
“ Tak
payahlah. Saya boleh gerak sendiri. Awak ikut Umar, Irdina dan Maisarah.”
“ Okay.
Saya ikut awak.” Harraz berdegil. Qusyairah malas melayan. Umar membawa mereka singgah sebentar di
kediaman Irdina dan Qusyairah. Setelah itu, Umar terus menghantar Qusyairah,
Harraz dan Thorique ke stesen keretapi.
“ Terima
kasih Umar.” Ucap Insyirah.
“ Kau
balik bila Harraz ?”
“ Aku ke
Malaysia sekali. Abang Fikri suruh ikut sekali. Tadi dia call.”
“ Kau biar
betul ?” Tanya Umar seperti tidak percaya.
“ Macam
mana Kak Mai ni ?”
“ Eh tak
apa. Saya okay je. Hati-hati di jalan. Apa-apa jangan lupa inform kami di sini.
Qusyairah. Maaf kita tak sempat berborak lama. Semoga nanti suatu hari kita
berkesempatan untuk borak-borak.”
Qusyairah
membalas pelukan Maisarah. Dia berasa geram dengan Harraz kerana tegar
meninggalkan Maisarah sendirian di Malang. Meskipun Umar dan Irdina ada untuk
bersama Maisarah, tetapi sebagai suami, Harraz sudah melukakan hati Maisarah.
“ Kenapa
awak ikut saya ? Kenapa awak tinggalkan Maisarah sendiri ?”
“ Abang
Fikri yang minta saya ikut awak. Sebab risau awak berdua je dengan Thorique.”
“ Tapi
awak tak terfikir ke apa perasaan Maisarah awak ikut saya ?”
“ Okay je
saya tengok. Irdina ada. Umar pun ada. Kenapa ?”
“ Malas
nak cakap dengan orang macam awak.”
Harraz
membiarkan sahaja Qusyairah menghamburkan kemarahannya. Dia tahu yang emosi
Qusyairah kurang stabil.
“ Awak
rehatlah dulu. Biar saya yang pegang Thorique.”
Qusyairah
berhati-hati. Sengaja Harraz tidak memesan tempat duduk berdua dengan Qusyairah
kerana masing-masing tidak selesa duduk dalam jarak yang dekat. Kebetulan,
Qusyairah duduk bersama seorang wanita yang berusia separuh abad.
“ Anaknya
imut sekali. Siapa namanya ?”
“ Thorique
bu.” Jawab Qusyairah penuh hormat.
“ Kayaknya
anak itu lebih akrab sama ayahnya.” Wanita tersebut memberikan pandangan jujur.
Suka melihat layanan Harraz kepada Thorique. Thorique juga kelihatan riang.
Qusyairah
hanya tersenyum. Betapa dia mengharapkan seperti itu, namun Harraz sudah menjadi
milik orang. Salah Qusyairah juga. Saat Harraz benar-benar ikhlas, Qusyairah
menyatakan alasan. Layakkah dia untuk berduka di atas perbuatannya sendiri ?
“ Saya dah
fikir dan saya dah minta petunjuk Allah. Insya Allah keputusan yang saya ambil
ni, betul.”
“ Apa awak
cakap ni Harraz ?”
Harraz
berjeda. Mengumpul kekuatan.
“ Setelah
selesai semuanya, balik sahaja kita di Malaysia, saya nak ambil awak jadi
isteri saya yang sah. Dan kita akan mulakan hidup baru.” Laju-laju Harraz
menundukkan pandangannya. Sebagai seorang lelaki, dia juga mempunyai rasa gugup
itu.
Qusyairah
terkesima. Namun hatinya berbagi tetapi
laju sahaja lisannya menutur balas.
“ Tak.
Maaf Harraz, saya tak boleh terima awak.”
“ Awak
pasti ? Kenapa Qusyairah ?”
“ Saya
hanya tak boleh terima. Saya suka dengan awak Harraz. Saya hargai semua
kebaikan dan pengorbanan awak tapi, saya….”
“ Saya tak
minta peluang kedua Qusyairah. Saya cuma minta satu sahaja peluang. Saya tak
boleh berjanji apa-apa yang lain tapi saya hanya mampu berdoa agar saya diberi
kesempatan dan kudrat untuk menghargai awak dan Thorique.”
“ Maaf
Harraz. Saya tak boleh. Awak layak mendapatkan seorang perempuan yang bersih,
baik dan sesuai dengan awak. Saya tak boleh memberi kebahagian kepada awak.”
“ Saya tak
minta tu Qusyairah. Saya cuma nak menjadi Harraz, kepada awak dan Thorique.
Pelindung kepada awak. Saya tahu. Awak masih sayangkan Rafiq. Tapi saya tunggu.
Saya akan tunggu saat hati awak boleh terima saya sepenuhnya.”
“ Jangan
seksa diri awak Harraz.”
“ Awak
yang jangan seksa diri sendiri, Qusyairah. Saya akur seandainya awak tak pilih
saya. Tapi beri peluang dan buka ruang hati awak untuk menerima orang lain.
Sebab apa, kita takkan dapat hidup seorang. Thorique perlukan seorang ayah.
Saya rela untuk menerima Thorique dengan sepenuh hati. Saya akui, saya tak
boleh berjauhan dari Thorique. Tapi takkan saya berhubungan dengan awak tanpa
ada ikatan yang sah ?”
“ Harraz.
Bagi saya, biarlah hubungan kita ni terbatas sebagai seorang kawan. Saya tak
halang awak untuk dekat dengan Thorique. Malah, selepas ni awak menjauh pun
saya faham. Maaf sangat-sangat. Saya tak dapat terima awak. Erm, saya masuk
dulu. Assalammualaikum.”
Sejak
daripada itu, Harraz tidak lagi menghubungi Qusyairah dan ternyata menurut
Irdina, Harraz pulang ke Malaysia kerana kecewa. Selain itu, dia juga pulang
kerana menguruskan madrasah milik arwah bapanya.
“
Mbak..mbak..”
“ Maaf bu.
Ibu nanya apa tadi ?”
“ Lagi
kuliah ta ?”
“ Iya bu
di UIN Malang.”
“ Anaknya
nanti pasti pintar soalnya mama sama ayahnya sedang kuliah.”
Qusyairah
hanya tersenyum sahaja. Perit tetapi demi menghormati wanita itu, dia
mengiyakan sahaja.
“ Setelah
ini ke mana ?”
“ Mau ke
bandara bu.”
“ Kamu
bukan asal sini ?”
“ Saya
Malaysia.”
“ Iye
Malaysie..” Wanita tadi bertukar loghat. Qusyairah yang mengantuk terus segar
kerana wanita tadi banyak berkongsi cerita dengannya. Sesekali Qusyairah
melihat Harraz dan Thorique. Thorique sudah lena di dada Harraz dan tangan
Harraz terletak elok memeluk Thorique.
“ Nah,
kamu beruntung punya suami yang benar-benar sayang sama anak kamu. Sekarang ini
sulit
untuk ketemu laki-laki yang mau bertanggungjawab. Ini ibu ke Surabaya
untuk ngurusin fasakh anak ibu di peradilan negeri.”
“ Terus gi
mana bu ?”
“ Masih di
dalam proses. Semoga nanti cepat selesai.”
“ Ya bu.
Amin Ya Rabbal Alamin.”
“ Kamu
pulang ke Malaysie, libur ta ?”
“ Ga.
Pulang mendadak. Bapa saya wafat pagi tadi bu.”
“Inna
Lillahi wa inna ilaihi raji'un. Semoga tabah ya. Jauh-jauh kuliah, pulang ke
Malaysie bapanya malah wafat. Mesti bapa kamu itu bangga punya anak seperti
kamu. Pintar, punya suami sholeh, sudah punya anak.”
“Tapi saya
belum sempat berbakti untuk bapa saya bu.” Tidak semena-mena air mata Qusyairah
mengalir.Tersentuh dengan kata-kata wanita tadi.
“ Amal
shalih seorang anak itulah yang menjamin kesejahteraan seorang bapa di alam
sana. Teruskan berdoa. Yang pasti kehidupan di sana lebih baik jika
dibandingkan dengan kehidupan kita di sini.”
Spontan
wanita tadi memeluk Qusyairah. Qusyairah sangat merindui pelukan hangat ibunya.
Dia bertekad selepas ini pulang sahaja ke Malaysia, dia ingin melupakan segala
sengketa meskipun ia berbekas, segala yang lepas itu harus diikhlaskan. Untuk
kehilangan sekali lagi dia tidak sanggup.
Lapangan
Terbang Antarabangsa, Juanda, Surabaya
Setelah
selesai menjalani pemeriksaan imigresen, Harraz dan Qusyairah menunaikan solat
Asar dahulu di surau balai perlepasan. Mereka bergilir-gilir kerana tiada siapa
yang menjaga Thorique. Kemudian, mereka berehat dahulu. Harraz menghulurkan
bungkusan Sari Roti Keju kepada Qusyairah dan air mineral yang sempat dibeli
sebaik sahaja melalui pemeriksaan imigresen.
“ Dari
tadi awak tak makan. Kita nak jalan jauh ni. Makanlah.”
“ Terima
kasih.” Qusyairah tidak menjawab panjang. Thorique dibaringkan di atas sejadah.
Hanya mereka berdua sahaja di dalam ruangan surau itu.
“ Irdina,
Umar dan Maisarah kirim salam. Mereka jalan-jalan di Selecta tadi.”
“
Waalaikumsalam.”
“ Nak lagi
roti ? Saya ada.”
Qusyairah
menggeleng.
“ Bukan
main lagi awak bercerita dengan ibuk tu ?”
“ Eh bukan
ke awak tidur ?”
“ Saya
sedar. Tapi saja tutup mata.”
“ Awak
dengarlah apa yang ibuk tu cakap ?”
Harraz
selamba mengangguk. Qusyairah menjadi segan.
“ Macam
mana ujian hari tu ?”
“ Okay.”
“ Okay je
?”
“ Ya okay.
Harraz yang pasal hari tu saya nak minta maaf. Saya tahu saya salah dan kejam.”
“ Memang.
Awak memang salah. Awak kejam sebab awak buat saya semakin sayang kepada awak.
Cia..cia..cia.. ”
“ Harraz. Awak jangan main-main. Kalau dulu
awak cakap macam ni, saya tak kisah tapi sekarang, awak dah jadi suami orang.”
Harraz
ketawa sehingga berair mata apabila mendengar bicara Qusyairah. Dia tahu ni
mesti kerja Umar dan Irdina.
“ Macam
mana awak begitu pasti yang saya dah kahwin ?”
“ Maisarah
tu siapa ?”
“ Ya
Allah. Maisarah tu bukan isteri saya.”
“ Awak
jangan cakap macam tu Harraz. Lafaz kinayah pun boleh jatuh talak.”
“ Awak ni
kalau boleh satu buku Munakahat tu awak syarahkan saya. Maisarah tu bukan
isteri saya.”
“ Habis
kenapa awak datang berdua dengan dia ?”
“ Salah ke
? Bukannya kami duduk sama. Ke awak jealous ?” Sengaja Harraz mengusik.
“ Harraz.
Saya tak main-main.”
“ Saya pun
tak main-main cintakan awak.”
“ Harraz.”
“ Okay.
Umar dan Irdina tu saje je kenakan awak. Awak terus percaya. Manalah sempat dua
minggu balik terus kahwin. Nak kena kursus lagi. Nak kena ajukan permohonan
lagi ke pejabat agama. Lainlah kalau saya tak balik satu semester.”
“ Jadi
awak balik Malaysia kenapa ?”
“ Saya
urus madrasah arwah abah saya. Saya pun sempat jumpa arwah ayah awak. Mak awak
rindu betul dengan awak. Qusyairi kirim salam.”
“
Waalaikumsalam.”
“ Banyak
benda yang saya fikirkan balik hari tu. Saya tahu ni bukan masa yang sesuai
untuk saya cakap benda ni. Tapi, kita tak tahu hayat manusia sampai bila. Kita
sama-samalah jumpa Imran. Dia masih sakit. Dia nak sangat minta maaf kat awak.”
“
InsyaAllah tapi saya tak ada kekuatan nak jumpa dia. Apa yang dia buat tu
terlalu besar.”
“ Kita
manusia, Qusyairah. Tak terlepas daripada melakukan dosa. Kita yang maafkan
orang ni nanti akan mendapat rahmat daripada Allah sebab memudahkan perjalanan
dia. Sedih saya tengok Imran tu jadi macam tu.”
“ Saya pun
tak sangka boleh jadi macam tu.”
“ Awak
pernah janji apa-apa kat dia ?”
“ Tak
pernah, Harraz.”
“ Tapi
takkan dia menjadi terlalu nekad sampai macam tu, Qusyairah. Mesti ada sesuatu
yang awak tak sedar sampai terberi harapan kat dia.”
“ Tak
tahulah Harraz. Kenal dia pun tak sangat.”
“
Apa-apalah. Semoga benda ni jadi pengajaran. Berhati-hati dengan apa yang kita
lakukan. Sama-sama tegur kalau ada buat salah. Kita semua nak jadi baik kan ?”
Qusyairah
mengangguk. Dia masih terfikir sesuatu. Namun tak mungkin gara-gara itu, Imran
menjadi terlalu berdendam.
Tiga
tahun yang lepas…
Facebook
Messenger
Imran
Azman : Assalammualaikum Ukhti. Bolehkah Ana memulakan ta’ruf ? Ana sudah lama
berkenan dengan Ukhti. Tak tertahan menanggung rindu pada yang tak halal.
Qusyairah
Salleh : Waalaikumsalam. Silakan Akhi.
Teruja
apabila seorang ikhwah tertarik kepadanya.
Imran
Azman : Ukhti asal mana ?
Perbualan
mereka pun berlarutan. Qusyairah seronok kerana keperluan nalurinya sudah
terpenuhi. Selama ini dia tidak bebas untuk berbicara dengan para muslimeen.
Sehingga suatu hari,
Imran
Azman : Saya betul-betul nak jadikan awak sebagai isteri saya.
Qusyairah
Salleh : Kalau macam tu, jumpalah Mak Ayah.
Sengaja
Qusyairah menguji Imran. Dan, akhirnya Imran benar-benar serius sehingga
membawa
cincin tanda. Namun Qusyairah menolak mentah-mentah dan menyekat akses
Imran di semua akaun media sosial Whatsapp, Facebook, Twitter dan Instagram.
Qusyairah
kesal. Kesal kerana sikapnya dahulu. Meskipun elok penampilan luarannya
sehingga disegani dan disanjung sebagai wanita solehah, tetapi hatinya masih
liar mencari ajnabi. Mempermainkan perasaan orang lain. Kini dia sudah
mendapatkan balasan dari kebodohan masa lalunya. Namun Allah masih
menyembunyikan aib-aibnya.
Hingga dia
mempunyai kesedaran dan mengenali Harraz. Qusyairah nekad untuk berubah bukan
kerana Harraz tetapi kerana dia benar-benar disentuh hidayah. Dia mentajdid
niatnya. Untuk apa dia datang ke sini jika sekadar main-main ?
“
Qusyairah. Jom masuk. Dah ada pengumuman.”
“ Saya nak
duduk tepi tingkap.”
Harraz
mengangguk. Tempat duduk mereka sudah diselaraskan. Afina sengaja menyusun
tempat duduk mereka sebaris supaya Harraz dapat membantu Qusyairah untuk
menjaga Thorique yang kini semakin aktif.
“ Ya
Allah. Aku dah banyak buat dosa. Tapi aku bongkak seperti aku tak buat dosa. Ya
Allah, terima kasih kerana dah sembunyikan aib-aibku Ya Allah. Aku ingin
menjadi seorang muslimah yang baik selepas ini. Kau berikanlah kesempatan taubat
kepada ku, Ya Allah.”
Air mata
Qusyairah menitis tanpa diseka. Tak layak rasanya untuk menghapus air mata
dosa. Biarlah ianya terus mengalir seperti turunnya hujan gerimis sore di
Surabaya.
BAB TUJUH
Qusyairah
memeluk kasih ibunya sebaik sahaja sampai di rumah. Seisi keluarga menyaksikan
adegan jejak kasih yang menyayat hati. Qusyairi, adik lelaki Qusyairah juga
memeluk kakaknya. Selama tujuh bulan tidak berbalas khabar, hari ini mereka
saling melunas rindu.
“ Kak Long
minta maaf Mak. Kak Long dah sia-siakan Mak, Abah dan Adik.”
“ Mak pun
nak minta maaf bagi pihak arwah abah. Tak sepatutnya kami buang Kak Long macam
tu.”
“ Dosa Kak
Long lebih besar. Kak Long dah abaikan abah dan mak dan tak sempat minta maaf
dengan abah. Kak Long rasa berdosa sangat.”
Afina dan
Fikri hanya memerhati dari jauh. Ramai tetamu yang hadir untuk bersama-sama
memberi sokongan kepada keluarga Qusyairah yang baru kehilangan abahnya. Ibu
Harraz juga ada bersama. Fikri yang membawa Ibu Harraz dan adiknya. Jarak rumah
mereka hanyalah 25 minit.
“ Dah
masuk dulu ya. Fikri, Afina. Terima kasih sebab bantu bawa balik anak dan cucu
makcik. Harraz. Terima kasih sebab tolong jaga Qusyairah di sana. Makcik tak
tahulah kalau apa yang jadi kalau kamu tak ada.”
“ Dah
tanggungjawab kami, makcik. Qusyairah pun saya anggap seperti adik saya
sendiri.” Ujar Afina.
Fikri dan
Harraz membantu membawa bagasi Qusyirah dan Thorique ke dalam rumah. Setelah
itu mereka menyertai tetamu yang ada untuk solat berjemaah Isya. Harraz telah
diminta untuk mengetuai solat berjemaah.
Qusyairah
yang berhalangan hanya duduk di dalam bilik abah dan maknya. Perlahan-lahan
Qusyairah merebahkan dirinya di atas katil abahnya. Kain pelikat bersih arwah
abahnya dipeluk dan digunakan untuk mengelap air matanya.
“ Abah. Kak
Long minta maaf abah sebab tak dapat jadi anak yang baik. Kak Long tak sempat
jumpa abah. Kak Long rindu Abah.”
Satu
persatu kenangan bersama arwah abahnya bermain diingatan.
“ Abahlah
abah yang terbaik untuk Kak Long. Kak Long tahu Kak Long buat abah kecewa. Kak
Long….,”
Qusyairah
tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia tenggelam di dalam tangisnya. Masih
terasa pelukan abahnya sewaktu pernikahannya dengan Ahmad Rafiq setahun yang
lepas. Masih jelas lafaz sakinah di telinganya.
“Adalah
saya Mohd Saleh bin Rosli, wali kepada nama pengantin perempuan dari saat ini
menyerahkan tanggungjawab nafkah, perlindungan, keselamatan, kasih sayang dan
tanggungjawab agama Islam kepada kamu Ahmad Rafiq bin Ahmad Syukri sebagai
suami yang sah. Semoga diberkati oleh Allah s.w.t ke atas kamu dan orang yang
di bawah tanggungan kamu serta zuriat keturunan kamu. Amin..”
Dahinya
dikucup penuh kasih oleh bapanya. Seorang bapa jarang menunjukkan perasaannya
kepada anak-anaknya. Namun pada hari pernikahan Qusyairah, air mata bapanya
juga turut mengalir.
“ Jadi
isteri solehah ya, Kak Long. Jaga maruah suami. Jauhi fitnah. Kak Long dah jadi
isteri orang. Kak Long bukan tanggungjawab abah lagi dah. Tapi abah sentiasa
ada kalau Kak Long perlu. Maafkan abah sepanjang Kak Long dalam jagaan abah,
abah tak berikan yang terbaik untuk Kak Long. Abah sayang Kak Long. Walaupun
suatu hari nanti abah dah tak ada, abah tetap sayang Kak Long. Kalau ya pun
abah marah, marah tu sekejap sahaja.”
Qusyairah
masih terbaring mengiring. Air matanya dibiar sahaja. Lama dia termenung.
Tudungnya masih belum dilepaskan. Wajahnya kemudian ditutup dengan menggunakan
kain pelikat arwah abahnya.
“ Kak
long. Makan ya. Kak Long belum makan sejak sampai tadi.” Uajr Qusyairi yang
memujuk. Tidak sampai hati dia melihat kakaknya terus begitu.
“ Kak Long
kena makan. Kesian Thorique. Dia perlukan susu.” Qusyairi menambah. Tidak putus
asa dia memujuk kakaknya.
Tidak
masuk ke dalam bilik namun hanya berdiri di hadapan langsir, Harraz memanggil
Qusyairi.
“
Qusyairi, ada susu Thorique dalam beg ni. Biarlah Qusyairah berehat dulu. Abang
bawa Thorique balik rumah ya. Abang dah cakap kat mak Qusyairi tadi.”
“ Baik
bang. Hati-hati di jalan.” Qusyairi berjabat tangan dengan Harraz.
Thorique
yang akrab dengan Harraz berasa selesa apabila dijaga oleh Harraz. Meskipun
masih bayi dan tidak tahu apa-apa, apabila bersama Harraz, keadaan Thorique
lebih tenang.
“ Saya
balik dulu. Esok saya bawa Thorique datang.”
“ Kenapa
tak tidur sini sahaja, Harraz ? Tidur di bilik Qusyairi. Budak tu masih lagi
kena susu badan.”
“ Tak
apalah. Rumah saya pun dekat je makcik. Lagipun tak elok kalau saya bermalam di
rumah ni. Terima kasih ya, makcik. Tentang Thoriue, jangan risau sebab
Qusyairah dah letak semua dalam beg susu dan pakaian. Saya boleh tolong jagakan
nanti.”
“ Yalah.
Terima kasih Harraz sebab sudi bantu. Kamu pun tahu, Qusyairah masih terkejut
lagi dengan pemergian arwah abah dia. Ustazah Mashitah, terima kasih ya sebab
sudi datang. Saya pulak rasa malu dengan kehadiran ustazah sekeluarga. Dulu
saya…,”
“ Yang
lepas biar lepas lah Kak Azah. Ini pun tanggungjawab kita sesama islam. Saya
harap kak Azah kuat. Kita sama-sama dah merasai kehilangan. InsyaAllah kalau
Kak Azah perlu teman untuk bercakap, saya ada.” Ustazah Mashitah ibu kepada
Harraz memeluk ibu kepada Qusyairah, Puan Norazah.
“ Kami
balik dulu ya.” Fikri meminta diri. Afina sempat masuk ke dalam bilik menjenguk
Qusyairah. Dia mendekati Qusyairah yang duduk tunduk membelakangi pintu. Afina
lantas memegang kedua-dua bahu Qusyairah.
“ Dik.
Adik kena kuat ya. Ikhlaskan pemergian abah adik. Kakak tahu adik terkesan
sangat. Tapi, kita kena ingat, abah adik dah ada di suatu tempat yang baik.
Banyak-banyakkan berdoa ya. Jaga
kesihatan. Esok kakak dan abang Fikri datang lagi ke sini.”
Qusyairah
memandang Afina. Segera dia memeluk Afina dan menangis sepuas hati. Qusyairah
mencuba untuk hilangkan kekesalan itu. Dia sudah mulai menerima yang abahnya
sudah tiada. Menangis air mata darah sekali pun, abahnya takkan kembali.
Seminggu
Kemudian…
Awal pagi
lagi Harraz sudah tiba di rumah Qusyairah. Sejak mereka pulang satu minggu yang
lepas, Harraz akan singgah ke rumah Qusyairah kerana Thorique sentiasa ingin
bersama Harraz. Semalaman Thorique menangis mencari Harraz dan jika Harraz
membawa pulang Thorique ke
rumah, Thorique mogok tidak mahu menyusu kerana
mencari ibunya.
“ Susah
hati makcik tengok kamu setiap hari ulang alik. Kesian makcik tengok.”
“ Alah.
Tak apa. Rumah saya bukannya jauh pun. Lagipun kesian Thorique tu. Dia tak nak
dengan orang lain.”
“ Saya pun
dia tak nak bang.” Qusyairi menyampuk.
“ Hari ni
kamu nak pergi mana ?”
“ Hari ni
nak pergi ke rumah Imran. Lepas tu jumpa dengan mak ayah Rafiq. Makcik nak ikut
sekali ?”
Puan
Norazah menggeleng. Dia masih tawar hati jika teringatkan peristiwa Qusyairah
difitnah. Mereka masih mempunyai hubungan yang baik cuma tidak serapat dahulu
dan agak canggung sedikit.
“ Harraz.
Makcik nak cakap sikit boleh ?”
“ Kenapa
makcik ?”
“ Makcik
cakap terus terang tak nak berkias. Makcik nak kamu menikah dengan Qusyairah.
Makcik dah bincang benda ni dengan Ustazah Mashitah. Dia pun setuju. Selain
daripada tak nak mendengar bualan orang kampung, makcik yakin kamu boleh jaga
Qusyairah. Kalau arwah abah Qusyairah ni masih hidup, dia pun nak benda yang
sama. Kalau kamu setuju, nanti makcik minta Fikri tolong urus. Kalau boleh
sebelum kamu berdua kembali ke Indonesia.”
Harraz
hanya mendiamkan diri membiarkan Puan Norazah menghabiskan bicaranya.
“ Makcik
tahu. Makcik dulu pernah memutuskan pengharapan kamu kepada Qusyairah. Makcik
terlalu yakin dengan pilihan makcik sewaktu itu, Qusyairah akan hidup bahagia.
Makcik terlalu teruja nak bermenantukan Rafiq dulu sebab keluarga mereka
keluarga terhormat tinggi darjat di kampung ni. Makcik terlalu yakin yang Rafiq
mampu mencukupi segala keperluan Qusyairah. Qusyairah pada waktu itu menjadi
seorang yang tidak tahu apa-apa tetapi akur sahaja dengan kehendak makcik.
Sedangkan dia sewaktu itu dah menyatakan nak menikah dengan kamu setelah habis
belajar. Bila dah jadi macam ni dan makcik dah lihat sendiri. Makcik kesal
dengan sikap makcik yang terburu-buru sewaktu itu.”
“ Tak
apalah Makcik. Benda yang lepas. Saya pun dah tak ambil kisah pasal tu. Yang
penting kita jalani sahaja kehidupan kita ke hadapan.”
“ Kamu
memang anak yang baik Harraz. Semoga apa pun jawapan kamu nanti membawa
kebaikan kepada kita semua.”
Qusyairah
sudah bersiap. Kebetulan dia mengenakan baju berwarna sama dengan Harraz. Jubah
biru tua dan tudung labuh berwarna hitam. Ringkas tetapi kemas dan menampakkan
seri wajah Qusyairah.
“ Thorique
tu biar mak yang jaga. Kamu berdua pun banyak urusan kan ?”
“ Tak apa
ke Mak ? Kak Long boleh je bawa Thorique.”
“ Tak apa.
Mak pun nak bermain dengan cucu mak yang semakin semangat ni.”
“ Baiklah
kalau macam tu. Kami pergi dulu ya Mak. Jom Qusyairi.”
“ Ya
sekejap. Dah nak siap dah ni.”
Qusyairah
membawa Qusyairi sekali untuk keluar bersama mereka. Selama ini, Qusyairah
tidak pernah berurusan berdua dengan Harraz. Pasti ada Umar dan Irdina. Selagi
dapat dielak berurusan berdua, Qusyairah dan Harraz akan mencuba. Kerana fitnah
itu di mana-mana. Mereka juga sama-sama sedang memperbaiki diri mereka.
“ Kak Long
dan Abang Harraz nak pergi ke mana dulu ?”
“ Terus
pergi ke rumah Imran.” Ujar Harraz sambil melihat pada cermin belakang.
Qusyairah
menyedari hal itu. Dia sudah bersedia setelah mengumpul kekuatan seminggu yang
lepas. Perjalanan 45 minit ke rumah Imran dirasakan agak panjang. Qusyairah
sempat terlelap. Harraz sedari tadi merenung ke arah skrin telefonnya. Qusyairi
pula tetap fokus dengan pemanduannya.
45
minit kemudian…
Kediaman
yang mewah kelihatan suram dan sugul. Seluruh keluarga Imran berkumpul di
kediaman tersebut termasuklah ibu dan bapa Rafiq. Rafiq sahaja yang tiada
kerana sudah berlepas ke Mesir untuk sesi pengajian Sarjana.
“
Qusyairah.” Bekas ibu mertuanya memeluknya. Qusyairah menyambut seadanya. Dalam
hal ini meskipun ibu mertuanya tidak bersalah, tetapi dia berasa canggung untuk
bermesra berlebih-lebihan.
“ Anak
Qusyairah tak bawa sekali ?” Tanya Tuan Hj Ahmad Syukri dengan hormat. Meskipun
dia tahu bahawa Thorique itu cucunya yang sah, tetapi, demi menghormati
perasaan Qusyairah, dia hanya membahasakan anak tersebut dengan gelaran anak
Qusyairah.
“ Tak. Di
rumah dengan mak.”
“ Kalau
Qusyairah izinkan, mak dengan abah nak jumpa cucu kami. Tapi, kami tak paksa.”
“ Boleh.
Nanti kalau ada kesempatan saya bawa ke rumah abah dan mak.” Ujar Qusyairah
dengan sopan. Meskipun hubungannya dan Ahmad Rafiq sudah terputus untuk
selama-lamanya, namun bekas mertuanya masih dianggap sebagai ibu dan bapa
sendiri untuk selama-lamanya.
“
Alhamdulillah. Terima kasih Qusyairah sebab sudi datang ke sini. Terima kasih
juga sebab beri peluang kepada kami untuk tebus kesalahan kami.”
Setelah
itu, Qusyairah di bawa untuk bertemu dengan ibu bapa Imran. Terdapat sedikit
perbualan antara mereka sebelum Qusyairah masuk ke dalam bilk Imran ditemani
oleh Harraz dan kedua ibu bapa Imran.
“ Macam ni
lah keadaan anak kami selama berbulan-bulan. Pelbagai ikhtiar dah kami
usahakan. Tapi tetap begini. Dengan rendah diri, kami sebagai orang tua Imran,
meminta untuk Qusyairah memaafkan Imran. Kami redha selepas ini jika dia dapat
pergi dengan tenang. Dah tak sanggup nak tengok dia terseksa macam tu.” Kasihan
Qusyairah melihat bapa Imran merayu. Meskipun berat hatinya, namun bila
difikirkan semua, ada kemungkinan Imran jadi seperti itu kerana sikap Qusyairah
di masa yang lepas.
“ Imran.
Aku dah bawa Qusyairah datang.” Ujar Harraz berbisik kepada Imran. Mata dan
mulutnya yang terbeliak membuatkan Imran tidak dapat bertutur dengan jelas.
“ A…….kuuuuuu…”
tercungap-cungap Imran berkata-kata.
“ Sa..lah aku… besar. Aku dah hancurkan hidup
orang lain. Akuuu…. dah fitnah kau…..dan Harraz….Aku dah buat… anak… kau jadi….anak
yatim…Aku tahu tak cukup dengan maaf…. Tapi aku betul…betul….nak minta maaf…..sebelum
aku…..pergi…”
“ Aku dah
maafkan kau Imran. Aku nak minta maaf jugak kalau.. kalau aku pernah bersalah
dengan kau dulu. Aku tahu, aku pernah lukakan hati kau.” Qusyairah tidak dapat
menahan tangisnya. Dia terduduk. Bekas ibu mertuanya memeluknya dari belakang
memberi kekuatan agar Qusyairah tidak rebah.
“ Aku….dah
lupakan… hal itu… Yang penting sekarang… Maaf aku…dah diterima….Sampaikan maaf
aku sekali lagi kepada… Rafiq…..” Nafas Imran tersekat-sekat. Ahmad Rafiq
hampir membunuhnya sewaktu dia mengakui segala silapnya.
“ Kau tahu
tak kau dah hancurkan rumah tangga aku Imran… Kau fitnah isteri aku…Aku sangka
kau orang yang boleh dipercayai…Tapi aku tak tahu perangai kau keji macam ni….Lebih
baik kau mati je.”
“ Cik
Rafiq, maafkan Imran. Imran sedar apa yang Imran buat tu salah. Maafkan Imran
Cik Rafiq.”
“ Aku tak
tahu nak cakap apa lagi. Kalau diikutkan aku nak bunuh je kau.” Sedikit
pergelutan berlaku dan dileraikan oleh Khairul, sepupu Imran.
“ Cik,
sabarlah. Jangan buat Imran macam ni.”
“ Kau
senang cakap macam tu. Buat aku macam tak ada perasaan. Kau tahu tak apa yang
budak ni buat terlalu besar. Astaghfirullahalazim. Kalau tak disebabkan mak
ayah kau tu sepupu aku, aku tak kan lepaskan kau.”
“ Cik,
maafkan Imran Cik…”
“ Aku
takkan maafkan kau selagi Qusyairah tak maafkan kau. Selebihnya aku serahkan
kepada Allah.” Ujar Ahmad Rafiq sambil badannya ditahan oleh beberapa ahli
keluarga yang lain.
Imran menangis sepuasnya. Dia berasa lega
sedikit dari kesakitan setelah dimaafkan oleh Qusyairah.
Sementara itu, Harraz
dan Khairul tetap duduk bersama Imran di dalam bilik.
“ Aku nak
solat. Tolong aku. Lepas ni tolong aku mengaji. Dah lama aku tak mengaji.”
Entah
mengapa hari itu Khairul dan Harraz sama-sama tidak dapat menahan sebak.
Terbayang segala kenangan mereka sejak mereka bersama-sama menuntut di madrasah
sebelum melanjutkan pelajaran mereka ke Indonesia.
“ Imran. Kau sabar eh. Aku akan tolong kau.”
Persahabatan
antara mereka tidak pernah usai meskipun ada sahaja rintangan dan cabaran.
Meskipun Harraz berkecil hati dengan perbuatan Imran dahulu, tetapi dia
mengenang kembali kebaikan Imran yang pernah membantu melunaskan yuran
pengajiannya sewaktu wang zakat Harraz belum dapat diproses.
“ Jom,
Harraz. Kita bantu Imran ke bilik air.” Khairul berhati-hati mengangkat Imran.
Dengan
berair mata Khairul memeluk sahabatnya itu.
“ Aku nak
kau kembali sihat dan berjuang. Dah lama kita tak main futsal sama-sama. Dah
lama kita tak pergi daurah sama-sama. Aku akan tunggu kau, kita sama-sama
wisuda. (*konvokesyen)”
Imran yang
tak berdaya hanya menangis kerana sakitnya balasan daripada Allah dan juga
kerana keikhlasan sahabat-sahabatnya yang tetap bersamanya walaupun keadaannya
sudah tidak sihat.
Sahabat
yang baik adalah sahabat yang ikhlas menerima baik dan buruk. Sahabat yang
sering menasihati dan membimbing ke jalan yang baik berlandaskan agama menuju
kebesaran Tuhan yang Maha Esa.
Qusyairah sedang
bersenang-senang di atas katilnya. Thorique sudah ditidurkan terlebih dahulu.
Sudah lama dia tidak membaca bahan bacaan yang ringan sebagai hiburan dalam
mengisi masa lapang. Novel karya Nurulhuda Sofia berjudul Bertemu Cinta dibaca
sejak tengahari tadi. Mengapa watak Damien Christ di dalam novel itu terasa
dekat di jiwanya. Seperti sedang berbicara dengan Harraz.
Telefon
Qusyairah berdering. Panggilan daripada Irdina melalui aplikasi WhatsApp
dijawab.
“ Babe.
Lama tak dengar cerita.”
“ Waalaikumsalam.”
“ Eh lupa.
Assalammualaikum ostajah. Kau buat apa tu ?”
“
Waalaikumsalam Doktor. Aku tengah baca novel ni.”
“ Amboi.
Untunglah cuti panjang. Dah settle semua.”
“
Alhamdulillah. Kau sihat ?”
“ Mestilah
sihat. Lagipun aku kan doktor tak boleh sakit.”
“ Ya lah
tu. Doktor Umar pun ada jugakkan. Sebab tu kau sihat memanjang.”
“ Awak
dengan Ustaz Harraz tu apa pulak kurangnya.”
“ Merepek.
Ni kenapa call ?”
“ Oh,
barang-barang kau, aku dah kemas. Nasib baik tak banyak. Kitab-kitab kau pun
aku dah masukkan dalam kotak. Kau datang sini, kau tinggal ambil je
barang-barang kau.”
“ Terima
kasih. Nanti kalau dah tamat kontrak sewa bilik kau, kau pindahlah bilik aku.
Lagipun Rafiq dah bayar dah bilik tu untuk setahun. Tak perlulah kau bayar lagi
untuk bilik. Aku datang pun nanti untuk wisuda.”
“ Terima
kasih Qusyairah. Jimat lah sikit dapat buat saving untuk kahwin.Cuti ni kau
buat apa je ?”
“ Duduk
rumah. Jaga anak. Kadang-kadang aku pergi ke madrasah keluarga Harraz. Sebab
mereka dah nak buka untuk muslimah jadi Ummi Harraz minta tolong aku untuk buat
silabus.”
“ Wah.
Macam tak lama lagi tu. Jangan lupa jemput. Tapi kalau aku masih kat sini, aku
tak dapat datanglah.”
“ Apalah
kau ni. Memandai je.”
“ Ya lah.
Jangan lukakan hati dia lagi Qusyairah. Aku yakin dan pasti kau tak buta. Kau
tahu menilai. Harraz tu pun dah cukup baik. Bukan untuk kau sahaja. Tetapi
untuk Thorique. Rafiq ada contact kau tak ?”
“ Ada dua
hari lepas. Aku happy untuk dia. Sekurang-kurangnya dia dah mula move on dan
Maisarah tu pun perempuan yang baik. Dia pun boleh jadi ibu tiri yang baik
kepada Thorique.”
“ Umar
yang kenalkan dorang dua. Semuanya macam kebetulan je kan ?”
“ Tiada
kebetulan dalam dunia ni. Semuanya Allah dah tulis elok-elok. Kita sebagai
manusia ni kena
beriman kepada Qada’ dan Qadar.”
“ Ya lah
Ustazah. Doakan untuk aku jugak ye, ustazah Qusyairah.”
“
InsyaAllah. Kau tak balik ke Malaysia ?”
“ Tak tahu
lagi. Kalau aku balik ni, aku terus kahwin kot.”
“
Seriuslah ? Alhamdulillah.”
“ Jadi
pengapit aku nanti tau. Boleh ? Majlis kecil je. Ikut kemampuan kita orang.”
“ Tak ada
masalah. Yang penting baju kau sponsor.”
“ Boleh
je. Eh, kau jangan lupa pesan aku. Jangan lukakan hati Harraz lagi. Orang
seperti Harraz tu limited tau. Bukan semua orang boleh jadi macam Harraz.”
“ Baiklah
doktor love. Aku nak sambung baca novel ni. Assalammualaikum.”
“
Waalaikumsalam.”
Dua
bulan kemudian…
“ Takkan
secepat ni Papa. Dina belum lagi pergi kursus kahwin. Banyak benda nak kena
sedia.”
Keluarga
Irdina dan Umar mengadakan mesyuarat di rumah Irdina untuk menetapkan tarikh
perkahwinan mereka. Qusyairah dan Harraz juga ada bersama.
“ Tapi
kalau boleh Papa nak secepat mungkin. Ustaz Harraz, Ustazah Qusyairah, ada
jalan penyelesaian yang lain tak ?”
Qusyairah
dan Harraz saling berpandangan. Mereka sama-sama berfikir untuk mencari solusi.
“ Kursus
Kahwin boleh diambil sekurang-kurangnya sebulan sebelum menikah. Tentang yang
lain,boleh settle dalam masa dua minggu. Ya, Qusyairah ?” Harraz menjawab.
“ Ya.
Nanti saya tanya abang Fikri. Sekarang ni pun dah ada temuduga untuk menikah.”
“ Ha.
Bagus kalau macam tu. Sekarang ni kita dah boleh decide bila Umar dan Irdina
boleh dinikahkan. Saya bukannya apa. Selepas ni mereka kena uruskan hal
pengajian mereka ke hulur ke hilir. Saya tak nak membiarkan mereka keluar
berdua.”
“ Saya
setuju Tuan. Semakin cepat semakin elok. Majlis pun kita buat sekali je. Sebab
kita pun tinggal satu daerah jugak.”
“ Tapi
banyak benda lain lagi nak urus.” Irdina masih risau.
“ Tak apa.
Kak Long, Abang Ngah, boleh tolong.” Dari jauh kakak sulung Irdina bersuara.
Semuanya memberi sokongan. Umar hanya tersenyum kerana bakal kakak ipar dana
bang iparnya membantu memudahkan rancangan pernikahan mereka.
“ Nanti
majlis kita gabung sekali dengan majlis kakak susuan Umar, Maisarah.”
“ Boleh.
Lagi ramai lagi meriah.”
“
Alhamdulillah. Sekarang dah sepakat lah ya. Hujung bulan ni.”
“ Setuju.”
Tiba-tiba suara Umar memecah kesunyian.
“ Amboi,
bukan main gelojoh ya. Tak apa. Papa suka sebab Umar yakin.”
Masing-masing
berseloroh. Tergambar kesyukuran dan kegembiraan pada wajah Irdina dan Umar.
Qusyairah memeluk sahabatnya dan berkongsi kegembiraan yang sama.
“ Aku
doakan selepas ni kau dan Harraz cepat-cepat menyusul tau.”
Irdina
berbisik. Qusyairah melepaskan pelukan Irdina dan matanya bertentang dengan
pandangan Harraz yang kemudian laju-laju mengalihkan pandangan.
Keliru
atau masih takut meluah rasa ?
Majlis
perkahwinan Umar dan Irdina serta Maisarah dan Ahmad Rafiq berjalan dengan
lancar. Meskipun majlis dibuat kecil-kecilan sesuai dengan permintaan
pengantin, tetapi ramai tetamu yang hadir untuk memeriahkan majlis tersebut.
Qusyairah dan Harraz mengenakan baju berwarna sedondon iaitu berwarna coklat.
Qusyairah
bersalaman dengan Maisarah. Seorang yang menggantikan tempatnya. Semoga nanti
Ahmad Rafiq lebih menghargai Maisarah. Sudah tertulis hidupnya bukan bersama
Ahmad Rafiq.
“ Semoga
Abang dan Maisarah bahagia dunia dan akhirat. Qusyairah selalu mendoakan agar
abang bahagia.” Satu persatu perkataan dilafaz. Walaupun hatinya terasa sebak
kerana teringatkan peristiwa yang sudah berlalu lebih dari setahun, Qusyairah
cepat-cepat mengawal perasaannya kerana tidak mahu merosakkan majlis.
“ Terima
kasih atas doa Qusyairah. Jaga Thorique baik-baik. Abang pun mendoakan agar
Qusyairah dikurniakan kehidupan yang sakinah mawaddah dan wa rahmah selepas ini
dengan sesiapa pun.”
Ahmad Rafiq membalas ucapan Qusyairah. Sejujurnya dia
berasa terharu dengan doa Qusyairah dan dia akan memperbaiki sikapnya agar
perkara yang lepas tidak berulang.
“
Maisarah. Terima kasih sebab sudi menerima Thorique sebagai masa lepas kami.”
Qusyairah lantas memeluk Maisarah.
“ Mai
janji supaya kita sama-sama dapat menjadi ibu yang baik untuk Thorique. Terima
kasih di atas doa Qusyairah.”
Mereka
sempat bergambar bersama dan Thorique telah didukung oleh Ahmad Rafiq. Walaupun
banyak mata-mata yang memandang, mereka tidak mempedulikan itu semua. Nama
Qusyairah juga telah bersih walaupun masih kedengaran suara orang yang mengata.
Keadaan
kesihatan Imran semakin sihat. Namun, dia masih duduk di atas kerusi roda dan
menghadiri majlis perkahwinan tersebut. Ramai sahabat-sahabat seangkatan mereka
yang juga belajar di Bandung, Surabaya, Malang, Jakarta menghadiri majlis
tersebut. Mereka gembira melihat Imran sudah semakin pulih.
“ Kau
balik tak sem ni nanti ?”
“ Mestilah
balik. Aku kan nak join Bandung Games
nanti. Kalau aku tak join, Surabaya tak menang.” Tutur Imran bersahaja.
“ Eleh.
Malang pun hebat jugak okay.” Harraz mempertahankan pasukan futsal dari Malang.
“ Kalau
Malang bertuah. Ni asyik ‘malang’ je.” Khairul bergurau. Harraz pula acah-acah
menumbuk Khairul. Dia gembira kerana persahabatan mereka pulih seperti sedia
kala.
Lampu-lampu yang dipancarkan pada kain putih
menyerlahkan keceriaan dalam majlis. Walaupun dihias ringkas, para tetamu tetap
sahaja dapat mengabadikan kenangan mereka di hari terindah buat Irdina dan Umar
serta Ahmad Rafiq dan Maisarah. Semua saudara mara saling berkenalan dan
mengeratkan silaturrahim sesama mereka.
“ Sekarang
kita mempersembahkan kumpulan nasyid
untuk mempersembahkan lagu Acapella mereka iaitu Kasih Kekasih. Kita mempersilakan
Ustaz Harraz dan sahabat-sahabatnya.”
Harraz
terkejut kerana namanya dipanggil tiba-tiba. Langsung dia memandang Umar. Memang
Umar sengaja mengenakan Harraz. Harraz naik ke atas pentas kecil bersama Umar
dan Khairul. Mujur lagu itu sentiasa dinyanyikan sewaktu masa lapang mereka.
“ Kau lead
Harraz. Kita orang tak hafal.” Khairul berterus terang. Hendak harapkan Umar, suara
dia kadang-kadang lari pitching.
“ Tak
perlu.. Aku ragui.. Sucinya Cinta yang kau beri.. Kita Saling kasih mengasihi..
Dengan setulus hati…”
Semua
tetamu bertepuk tangan. Suara Harraz memang merdu. Merdunya sama seperti ketika
dia melaungkan azan dan mengaji Al Quran.
“ Ayah ibu
merestui. Menyarung, cincin dijari. Dengan rahmat dari Ilahi, Cinta kita pun
bersemi…”
“ Sebelum,
diijabkabulkan syariat, tetap membataskan…. Pelajari, ilmu rumah tangga… Agar
kita… lebih bersedia… Menuju hari yang bahagia,…”
Mata
Harraz sempat melirik kepada Qusyairah yang duduk bersama Irdina di hadapan
pentas sebelum menyanyikan korus.
“ Kau Tahu
Ku Merinduimu, Ku Tahu Kau Menyintaiku…Oh…Kasih….Bersabarlah Sayang …Saat Indah
Kan Menjelma Jua…..Kita Akan Disatukan…Dengan Ikatan Pernikahan…Oh..Kasih”.
“
Qusyairah. Dia dah propose kau tu. Bila lagi ?” Irdina berbisik sambil mencuit bahu Qusyairah.
Ahmad
Rafiq yang dari jauh juga tersenyum.
Sebagai seorang insan yang sentiasa memandang ke hadapan, dia mahukan
Qusyairah juga bahagia seperti dia kini. Tiada kata kembali untuk masa yang
lepas kerana masa hadapan adalah peluang kita untuk menjadikan kehidupan kita
lebih baik.
“ Sebab
abang menghormati Qusyairah, abang kena beritahu. Tak lama lagi, abang akan
menikah dengan seseorang wanita pilihan abang sendiri. Antara kita juga dah
tiada apa-apa di mana masing-masing kita harus meredhakan apa yang dah berlaku.
Untuk kehidupan yang lebih baik, abang harap Qusyairah carilah seseorang yang
dapat melindungi Qusyairah dalam seluruh kehidupan Qusyairah. Pilihlah lelaki
yang baik akhlak dan agamanya agar dapat membimbing Qusyairah dan Thorique
nanti. Sesiapa pun pilihan Qusyairah nanti, abang doakan yang terbaik.”
Kata-kata
Ahmad Rafiq sebelum meninggalkan Kota Malang terngiang-ngiang di telinganya.
Adakah ini masa yang sesuai untuk dia menerima Harraz sepenuh hatinya ?
Qusyairah menjadi tidak keruan.
“ Dik…”
Afina dan Fikri mendekati Qusyairah. Dia tahu isi bicara mereka.
“ Abang
boleh tolong kalau Qusyairah nak.” Fikri mengusik.
Qusyairah
masih malu-malu dan keliru. Bukannya apa. Harraz tidak pernah katakan apa-apa
sejak mereka pulang ke Malaysia sewaktu kepergian arwah abahnya. Adakah Harraz
sudah mempunyai pilihan yang lain ? Qusyairah semakin keliru.
Majlis
perkahwinan berakhir pada jam 10:30 malam. Oleh kerana kediaman Harraz dan
Qusyairah terletak jauh daripada kediaman keluarga Irdina, mereka telah
disediakan bilik masing-masing. Bilik Harraz terletak di tingkat tiga, manakala
bilik Qusyairah di tingkat dua.
Pada
tengah malam, Qusyairah tidak dapat tidur kerana asyik memikirkan tentang
Harraz. Sehingga dia berasa ingin menjerit namun apabila mengenangkan dia
sedang berada di rumah orang, Qusyairah mengawal perasaannya. Mujur Thorique
dijaga oleh ibu bapa Ahmad Rafiq yang sukarela mahu menjaga Thorique.
Tiba-tiba
tekaknya menjadi haus. Qusyairah menyarungkan tudungnya untuk ke dapur di
tingkat satu.
Perlahan-lahan langkahnya diatur kerana tidak mahu seluruh isi
rumah terganggu dengan pergerakannya.
“ Auch….”
Jerit Qusyairah perlahan.
Qusyairah
terjatuh. Kepalanya sakit kerana terhantuk.
“ Awak
buat apa malam-malam ni ?”
Ternyata
kepalanya terhantuk pada dahi Harraz yang tunduk melihat anak tangga.
“ Saya
haus. Nak minum air. Awak ?”
“ Baru
dari dapur jugak.”
“ Okay.
Saya pergi dapur dulu.”
“ Ya. Saya
naik atas dulu.”
Ringkas
sahaja perbualan mereka. Tidak sampai satu minit.
“ Harraz
ni tak ada nak cakap apa-apa ke kat aku ?” Qusyairah bermonolog sendiri.
Kemudian dia berpaling. Terkejut Harraz ada di belakangnya berjarak dua meter.
“ Oh mak
kau. Awak tak naik atas lagi ?”
“ Saya nak
hantar gelas.”
“ Oh. Saya
naik atas dulu.” Qusyairah segera beredar. Dia tidak pasti sama ada yang Harraz
terdengar atau tidak monolognya.
Lima
minit kemudian….
2
Mesej diterima..
Qusyairah
yang baru sahaja melelapkan matanya terbangun kerana mendengar nada dering
telefonnya. Dua mesej diterima daripada Harraz.
HARRAZ : Assalammualaikum
HARRAZ : Esok kita balik dan saya akan bawa ummi untuk
bincang dengan mak awak tentang kita. Selamat malam.
Beberapa
kali Qusyairah membaca mesej tersebut. Matanya terus segar dan tersenyum tanpa
henti. Qusyairah tidak membalas mesej tersebut. Dia tahu, kebiasaan Harraz yang
menamatkan perbualan dengan ucapan selamat malam. Tambahan pula hari dah lewat
malam.
“ Simple
but sweet.”
Itulah
Harraz.
Dua bulan
kemudian..
Gedugul,
Bali
Sebaik
sahaja melangkah melepasi pintu masuk, Qusyairah terkesima melihat keindahan
yang terbentang di hadapannya.
“
Subhanallah. Macam lukisan.” Qusyairah memuji. Dia berasa sangat tenang melihat
keadaan danau yang berkabus. Walaupun ada yang tidak kelihatan, keadaan mendung
seperti ini membuatkan Qusyairah senang. Tidak pernah dia terbayang untuk
menjejakkan kaki ke Bali bersama insan kesayangannya. Insan yang dipilih Allah
untuk bersamanya.
“ Lukisan
Allah. Sehebat-hebat ciptaan Allah, Hebat lagi Yang Menciptakan segalanya.” Ujar
Harraz.
“
Cantiknya seni bina kat sini. Ambil gambar saya.”
Harraz
menurut sahaja. Dia seronok kerana kini dia punya teman kembara yang serasi.
“ Kalau
awak perasan, dalam wang kertas RP 50.000 ada monumen ni. Tapi kenapa awak tak
ada dalam wang kertas ni ?”
“ Awak
ni.. Tanya soalan tak logik.” Qusyairah malas melayan Harraz.
“ Sebab awak ada dalam hati saya. Cia cia cia…”
Qusyairah sudah mengagak idea nakal Harraz
yang mahu mengenakannya.
Beberapa
gambar sempat diambil oleh Harraz. Dia suka melihat ekspresi Qusyairah yang
bersahaja.
“
Awak, jom selfie. Saya nak update di
Instagram saya.” Pinta Qusyairah.
Harraz
mengikut sahaja. Ini pertama kali mereka bergambar berdua. Sewaktu majlis
pernikahan mereka, semua gambar tidak sempat disimpan kerana kamera Fikri yang
digunakan untuk merakam hari bahagia mereka hilang selepas kereta Fikri
dipecah.
“ Okay,
satu, dua, tiga….” Ujar Harraz. Setelah itu mereka merakam detik indah mereka tanpa
mempedulikan orang sekeliling. Mereka seperti berada di dunia mereka sendiri.
“ Awak.
Awak sayang saya tak ?” Soalan Qusyairah membuatkah Harraz terhenti daripada
pekerjaannya.
“ Kenapa
tanya macam tu.”
“ Saja. Tak
ada soalan nak tanya.”
Hujan
rintik-rintik mulai membasahi mereka. Qusyairah dan Harraz berjalan ke tempat
berteduh. Hanya ada mereka berdua.
“ Pada
awak, definisi sayang tu apa ?” Tanya Harraz.
“ Saya tak
pasti.”
“ Dah tu,
awak tanya, awak sayang saya tak.”
“ Mestilah
sayang.”
“ Explain
?”
“ Saya tak
tahu, macam mana saya boleh suka awak. At first saya kagum dan hormat kepada
awak. Awak tak macam typical student agama. Awak simple. Dari luaran nampak
biasa, tapi sebenarnya awak lebih menjaga. Awak seorang yang amanah dalam
menjaga kerahsiaan dan harta benda. Awak
baik. Awak bijak. Saya tak risau kalau saya ada anak nanti sebab ayah dia bijak
dan penuh ilmu agama di dada.”
“ Bukan
sebab saya handsome ?”
“ Kalau
saya nak yang handsome saya dah lama pilih Umar, awak. Sebab muka dia macam
Oppa Korea.”
“ So saya
tak handsome lah. Tak apa. Artis Korea lebih handsome.”
“ Tapi
awak good looking. Kalau tengok awak, saya rasa tenang. Lama tau, saya nak
confirmkan perasaan saya. Sama ada saya hanya suka biasa, kagum atau cinta.”
“ Sekarang
?”
“ Mestilah
cinta. Dan, kalau awak tanya saya, saya suka awak tak ? Bukan setakat suka.
Tapi sayang.” Kepalanya direbahkan di bahu Harraz. Mata mereka bertentang.
“ Awak
pulak. Apa definisi awak tentang sayang ?” Qusyairah menambah pertanyaan.
Harraz
mengalihkan tubuhnya. Mereka duduk berhadapan. Kedua-dua tangannya diletakkan
pada kedua-dua pipi Qusyairah.
“Sayang itu tandanya tak boleh hidup tanpa, tak lengkap hidup tanpa yang saya raih dari rasa percaya, selesa dan hormat.Tak pernah perlukan penjelasan dan tak pernah perlukan sebab konkrit. Dan selarinya itu dengan lisan yang tersekat. Sukar diluahkan kerana mungkin terhalang pada ego dan ketidakpastian tetapi sayang itu tidak dapat disembunyikan dari senyum, cara menyantuni, cara menghormati, serta pemberian sepenuh hati.”
“ Sweetnya awak. Terharu saya.”
“ Ni baru sikit. Dari semester dua tau saya simpan.”
“ Jadi 7 Semester Mencintaiku ?”
“ Tak. Hari-hari mencintaimu.”
“ Amboi. Bersemut sebab sweet sangat.”
“ Terima kasih.”
“ Terima kasih jugak.”
Hujan semakin deras. Oleh kerana tiada payung, Harraz dan Qusyairah hanya menunggu sehingga hujan reda. Tangan mereka digenggam sesama sendiri. Sama-sama mereka menyulam cinta. Banyak ujian menimpa mereka. Pernah dahulu masing-masing memikirkan bahawa mereka tiada harapan untuk bersama. Harraz patah hati dan Qusyairah jiwanya rapuh kerana cintanya yang lepas tidak menjanjikan kebahagiaan.
Pernah Qusyairah meminta bersungguh kepada yang Maha Esa agar dia disatukan dengan insan bernama Harraz Iman bin Muhammad dan meminta Allah menemukan mereka dalam masa yang sesuai.
Mungkin detik ini adalah detik yang sesuai. Di mana Allah telah menciptakan Qusyairah untuk Harraz dan Harraz untuk Qusyairah.
Irdina untuk Umar dan Umar untuk Irdina.
Ahmad Rafiq yang pernah merasa gagal dalam hidupnya ditemukan dengan seorang wanita yang mampu menerima apa adanya Ahmad Rafiq termasuklah kenangan masa silamnya. Maisarah sudah dianggap sebagai seorang kakak kepada Qusyairah. Masing-masing mencuba untuk menjadi ibu yang terbaik untuk Thorique.
Takdir Allah tak pernah salah. Tiada kata kembali kepada masa yang lepas namun, kebahagian hari esok itu masih boleh dicipta. Kuncinya cuma satu.
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (QS. Ibrahim [14]: 7)
“ Antara kita mungkin tiada kata kembali pada masa yang lepas tetapi tiada kata terlambat untuk kita sama-sama memulakan kebahagiaan baru.”
Dahi Qusyairah dikucup hangat. Puitis kata-kata Harraz hanya dia sahaja yang boleh tafsirkan. Kerana cinta Harraz hanya untuknya dan cinta Qusyairah hanya untuk Harraz.
Saya tak suka...☹️
ReplyDelete