Friday, 6 January 2017

Sebuah Cerpen : Tiada Kata Kembali Karya Nurulhuda Sofia



BAB SATU

Fikri sudah buntu untuk menasihati Ahmad Rafiq. Semakin dinasihati, pasti ada sahaja kata-katanya yang mematikan hujah Fikri. Sekarang terserah sahabatnya lagi. Fikri sudah angkat tangan.

“ Kau pasti dengan keputusan kau Rafiq ? Kau tahu kan , apa impak daripada keputusan kau tu ?”

“ Kau boleh tak jangan cakap dengan aku macam lah aku ni tak tahu hukum ? Aku dah fikir dah masak-masak. Aku akan tinggalkan Qusyairah. Dia layak diperlakukan macam tu.”

“ Cuma aku nak kau cerai talak biasa sahaja. Tak payahlah kau nak jatuhkan lian ke atas dia. Kita pun tak tahu lagi apa yang sebenarnya berlaku.”

“ Jadi kau nak cakap yang Qusyairah tu tak buat perkara yang terkutuk tu ? Fikri, aku dah siasat benda ni. Qusyairah tu ditemui berdua dalam khemah dengan jantan mana entah, bukan berzina ke ?”

“ Kau tak tahu apa yang berlaku sewaktu tu. Kau tak pernah beri peluang untuk dia jelaskan semua.”

“ Semuanya dah jelas Fikri. Dan aku pasti, anak dalam kandungan Qusyairah tu bukan milik aku. Kami baru sahaja sekali bersama dan aku kena balik ke Mesir. Dan tak lama lepas tu, dia balik ke Indonesia. Kau tak rasa apa perasaan aku sewaktu ni Fikri. Sewaktu aku dapat berita dia mengandung, aku gembira sampai tak sabar nak balik Malaysia. Bila dah jadi macam ni, hati aku tawar. Aku rasa tertipu dengan penampilan solehah si Qusyairah tu.”

“ Aku bukannya apa. Sebagai seorang peguam syarie, aku dah banyak menyaksikan episod-episod penceraian di depan mata. Tapi, ini kali pertama aku handle kes lian. Dan aku syorkan, kau jatuhkan talak sahaja tanpa perlu lian. Sebab apa, sekali kau dah melaknat Qusyairah, kau takkan boleh kembali bersama dia selama-lamanya dan kau takkan ada hak ke atas anak dalam kandungan Qusyairah. Sekurang-kurangnya kalau kau jatuhkan talak, masih ada tempoh iddah dan dalam tempoh tu, kita boleh buktikan melalui ujian DNA jika anak itu adalah anak kau dan Qusyairah. ”

“ Tapi bagaimana sepanjang tempoh ini, anak dalam kandungan Qusyairah mati ? Orang kalau dah buat perkara terkutuk, tak mustahil untuk tutup kesalahan dia sanggup lakukan apa sahaja.”

“ Astargfirullahalazim. Jangan tuduh melulu. Kau yakin ke saksi-saksi yang dihadapkan tu semuanya tsiqah ?”

“ Fikri, orang yang ada menjadi saksi sewaktu Qusyairah ada di sana, bukan orang lain. Anak saudara aku. Apa kepentingan untuk dia berbohong. Lagi satu, Qusyairah sebagai wanita yang dah bergelar isteri orang, berstatuskan pelajar agama, hukum keluarga , takkan tak jelas tentang ikhtilat dan perkara yang boleh mendatangkan fitnah ? Aku tetap dengan keputusan aku. Erm, aku dah lewat ni. Aku balik dulu. Esok kita jumpa di mahkamah. Assalammualaikum.”

“ Waalaikumsalam.” Lemah sahaja suara Fikri. Tangan yang dihulur untuk dijabat juga disambut biasa. Tidak semesra dahulu. Fikri kasihankan Qusyairah. Namun, apakan daya, Ahmad Rafiq itu sahabatnya. Dalam keadaan seperti ini, pasti sahabatnya itu lebih memerlukannya.

Fikri mencapai telefon bimbitnya. Dia menghubungi Qusyairah. Jelas kedengaran suara Qusyairah seperti baru selesai menangis.

“ Assalammualaikum.”

“ Waalaikumsalam. Abang Fikri kenapa call ?”

“ Tak ada. Cuma nak tanya Qusyairah dah bersedia untuk esok ?”

“ InsyaAllah. Allah Maha Mengetahui segalanya. Qusyairah tak paksa sesiapa untuk percaya. Tapi, Qusyairah yakin, suatu hari nanti, semuanya akan jelas.”

“ Maafkan abang, Qusyairah. Abang tak mampu nak pujuk Rafiq. Dah macam-macam cara dah abang cuba. Qusyairah pun tahukan, Rafiq tu degil.”

“ Tak apalah Abang Fikri. Dia dah nekad untuk buang Qusyairah dari hidup dia. Qusyairah percaya, Allah akan gantikan dengan perkara yang lebih baik lagi selepas ni.”

“ Baiklah. Semoga Qusyairah tabah. Rehatlah dulu, dik. Nanti Kak Afina datang ke rumah untuk periksa Qusyairah. Abang tahu Qusyairah tak berapa nak sihat. Jaga diri baik-baik. Assalammualaikum.”

“ Waalaikumsalam.” Qusyairah sebak. Masih ada lagi insan-insan yang baik kepadanya. Yang masih mahu menumpangkannya tempat tinggal. Dia sudah tidak tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan setelah ayah dan ibunya menghalaunya keluar daripada rumah. Sedangkan dahulu, ayah dan ibunya yang beria-ia untuk menyatukan dirinya dengan Ahmad Rafiq.

“ Ibu harap Kak Long setujulah kalau ibu dan ayah satukan Kak Long dengan anak kawan ayah. Ahmad Rafiq tu sesuai dengan Kak Long. Sama-sama belajar jurusan agama. Lagipun, ayah pun dah lama kenal dengan mak dan abah Ahmad Rafiq. Kami yakin, Ahmad Rafiq tu lelaki yang terbaik untuk Kak Long. Kak Long lupakanlah si Harraz tu. Cinta macam tu takkan kekal. Lagipun Harraz masih banyak adik-adik yang dia akan tanggung selepas habis belajar. Ahmad Rafiq ni anak tunggal.”

“ Ibu, Kak Long tak nak menikah seawal ni. Dan tak semudah tu untuk Kak Long lupakan Harraz. Biarlah kami sama-sama belajar dan mengejar impian dulu.”

“ Kak Long. Mana lebih penting, Harraz ke Ibu dan Ayah ?”

“ Ibu. Jangan cakap macam tu. Ibu dan ayah lah yang paling penting dalam hidup Kak Long.”

“ Dengar cakap ibu. Tak ada ibu yang nak anak dia merana dalam hidup ni. Esok, keluarga Ahmad Rafiq akan datang ke rumah. Jadi, ibu harap Kak Long dah tak berdalih lagi. Hujung bulan ni, akad nikah berlangsung di rumah ni.”

Tanpa memberikan waktu dan peluang untuk membuat keputusan, Qusyairah ditinggalkan sendiri di dalam biliknya. Dia kesal. Tidak tahu bagaiman untuk memberitahu kepada Harraz tentang berita ini.

“ Harraz, saya minta maaf. Saya tak dapat bersama-sama dalam perjuangan awak.”

“ Ada apa yang berlaku ni Qusyairah ?”

“ Saya minta maaf sebab mungkir janji. Duit simpanan kita sepanjang kita berkawan, saya akan serahkan bahagian awak. Saya minta maaf sekali lagi, Harraz. Saya akan berkahwin.”

“ Qusyairah. Awak tak main-mainkan ?” Qusyairah meletakkan panggilan dan semua media sosial yang berkaitan dengan Harraz telah disekat aksesnya. Tidak sanggup lagi Qusyairah terus melukakan Harraz.

Sehingga kini, enam bulan telah berlalu, hubungannya dengan Harraz sudah menjadi renggang. Bukan Harraz yang menjauhkan diri, Qusyairah yang tidak mahu Harraz berharap lagi.

Qusyairah menjadi terlalu kecewa. Dia tahu sukar untuk Ahmad Rafiq mendengar penjelasannya. Tetapi, Qusyairah benar-benar tidak melakukan perkara terkutuk itu. Dia sehingga kini tidak tahu bagaimana perkara ini boleh dijadikan isu seakan ada seseorang yang memanipulasi cerita ini. 

Bukannya Qusyairah ingin menjadi pendendam tetapi selagi manusia yang membawa cerita itu tidak meminta maaf kepadanya, dia tidak akan memaafkannya. Bukan kerana dia sudah hilang kasih suami, tetapi kasih dan percaya dari orang tuanya. Sekali lagi Qusyairah menangis mengenangkan dia sudah menjadi yatim sebelum masanya.

Mahkamah Syariah

“ Encik Ahmad Rafiq bin Ahmad Syukri, adakah Encik benar-benar pasti dengan keputusan Encik ?”

“ Ya.” Yakin sahaja wajah Ahmad Rafiq sewaktu menjawab pertanyaan hakim.

“ Bismillahirrahmanirrahim. Dengan ini saya naik saksi atas nama Allah bahawa isteri saya sudah melakukan zina atau saya naik saksi atas nama Allah bahawa anak yang dikandung bukan dari benih saya. Dan untuk sumpah kali ke empat ini, jika saya berdusta, saya akan terkena laknat Allah.”

Seluruh isi sidang berasa tegang. Kes seperti ini jarang berlaku dan selalunya peguam syarie akan menasihati sang suami untuk memutuskan perkahwinan dengan talak bain sughro dimana sang suami boleh kembali bersama isterinya dengan akad yang baru.

“ Sekarang, mahkamah membenarkan Puan Qusyairah binti Mohd Saleh untuk menolak pertuduhan seandainya tidak bersalah.”

“ Bismillahirrahmanirrahim. Saya bersaksi kepada Allah, saya tidak berzina dan saya bersaksi kepada Allah, kandungan ini dari benih suami saya.”

“ Kau bohong. Jangan nak berdalih.” Ahmad Rafiq sudah hilang sabar sehingga tindakannya tidak menghormati hakim syarie yang berada di hadapan.

“ Kawal diri kau Rafiq. Ini mahkamah.” Fikri dengan tegas mengarahkan Ahmad Rafiq untuk kembali ke tempat duduknya. Tergambar pada wajah Ahmad Rafiq yang dia sangat tidak berpuas hati.

" Saya tak takut dengan kata-kata Encik. Saya tak berzina."

Qusyairah dengan air mata yang bergenang memberikan pandangan tajam kepada Ahmad Rafiq. Dia sudah bersabar selama ini dengan tuduhan dan celaan oleh bekas suaminya itu. Kali ini dia benar ingin membersihkan namanya.

Setelah empat kali mengulangi lafaz tersebut, Qusyairah menyambung dengan lafaz seterusnya.

“ Saya bersaksi atas nama Allah bahawa suami saya berdusta. Seandainya saya berdusta, saya bersedia menerima kemurkaan Allah.”

Persidangan selesai. Kini Ahmad Rafiq dan Qusyairah sudah tiada apa-apa ikatan sebagai suami dan isteri. Afina mengiringi Qusyairah untuk keluar dari bilik persidangan sehingga ke dalam kereta. Afina bimbang jika Ahmad Rafiq mencederakan Qusyairah. Qusyairah sedari tadi hanya berdiam diri dan merenung ke luar. Afina hanya membiarkan Qusyairah berdiam diri. Dia tahu bukan mudah untuk Qusyairah menghadapi semuanya.

“ Kak. Terima kasih sebab sudi jaga saya. Saya pun tak tahu ke mana saya nak pergi kalau kak Afina dan Abang Fikri tak jaga saya.”

“ Qusyairah dah macam adik kami dah. Qusyairah jangan risau. Buat masa ni Qusyairah tinggal di bilik sewa kakak.”

“ Maaf kak. Saya dah tak tahu macam mana nak hidup. Ibu dan ayah saya dah buang saya kak. Tengok muka saya pun mereka benci. Sedangkan dahulu, yang memilih untuk menikahkan saya, ibu dan ayah. Sekarang ni, selepas semua terjadi, kenapa saya yang mereka persalahkan ? Di mana rasa percaya mereka kepada saya. Mereka lebih sanggup dengar kata-kata orang luar berbanding anak sendiri yang dah mereka bela selama 23 tahun.”

Tersentuh Afina mendengar luahan hati Qusyairah. Dia berhentikan kereta di tepi jalan. Dia tahu, Qusyairah memerlukan dakapannya. Afina merupakan juniornya sewaktu di sekolah menengah. Jadi, setiap sisi masalah Qusyairah, Afina dan Fikri mengetahuinya. Afina juga seakan tidak percaya Ahmad Rafiq sudah hilang rasionalnya. Tidak seperti yang mereka kenal dahulu. Afina percaya ada sesuatu yang berlaku sehingga Ahmad Rafiq nekad dan hilang pertimbangan. Fikri juga memikirkan perkara yang sama. Walaupun kes ini sudah diselesaikan di mahkamah, Fikri tetap ingin mencari tahu perkara ini daripada sahabat-sahabat Qusyairah di Indonesia. Ini semua demi membersihkan nama baik Qusyairah dan keluarga.

“ Kak. Selepas, saya melahirkan, saya akan balik ke Indonesia.” Suara Qusyairah mematikan kesunyian.

“ Qusyairah pasti ke ni ? Tak tunggu anak besar sikit ?”

“ Tak kak. Semakin lama saya di sini, semakin sakit saya, kak. Lagipun, saya kena habiskan pelajaran saya secepat mungkin supaya saya tamat dan bolehlah saya cari kerja selepas ni. Dua semester lagi.”

“ Baiklah. Kalau macam tu, kakak dan abang Fikri bincang dulu.”

“ Dan kak Afina tak perlu risau. Saya masih ada duit simpanan untuk bertahan. Untuk dua semester ni saya rasa RM 15,000 dah cukup.”

“ Banyaknya duit Qusyairah.”

“ Alhamdulillah, ni duit hasil daripada saya menulis novel. Walaupun tak banyak mana, tapi saya harap dengan adanya duit ni, saya boleh menyara kehidupan saya sampai saya habis belajar nanti.”

“ Kalau Qusyairah tak sebut tentang hal duit pun, abang dan kakak memang ada rancang untuk sara Qusyairah.”

“ Ya Allah kak. Dah banyak sangat kakak tolong saya. Saya jadi segan kak.”

“ Qusyairah kan adik kakak. Kenapa nak segan ? Lagipun, kami berdua tak ada tanggungan lain kan ? Kakak memang tak dapat nak melahirkan selepas banyak kali keguguran.” Kini suara Afina pula yang berubah. Qusyairah kagum dengan Afina. Meskipun dia sendiri menghadapi kesukaran, Afina tidak pernah berkira untuk mencukupkan keperluan orang lain.

“ Boleh tapi, dalam tempoh ni, izinkan saya untuk kerja di klinik kakak. Jadi tea lady dan cleaner pun saya sanggup. Saya tak boleh terima pertolongan kakak dan abang secara percuma.”

Setelah lama berfikir, Afina bersetuju. Dia tahu yang Qusyairah berasa tidak nyaman. Dia juga tahu bahawa Qusyairah bukanlah orang yang mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain.

“ Sekarang ni kakak lapar. Jom kita makan. Qusyairah ada nak makan apa-apa tak hari ni ?”

“ Tak ada kak. Tapi saya ikut je mana Kak Afina nak pergi.”

“ Okay, let’s go.” Afina menyambung pemanduannya.

Qusyairah kini semakin tenang. Dia percaya, Qusyairah dapat menangani semua masalah yang berlaku.

Tiga bulan kemudian….

“ Dik, jaga diri baik-baik kat sana nanti. Kalau ada apa-apa, jangan segan call akak.”

“ Terima kasih, kak. Terima kasih bang. Doakan supaya semuanya berjalan dengan lancar. Saya masuk dulu.”

Thorique masih tidur dengan lena di dalam stroller bayi. Seawal usia Thorique empat minggu, Qusyairah sudah membawanya untuk pulang ke Malang. Sewaktu dia melahirkan Thorique, tiada sesiapapun yang berada di sisinya melainkan Afina dan Fikri. Sewaktu berpantang Afina juga telah mengupah seorang bidan untuk menjaga Qusyairah.

Saat melepasi pemeriksaan imigresen, Qusyairah menghantar mesej kepada sahabatnya, Irdina yang belajar di Universitas Brawijaya dalam bidang perubatan. Mereka bersahabat sejak kedua-duanya aktif berpersatuan di dalam persatuan pelajar Malaysia dia Malang, Indonesia. Pada awalnya, Irdina agak terkejut mendengar tentang perihal Qusyairah, namun kerana Irdina sangat menyayangi sahabatnya itu, dia sanggup untuk datang dari Malang dan menjemput Qusyairah di lapangan terbang antarabangsa Juanda di Surabaya.

IRDINA : Tapi aku tak datang seorang tau.
QUSYAIRAH : Dengan siapa ?
IRDINA : Nantilah kau tengok. Apa-apa nanti kau contact je aku. Okay, aku nak gerak dah.
QUSYAIRAH : Okay. Terima kasih Dina.
IRDINA : Simpan dulu terima kasih kau tu. Lepas ni kau kena janji kau cerita semua tanpa rahsia.
QUSYAIRAH : Baiklah.

Beberapa kali Qusyairah mengusap kepala anaknya itu. ‘Thorique Ahmad Rafiq bin Abdullah’. Hanya itu sahaja daya dan upayanya untuk mendaftarkan nama anak sucinya itu. Qusyairah berasa sebak melihat anaknya yang tenang sahaja. Sebenarnya dia jika boleh tidak mahu meletakkan nama Ahmad Rafiq di dalam sijil tersebut tetapi atas nasihat Fikri, Qusyairah akur. Fikri lebih mengetahui impaknya nanti.

“ Anak mama yang soleh. Mama janji mama akan jaga anak mama ni dengan sebaik mungkin. Mama minta maaf sebab awak kecil-kecil lagi dah tak ada ayah. Walaupun macam tu, Mama yakin yang mama mampu untuk jaga awak, sayang.”

Dahi Thorique dikucup lembut. Qusyairah berharap, setibanya dia nanti di Malang, dia dapat melupakan segala perkara yang terjadi kepadanya. Dia mahu kekal fokus untuk mencapai impiannya. Thorique adalah kekuatannya kini, Namun tak putus-putus dia berdoa agar kebenaran terungkap. Demi maruah dirinya dan keluarganya. Bukan kerana mahu kembali, kerana rasa cinta itu dah lama mati.



BAB DUA

" Antara kita harus saling percaya. Inilah dugaan hidup berjauhan. Abang berdoa kepada Allah agar rumah tangga kita diberkati dan kekal harmoni. Abang berjanji takkan mensia-siakan sayang."

" Qusyairah pun akan selalu mendoakan agar hati kita sentiasa teguh dan tabah. Satu tahun tu tak lama. Qusyairah yakin kita boleh lalui satu tahun ni dengan baik."

Itu janji mereka. Janji yang ditaburkan seperti kuntuman kelopak mawar merah yang semekar cinta mereka. Namun akhirnya seperti daun kering yang gugur dan terbang tanpa arah ditiup angin.

" Ya Allah, apa salah aku Ya Allah. Adakah kau sedang menguji keikhlasanku ? Benarkah aku redha saat aku disatukan ? Benarkah aku cukup redha dengan permintaan orang tuaku ?"

Kata-kata itu tidak terluah dari bibirnya. Hanya ditulis di dalam diari. Kadang- kadang hanya diri sendiri yang memahami segala isi hati. Tak perlu luahkan pada orang lain, hanya Allah dan dirinya.

Qusyairah membuka mukasurat di sebelumnya. Terdapat sekeping gambar. Gambarnya bersama Ahmad Rafiq sewaktu majlis akad nikah mereka berlangsung.

" Assalammualaikum."

Qusyairah masih malu-malu menyerahkan jari. Saudara mara galak mengusik mereka berdua.

Qusyairah ternyata tidak dapat membohongi diri sendiri. Dia masih terkesan dengan peristiwa yang menimpanya. Memaafkan itu mudah. Tetapi, untuk melupakan ?

" Ya Allah. Hapuskanlah kedukaan di hati aku Ya Allah."

Masih terbayang di ingatan sewaktu Qusyairah dihalau keluar daripada rumah sewaktu dia sarat mengandungkan Thorique. Dalam kehujanan dia mencari tempat untuk berteduh. Sudahlah dibuang suami, ibu dan ayahnya juga mengharamkan Qusyairah untuk menjejakkan kaki di rumah mereka.

Mujur ketika itu, Fikri dan Afina kebetulan melalui jalan tersebut untuk melawat Qusyairah. Habis tubuh badannya berbekas luka kerana dilibas dengan menggunakan tali pinggang oleh bapanya.

" Maaf ayah. Saya dah tak boleh nak mengajar anak ayah ni."

Meskipun tidak dipukul oleh Ahmad Rafiq, tindakan Ahmad Rafiq itu sangat melukakan hatinya.

Tanpa dijelaskan apa salahnya, tanpa diberikan peluang untuk berkata, tanpa tabayyun sebelum menjatuhkan hukum, adilkah itu ?

" Mulai hari ni, kau carilah kehidupan kau sendiri. Keluarlah dari rumah ni. Dan kau bukan anak aku lagi." Bergetar tangan ayah Qusyairah menahan amarah. Jika tidak ditahan oleh Qusyairi, adik lelaki Qusyairah, sudah pasti mati Qusyairah dikejarkan oleh orang tua itu.

" Cik, okay ke ?" Sapaan pramugari air Asia menghentikan lamunan Qusyairah. Cepat-cepat air matanya diseka.

" Sekarang dah boleh boarding Cik. Cik Premium Flex kan ?"

Qusyairah hanya mengangguk dan sempat pramugari menawarkan bassinet untuk Thorique namun Qusyairah menolaknya dengan baik kerana dia lebih selesa jika Thorique kekal dalam dakapannya.

Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda

Dari jauh Irdina sudah melambai-lambai Qusyairah yang baru keluar daripada balai ketibaan. Dengan hanya berbekalkan satu bagasi bersaiz besar, dan stroller Thorique, Irdina membantu untuk mengangkat bagasi tersebut. Dia tahu, dengan keadaan Qusyairah yang belum habis berpantang, Qusyairah masih belum kuat.

" Ya Allah Qusyairah." Irdina sedikit menjerit. Lama dia memeluk Qusyairah. Kedua-duanya menangis. Irdina tidak menyangka bahawa kisah cinta Qusyairah berakhir dengan tragis.

" Irdina. Aku rindu kau. Kau sihat ?"

" Aku sihat. Alhamdulillah. Dah. Ramai orang tengok kita kat sini. Kita masuk kereta dulu. Umar dan Harraz dah tunggu kita kat luar."

" Kau bawa Umar dan Harraz ?"

" Sorrylah. Aku terpaksa bawa dorang. Kau fahamkan ? Umar tak nak aku sorang dan tak mungkin aku pergi berdua dengan dia. Lagipun Harraz yang sukarela nak ikut. Dia risau kat kau."

" Tak. Aku tak marahlah. Berapa sewa kereta tu ? Aku nak bayar."

" Yang tu kau jangan tanya aku. Harraz yang uruskan kereta sewa tadi. Yang penting sekarang kau ada dengan kita orang."

Qusyairah hanya mengangguk. Terharu kerana Umar dan Harraz sudi menawarkan pertolongan kepada Qusyairah.

" Assalammualaikum Qusyairah." Umar memulai bicara.

" Waalaikumsalam."

" Lama dah tak jumpa kau. Kau sihat ?"

" Alhamdulillah." Umar kemudian membantu mengangkat bagasi Qusyairah dan meletakkannya di but kereta.

" Saya tahu awak penat. Bagi saya pegang baby tu." Harraz menawarkan diri. Umar dan Irdina berpandangan. Inilah kali pertama Harraz bercakap dengan Qusyairah setelah lama berdiam diri. Berita pernikahan Qusyairah sangat melukakan hatinya. Namun sudah tibanya Harraz melupakan segalanya demi persahabatan yang dibina sejak mereka berada di tahun pertama lagi.

" Terima kasih."

" Comelnya. Siapa nama dia ?"

" Thorique."

" Sayang Thorique. Malam ni Thorique tidur dengan Ayah Raz ya." Tergambar sifat kebapaan pada diri Harraz. Sekali lagi Qusyairah berasa terharu. Thorique disayangi oleh seseorang yang bukan bapa kandungnya.

" Suka hati kau je Harraz. Macamlah mak dia bagi."

" Qusyairah boleh tak saya yang jaga Thorique malam ni ?" Harraz ikhlas menawarkan diri.

" Kalau awak tak keberatan. Saya tak kisah."

" Betul ke ? Terima kasih Qusyairah. Terubatlah rindu saya dengan adik adik di kampung."

" Ya, tapi kau kena alert tau Harraz. Baby ni kadang meragam malam-malam."

" Jangan risau. InsyaAllah saya boleh jaga Thorique. Saya dah biasa jaga budak kecil. Nanti susu dia bagi sekali ya." Pesan Harraz siap-siap.

Qusyairah merebahkan badannya. Dia tidak dapat melelapkan mata. Perjalanan tiga jam dari Surabaya ke Malang tidak mampu menjadi lulabi untuk membuatnya mengantuk.

" Qusyairah. Aku tahu ni bukan masa yang sesuai untuk aku cakapkan ni. Cuma aku agak terkejut dengar cerita tentang kau. Dari Jakarta, Surabaya, Malang, macam macam versi yang aku dengar. Aku kenal kau macam mana Qusyairah. Aku harap, selepas semuanya reda, kau sudilah ceritakan semuanya pada kita orang. Kita dah lama kawan. InsyaAllah, kita orang sentiasa ada untuk kau."

" Terima kasih sangat-sangat. Aku dah redha dan bersedia dengan apa-apa yang bakal aku hadapi sebaik sahaja aku tiba di Malang nanti. Sekarang aku penat nak jelaskan kat orang. Orang tetap akan nampak aku sebagai orang yang bersalah. Aku dipulaukan. Aku disindir oleh banyak pihak. Tapi aku diam je. Aku tahu suatu masa nanti Allah akan tunjuk semuanya."

" Sabar Qusyairah. Aku pun agak terkilan masa aku pergi rumah sewa kau kelmarin. Tapi kau jangan risau, kita orang dah jumpa bilik sewa yang sesuai dengan kau. Cuma tu lah. Rumah tu agak jauh daripada UIN. Kau okay tak ?"

" Boleh as long aku ada motorsikal. Nanti esok lusa aku kena cari motorsikal."

" Pasal motorsikal, nanti kita orang yang tolong carikan."

" Terima kasih sekali lagi."

" Ha, ni aku tolong ni bukan percuma. Aku nak kau buat karipap ayam nanti bila kau free. Mak aku ada bekalkan kari banyak betul tapi tak ada masa aku nak masak. Serious weh, rindu dengan karipap ayam yang kau selalu bawa masa meeting." Umar menyelitkan gurauan.

" Baiklah. Tunggu semuanya dah settle ya." Perasaan sedih Qusyairah kini sedikit reda. Dia punya sahabat yang sentiasa ada di sisinya.

" Eh aku lupa pulak. Nisa, student medik Surabaya kirimsalam kat kau. Tadi dia ada cerita kat aku yang Imran pelajar UIN tu sakit. Lama dah sampai nak di bawa balik ke Malaysia. YDP Pusat pun dah turun ke Surabaya. Tak pasti Imran tu sakit apa."

" Imran yang aktif futsal tu eh ?" Teka Umar.

" Ye lah kot."

Harraz hanya memandang Qusyairah. Dia seperti dapat mengagak apa yang berlaku.

" Jap. Bukankah, Imran tu anak saudara suami kau ?"

Qusyairah pura-pura tidak mendengar dan menutup mata. Dia malas mahu mengulas apa-apa. Takut dia pula nanti terjebak dengan dosa kering.

Terngiang-ngiang di ingatan saat dia bertelagah dengan Imran sebelum pulang ke Malaysia.

" Aku dah cakap kan ? Kalau aku tak dapat miliki kau, aku akan pastikan yang kau takkan dapat dimiliki oleh sesiapa. Walaupun aku terpaksa menghancurkan kehidupan bapa saudara aku sendiri."

" Apa kau cakap ni Imran ? Jangan buat keadaan menjadi keruh. Tolonglah Imran. Aku mohon."

" Terima kasihlah sebab membantu aku untuk mengukuhkan lagi tuduhan tu. Sekarang dah terlambat untuk kau. Kehidupan kau akan hancur balik Malaysia nanti."

" Aku tak faham betul apa yang kau nak ?"

" Aku nak kau. Tapi kau tolak aku dan terima Harraz. Lepas tu, kau boleh pulak kahwin dengan bapa saudara aku. Jadi, rasakan lah."

Ternyata mukhayyam ukhwah yang dianjurkan ketika itu menjadi medan perpecahan ukhuwah. Tidak dia menyangka begitu rapi perancangan Imran. Di mata semua orang Imran adalah benar. Pandai Imran bermain kata.

" Allah tahu siapa yang benar Imran. Allah tahu. Aku takkan maafkan kau. Aku serahkan semuanya kepada Allah."

" Aku tak perlu maaf kau. Aku tak sabar nak bertepuk tangan di atas apa yang bakal berlaku nanti."

Qusyairah malas hendak melayan Imran. Dia tahu dia akan kalah. Imran mempunyai pengaruh yang sangat kuat. Kelebihannya dalam berhujah berdasarkan nash Al Quran membuatkan dia sangat disegani oleh semua pelajar. Sayang, kelebihannya itu disalahguna untuk menjatuhkan orang lain.

" Harraz."

Sergahan Umar mengembalikan Qusyairah ke alam nyata.

" Jom kita solat jama' Maghrib Isya dulu. Irdina dan Qusyairah jaga kereta ya." Umar memberhentikan kereta sewa Xenia di sebuah masjid di pekan Lawang.

Qusyairah hanya mengangguk dan Harraz menyerahkan Thorique kepada Ibunya. Irdina sudah terlena. Qusyairah mengambil kesempatan untuk menyusukan Thorique sebelum mereka menyambung perjalanan mereka yang berbaki satu jam setengah.

" Allahuakbar."

Jika benar Imran sakit gara-gara ketulahan, semoga itu akan memberi pengajaran dan semoga Allah buka seluas-luasnya pintu kebenaran.

Itu pinta Qusyairah.




BAB TIGA

Ahmad Rafiq dari tadi resah dan mundar-mandir seperti orang yang hilang arah. Pakcik Syukri dan Makcik Zainab berasa hairan melihat kelakuan anaknya yang seperti lipas kudung sejak pulang daripada rumah sepupunya.

 “ Kamu ni dah gila agaknya. Budak Imran tu sakit, yang kamu nak belasah kenapa ?”

“ Dia tipu Rafiq abah, mak.  Qusyairah tak bersalah pun dalam hal ni.”

“ Kalau ia pun, kamu janganlah buat macam tu. Nasib baik, si Khairul tu ada tadi. Cubalah kawal emosi tu sikit.” Ujar Makcik Zainab yang semakin hari berasa semakin tidak mengenali anaknya.

“ Nak kawal macam mana mak ? Rumah tangga Rafiq dah hancur mak. Rafiq dan menzalimi orang yang tak bersalah.”

“ Itulah kamu, terbawa-bawa perasaan. Abah tahu, kamu bukan sekadar sakit hati dengar berita kononnya Qusyairah tu berzina. Abah tahu kamu tercabar dengan dia. Dari kecil sampai besar, pantang ada orang lebih sikit dari kamu, kamu mesti tak puas hati. Abah tak sangka, Rafiq. Sampai ke kahwin pun kamu masih macam tu. Apalah nak jadi.”

“ Mak dah suruh Fikri datang sini untuk selesaikan masalah kamu. Kamu rehat dulu. Solat. Tak lama lagi sampailah si Fikri tu.”

Ahmad Rafiq menurut sahaja kata Makcik Zainab. Dia segera mengambil wudhu dan mengerjakan solat Zohor. Dia dalam solatnya dia masih memikirkan  hal keduniaan. Layakkan dia dipanggil seorang mukminin ?

“ Assalammualaikum.” Suara Fikri mematikan lamunan Ahmad Rafiq yang masih berteleku di atas tikar sejadah. Dia bingkas bangkit dan  membiarkan tikar sejadahnya terhampar begitu sahaja.

Fikri sepertinya sudah tahu apa yang terjadi. Sejak pulang daripada mahkamah kelmarin, hubungan Fikri dan Ahmad Rafiq sedikit renggang. Ahmad Rafiq tidak berpuas hati dengan tindakan Fikri dan Afina yang membantu Qusyairah.

“ Kalau tak disebabkan abah kau yang suruh aku ke sini, aku memang tak akan ke sini.” Ujar Fikri. Dia benar-benar tawar hati. Kejadian di pusat membeli belah di pekan masih lagi tergambar jelas dalm fikirannya.

“ Oh, lepas aku, kau nak cuba tackle kawan aku.” Suara sindiran Ahmad Rafiq yang jelas membuatkan semua mata fokus terhadap Qusyairah.

“ Kau dah kenapa Rafiq ? Orang tengok. Benda dah settlekan. Tak perlu kot kau hina Qusyairah macam tu.” Ujar Fikri yang hairan. Tindakan Ahmad Rafiq sangatlah tidak matang. Qusyairah hanya mendiamkan diri dan mencari kekuatan untuk menghadapi Ahmad Rafiq. Semakin hari ada sahaja kata-kata bekas suaminya yang menyakitkan hati.

“ Afina, you hati-hati. Nampaknya si Fikri ni ada potensi nak memadukan you. Murni sungguh hati you kan ? Nak bermadu dengan perempuan penzina.” Belum sempat Ahmad Rafiq  menghabiskan kata-katanya. Penumbuk Fikri sudah mengenai tepat pada wajah Ahmad Rafiq sehingga dia tersungkur.

“ Sanggup kau tumbuk kawan kau sendiri demi mempertahankan orang lain, Fikri.”

“ Kau dah melampau Rafiq. Aku tak faham ilmu apa yang kau tuntut sehingga kau bongkak macam ni. Semakin kita ni belajar agama, semakin tulah jiwa kita tunduk. Kau belajar Al Quran dan kau siap marah lagi bila aku ajar kau. Kononnya ilmu kau lebih mantap daripada aku. Aku terima. Tapi, sikap tu, Rafiq. Tak menggambarkan apa yang kau belajar.” Ternyata Fikri sudah hilang sabar dengan sikap sahabatnya itu. Semakin hari semakin melampau sikapnya. Apa lagi yang Ahmad Rafiq nak ?

“ Ehem. Fikri nak minum apa, makcik buatkan.” Suara Makcik Zainab mematikan lamunan Fikri. Fikri menolak dengan baik kerana baru sahaja selesai makan tengahari di rumah tadi. Namun Makcik Zainab tetap menghidangkan jus oren untuk membasahkan tekak.

“ Fikri. Aku.. aku nak minta maaf tentang hari tu. Tapi kali ni aku memang perlukan bantuan kau.”

“ Okay. Cerita dari awal.” Fikri cuba bertindak profesional walaupun dia cukup geram dengan  Ahmad Rafiq.

“ Segala tuduhan aku terhadap Qusyairah adalah tidak benar.”

Fikri membundarkan matanya tetapi tidak terlalu terkejut kerana dia sudah mengetahui semuanya dari Qusyairah. Namun Fikri agak terkilan dengan sikap Imran yang sudah memperbodohkan semua orang. Atas dasar apakah, Imran tegar melakukan hal yang demikian kepada Qusyairah ?

“ Imran. Dia mengaku. Dia minta maaf atas kesalahannya dan dia merayu nak jumpa Qusyairah. Teruk benar dah Imran tu Makcik tengok.” Sampuk Makcik Zainab. Imran berterus terang dengan semua orang. Meskipun jasadnya terbaring sahaja di katil dan suaranya tergagap seperti tak cukup nafas, Imran berhasil membuat pengakuan. Jelas tergambar kesakitan pada wajah Imran.

“ Okay. Maaf aku tanya ni. Kau takkan lah tak kenal Qusyairah. Kau suami dia. Kenapa kau lebih percaya orang lain berbanding Qusyairah ? Kau tahu tak apa kesannya. Qusyairah dah dibuang keluarga tau.”

“ Aku tahu. Aku…”

“ Kamu tu cemburu melebih-lebih selepas tahu yang Qusyairah pernah menyayangi orang lain sebelum kamu Rafiq. Kamu tercabar. Memang salah abah sebab membuka kisah lama. Tapi abah tak sangka benda ni boleh jadi macam ni. Kamu tu sebenarnya masih belum percayakan Qusyairah sepenuh hati. Kamu cakap kamu mencintai Qusyairah. Tetapi cinta kamu tu menyakitkan. Kamu rasa kamu yang paling benar. Bawa-bawa lah berubah Rafiq. Sikap kamu tu dah memakan diri kamu sendiri. Abah hantar kamu belajar agama supaya dengan adanya ilmu ni kamu akan dapat mengawal rasa bongkak dan pemarah kamu tu.”

Ahmad Rafiq tunduk sahaja. Tidak sampai satu minit, Pakcik Syukri kembali menasihati anaknya itu.

“ Qusyairah dah korbankan segalanya saat dia memilih kamu menjadi suaminya. Abah juga rasa berdosa sebab abah dan ummi, orang tua Qusyairah mendesak Qusyairah untuk memutuskan persahabatannya dengan orang yang sepatutnya jadi teman hidupnya. Memang diakui, Harraz anak arwah Ustaz Muhammad tu sangat baik. Dia tahu yang Qusyairah dah berkahwin bahkan mengandungkan anak kamu, dia masih ada untuk membantu Qusyairah sewaktu itu. Sehinggakan cerita Harraz membantu Qusyairah dimanipulasi dan menjadi fitnah. Abah tak sampai hati betul tengok Ustazah Mashitah tu menangis bila dengar cerita tentang anak bujang dia yang merupakan harapan keluarga menjadi bualan orang. Seandainya Harraz tak membantu Qusyairah, tak tahulah apa nak jadi.”

“ Pakcik tahu cerita ni dari mana ?” Tanya Fikri sopan. Persis seperti yang diceritakan oleh Qusyairah.

“ Pakcik rasa tak tenang semenjak peristiwa tu berlaku. Banyak betul versi cerita yang pakcik dengar sehingga murah sangat nama anak pakcik dan bekas menantu pakcik ni dijaja. Pakcik cuba cari tahu tentang semua ni dari Harraz sendiri. Untuk pengetahuan kamu, sekarang ni di Malang, Harraz dan kawan-kawan dia yang bantu jaga anak tu.”

“ Anak aku, Fikri. Aku tahu aku takkan dapat kembali kepada Qusyairah. Tapi aku nak jaga anak tu. Aku tak nak Harraz yang jaga. ” Masih kedengaran bibit cemburu dari bicara Ahmad Rafiq.

“ Kau tak ingat ke apa yang kau cakap di mahkamah hari tu ?” Sinis sahaja suara Fikri mengingatkan Ahmad Rafiq.

“ Ya. Tapi sekarang aku yakin tu anak aku. Tolong aku dapatkan anak aku balik.”

“ Astaghfirullahalazim. Kamu fikir semudah tu ke kamu nak ambil Thorique tu balik ? Rafiq, mak sebagai seorang ibu sangat memahami perasaan Qusyairah tu selepas apa yang kamu buat kepada dia. Kamu dah menjadikan dia perempuan yang terhina sekali di muka bumi ni. Jangan bermimpi Rafiq. Walaupun kamu anak mak, mak tetap akan menyokong Qusyairah seandainya nanti dia ingin mengambil tindakan undang-undang.”

“ Kau dengar cakap mak dan abah kau Rafiq. Sepatutnya kau kena ambil pengajaran daripada apa yang dah terjadi. Pada masa ni kau tak boleh nak ego lagi. Nasihat aku, pertama, kau kena bersihkan nama dia. Jernihkan hubungan dia dengan keluarga dia. Jika kau mengaku yang kau cintakan Qusyairah, hadapilah realiti.”

“ Kalau semua tak nak bantu Rafiq, Rafiq akan cari cara supaya Rafiq dapatkan anak tu. Rafiq nak jaga Thorique dan nak tebus balik kesalahan Rafiq.”

“ Ya Allah. Masih lagi perangai kamu macam ni. Abah ingatkan dah berubah. Istifar Rafiq. Jangan jadi hamba ego. Nak tebus kesalahan bukan dengan cara macam ni.” Sudah berbuih mulut Pakcik Syukri menasihati anaknya.

“ Cuba faham perasaan Rafiq, mak abah. Rafiq dah hilang Qusyairah atas kebodohan Rafiq sendiri. Bila-bila masa laknat Allah boleh terkena Rafiq. Nauzubillah. Tapi tolong Rafiq. Sekurang-kurangnya sekali sahaja untuk Rafiq tengok anak Rafiq.”

Tersentuh perasaan Fikri mendengarkan permintaan Rafiq. Pakcik Syukri dan Makcik Zainab hanya mendiamkan diri sahaja. Mereka sedang mempertimbangkan permintaan Rafiq. Jika diikutkan, Rafiq sudah tiada hak untuk mengakui Thorique sebagai anaknya.

“ Semoga ni jadi pengajaran terhadap kamu Rafiq. Tapi, jangan letakkan pengharapan terlalu tinggi. Ingat, Qusyairah berhak sepenuhnya ke atas anak itu. Sebelum apa-apa, kamu kena jelaskan semuanya kepada ibu dan bapa Qusyairah.” Makcik Zainab menambah. Di dalam kelembutannya terselit ketegasan.

“ Ya, maaf aku katakan benda ni. Aku kena bagi kau tempoh waktu. Dalam masa satu bulan, nama Qusyairah mesti dibersihkan. Kalau tidak, aku sendiri akan mewakili Qusyairah dan memfailkan saman fitnah kepada Imran dan juga kau di bawah Akta Fitnah 1957 ( Defamation Act).” Ujar Fikri yang penuh karisma sebagai seorang peguam.

Ahmad Rafiq mengangkat wajahnya namun tidak berdaya melawan. Semuanya salahnya.

“ Dalam hal ini Pakcik takkan masuk campur Fikri. Pakcik nakkan yang terbaik. Semoga Qusyairah dan anaknya mendapatkan pembelaan atas perkara ini. Ahmad Rafiq, kamu dengar tu. Kali ini, abah takkan bantu kamu. Selesaikan sendiri hal ni.”

Kerjasama Pakcik Syukri sangat dihargai. Sejak kecil Pakcik Syukri tidak pernah memberi muka kepada Ahmad Rafiq sekiranya anaknya itu melakukan kesalahan. Bekerja sebagai seorang guru, PakCik Syukri sangat berfikiran terbuka dan rasional.

 “ Esok, abah dan mak akan bersama kamu untuk bertemu dengan ibu bapa Qusyairah. Kalau boleh Fikri dan Afina, datang sekali lah kalau tak ada aral melintang.” Ajak Pakcik Syukri.

“ Tak pasti pulak saya. Apa-apa saya akan maklumkan kepada Pakcik.”

Ahmad Rafiq tidak mendengar lagi. Dia segera masuk ke dalam bilik. Banyak perkara yang dia fikir. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan semuanya kepada ibu bapa Qusyairah. Yang pasti, dia bersedia untuk menghadapi kebencian bekas mertuanya itu.



Malang


Hari ini Qusyairah membawa anak Irdina ke Malang Town Square bersama Thorique. Sepanjang kesibukan mereka menjadi pelajar tahun akhir, Qusyairah dan Irdina jarang meluangkan masa bersama-sama. Irdina sibuk berpraktikal di Rumah Sakit Umum Saiful Anwar manakala Qusyairah pula masih dalam penulisan skripsinya. Seandainya Qusyairah sibuk menghadiri kelas, Harraz dan teman serumahnya akan sukarela menawarkan bantuan untuk menjaga Thorique.


“ Saya keluar dengan Irdina hari ni Harraz. Awak rehatlah ya. Biar saya jaga Thorique hari ni.”

“ Betul ni ?” Harraz benar-benar memastikan.
Qusyairah mengangguk. Dia berasa serba salah dengan kebaikan Harraz yang sentiasa ada untuknya.

“ Qusyairah. Kau tak rasa ke Harraz tu suka dengan kau ? Aku tengok dia tu betul-betul ikhlas jaga Thorique. Sejak kau kembali ke Malang lima bulan lepas. Aku nampak Harraz tu dah macam bapa si Thorique. Thorique demam dia yang bawakan ke hospital.

“ Harraz tu memang baik. Tak payahlah kau fikir lain.”

“ Kau tahukan sejak first year lagi Harraz tu suka dengan kau. Dan kau pun hampir..”

“ Dina, jangan ungkit.”

“ Sorry. Aku cuma nakkan yang terbaik untuk kau Qusyairah. Aku tahu, jadi ibu tunggal menguruskan anak seorang diri sementara kau pun masih belajar, adalah bukan sesuatu yang mudah.”

“ Tak apa, benda ni akan jadi pahala untuk aku nanti.”

“ Dan pahala untuk aku jugak. Eiii geram betul tengok Thorique ni.”

“ Kalau geram, cepat-cepatlah kau dan Umar menikah. Bertambah-tambahlah pahala kau nanti.”

“ Ada ke situ pulak.”

“ Eh, aku nak pergi ke tandas dulu. Kau tolong jagakan Thorique ni ya.” Pinta Qusyairah.

“ Okay.”

Lima minit kemudian, Qusyairah langsung pergi masuk ke dalam pasar raya untuk  mencari Irdina dan Thorique. Tidak lama kemudian, ada seseorang menyergahnya dari belakang.

“ Qusyairah.”

 Suara lelaki itu sangat dia kenali. Namun Qusyairah segera menepuk pipinya. Dia bimbang itu hanya ilusi. Qusyairah masih berdiri tegak tanpa berpaling.

“ Qusyairah. Tengok abang.”

Ya. Betul. Bukan ilusi dan apa yang membuatkan lelaki itu datang mencarinya sehingga ke Malang. Bukankah dia sepatutnya berada di Mesir dan hidup berbahagia di sana ?

“ Apa encik nak ?”

  Tak payahlah nak berencik-encik dengan abang. Panggil sahaja abang seperti kita mula-mula kenal.”

“ Maaflah encik, panggilan tu terlalu mulia untuk orang seperti saya. Takut jatuh pulak darjat encik jika saya panggil encik sedemikian rupa.”

“ Jangan hukum abang, sayang.” Ahmad Rafiq hilang kawalan. Dia hampir sahaja menyentuh tangan Qusyairah namun Qusyairah sempat mengelak. Tegas wajahnya dan segera dia memberikan pandangan tajam sama seperti pandangan di mahkamah sewaktu dia mempertahankan dirinya dahulu.


" Sementara saya masih ada rasa hormat dengan encik, lebih baik encik berambus dari pandangan saya."

Qusyairah sudah tidak dapat menahan amarahnya. Berani-beraninya Ahmad Rafiq muncul di hadapannya seperti tiada apa yang berlaku.


" Qusyairah. Abang minta maaf. Abang tahu abang salah. Qusyairah... abang...," Ahmad Rafiq mencuba untuk memegang tangan Qusyairah. Namun cepat-cepat Qusyairah mengelak. Matanya membundar. Derap nafasnya kedengaran. Tanpa berkelip, wajah Ahmad Rafiq ditenungnya dengan pandangan tanpa kasih.


" Encik dah kenapa nak pegang-pegang saya. Saya ni bukan lagi isteri encik. Encik tak ingat ke Encik dah laknat saya. Bukan tu sahaja. Encik dah laknat sekali anak yang dah saya lahirkan. Tanpa belas kasihan encik yang buang saya dan anak saya dari kehidupan encik. Apa encik ni dah tak tahu halal haram ? Encik kan sarjana hukum islam. Tak kan tak tahu kot. Belajar jauh-jauh sampai ke Mesir, takkan masih tak jelas dengan hukum tu ? Lain lah saya ni. Ilmu masih cetek. Belajar pun tak habis lagi."


" Qusyairah. Jangan cakap macam tu. Abang menyesal. Abang tak tahu lah nak buat macam mana lagi. Abang kalau boleh nak kembali..."


" Encik dah gila ke ? Kalau dapat kembali semua sekali pun, saya tak akan kembali. Tak perlulah encik nak melutut kat saya. Tak sesuai. Maruah encik kan tinggi. Takkan nak jilat balik ludah sendiri."


" Kalau macam tu, bagi abang peluang untuk jaga anak kita ?"


" HAHAHAHAHAHAH." Qusyairah ketawa berdekah-dekah. Kenyataan lucu apakah yang berada di hadapannya ini ?

Dalam masa yang sama, Irdina sempat menyaksikan perbalahan mereka berdua. Namun, Qusyairah berusaha mengawal dirinya kerana dia tidak mahu mereka menjad pusat perhatian pengunjung yang datang untuk membeli belah.

" Encik Ahmad Rafiq, saya tidak menafikan hak encik untuk jaga anak ni. Tapi, encik sendiri yang melaknat dan bersumpah ini bukan anak encik. Takkan benda simple macam ni encik tak tahu. Sekali seorang lelaki melaknat anak dalam kandungan bekas isterinya, maka anak itu dinisbahkan kepada keturunan ibunya. Dan itu yang encik cakap dahulu. Nak saya tambah lagi ?"

Ahmad Rafiq terdiam. Lima bulan setelah dia berpisah dengan Qusyairah, hilang sudah sifat ayu dan lemah lembut Qusyairah. Tidak seperti dahulu. Sementara itu, Irdina segera menghubungi Harraz dan Umar. Dia takut seandainya Ahmad Rafiq nekad untuk lakukan sesuatu yang bukan-bukan.

“ Boleh kita cakap sekejap. Di tempat yang ada privasi. Tapi, Qusyairah boleh bawa kawan Qusyairah ni. Abang nak cakap sikit je.”

“ Saya tak ada kepentingan untuk bercakap dengan encik. Saya kira dah tak ada apa-apa urusan antara kita.”

“ Please Qusyairah. Takkan tak ada perasaan belas dan kasih Qusyairah yang masih berbaki untuk abang ? Abang tahu abang dah hilang kedua-duanya. Qusyairah dan Thorique. Tetapi, abang masih berusaha untuk cari Qusyairah di sini.”

“ Saya tak suruh encik datang ke sini dan cari saya. Perasaan belas ? Encik fikirlah sewaktu saya merayu dan meronta saat saya dihalau ke rumah keluarga saya dengan kehinaan. Pernah encik kasihankan saya yang sarat sewaktu itu ? Perasaan kasih ? Maaf, perasaan tu dah lama hilang.”

Tiada setitik pun air mata Qusyairah yang menitis ketika itu. Dia sudah cukup kuat untuk menghadapi semua ini. Allah yang memberinya kekuatan sehingga mampu bertahan sejauh ini.
Beberapa minit kemudian, Umar dan Harraz muncul namun mereka cuba untuk tenang dan menyapa baik Ahmad Rafiq.

“ Assalammualaikum.” Giliran Harraz berjabat tangan. Lama Ahmad Rafiq memandang Harraz. Namun Harraz hanya membalas dengan senyuman.

“ Kau Harraz ?”

“ Ya saya.” Ujar Harraz yang masih sopan. Sementara itu, Umar membawa Irdina, Qusyairah dan Thorique ke kereta yang diparkir di parkiran pasar raya di tingkat bawah. Umar sempat menghantar mesej pendek kepada Harraz.

UMAR : Apa-apa kau inform je kat aku. Aku bawa dorang balik dulu.

Harraz tidak membalas mesej tersebut. Dia segera mengikut Ahmad Rafiq. Ada perkara yang harus dibicarakan dari seorang lelaki kepada seorang lelaki. Harraz cuba berlapang dada walaupun ada sedikit gentar. Tetapi dia percaya, Ahmad Rafiq benar-benar perlu untuk berbicara empat mata dengannya.




BAB EMPAT


Qusyairah menidurkan Thorique dan Irdina juga turut ikut sama terlelap. Qusyairah masih lagi menunggu kedatangan Harraz yang ingin membincangkan hal penting. Sementara itu Qusyairah meneruskan penulisan tesisnya yang akan dinilai tidak lama lagi. Meskipun sibuk menguruskan anaknya, Qusyairah masih dapat menumpukan sepenuh perhatiannya kepada pengajiannya. Atas dorongan dan bantuan daripada sahabatnya, Qusyairah menjadi bersemangat dari hari ke hari.

HARRAZ : Saya dah ada di luar.

Pendek sahaja pesan yang dikirim oleh Harraz. Qusyairah segera memakai tudung dan membancuh minuman 3 dalam 1 untuk Harraz. Mereka akan bertemu di lobi bilik sewa dan had masa melawat adalah sehingga jam 9:30 malam.

“ Mas, ingat ya batas waktu maksimal itu sehingga setengah sepuluh.”
Pengawal keselamatan mengingatkan lagi. Namun, selama ini, Harraz dan Qusyairah masih peka dengan peraturan yang ditetapkan.

“ Nah, air.” Ujar Qusyairah yang menyerahkan cawan kecil kepada Harraz. Mereka duduk berhadapan.

“ Thorique dah tidur dah ?”

“ Dah. Dari tadi tak berhenti menangis.”

“ Kenapa ?”

“ Masuk angin. Ni kenapa nak jumpa ?”

 Sebelum memulakan, Harraz menghirup minuman terlebih dahulu. Berkira-kira bagaimana untuk memulakan bicara. Takut tersalah tafsir.

“ Rafiq. Sekarang ada di rumah. Dan Qusyairah dengar dulu ya apa yang saya nak cakap.”
Qusyairah mengangguk lemah.

“ Rafiq nak jumpa dan bercakap dengan awak.”

“ Kenapa ? Saya tak ada apa-apa nak cakap dengan dia. Antara kami, dah tak ada apa-apa.”

“ Ya, saya tahu. Tapi mungkin dia ada perkara penting nak cakap ? Saya rasa awak patut jumpa dia. Dia pun akan terbang balik ke Mesir selepas ni. Satu lagi, Rafiq nak minta peluang untuk tengok dan jaga anak dia.”

“ Awak tahu tak Harraz ? Bagi saya bapa Thorique bukannya dia. Bapa Thorique tu adalah awak. Awak yang sentiasa ada untuk jaga dia melebihi kemampuan saya untuk menjaga dia.”

“ Yang lepas tu biarlah lepas ya. Saya pasti, awak tahu bagaimana rasanya tak diberi peluang kedua. Saya faham perasaan awak.”

“ Tak Harraz. Awak tak faham. Awak tak berada di tempat saya.”

“ Qusyairah. Saya tahu tu. Tapi sekurang-kurangnya, awak ada Thorique. Rafiq ? Memang awalnya dia yang salah dan benda ni pun takkan boleh jadi seperti biasa. Awak dan Rafiq takkan dapat kembali pun, sampai bila-bila. Tapi awak yang tahu kebenaran. Awak yang bersumpah bahawa Thorique itu adalah benih dari Rafiq. Jadi, berilah peluang untuk Rafiq tebus balik kesalahan dia.”

“ Macam mana kalau dia cuba untuk merebut Thorique dari saya ?”

“ Tak kan dapat. Awak dan Rafiq sudah difarakkan untuk selama-lamanya. Meskipun diberikan pembuktian DNA, dalam kes lian, hak hadhanah dan nasab dia semuanya milik awak. Saya, abang Fikri ada untuk backup awak. Dan…”

“ Dan apa?”

“ Saya sebenarnya nak cari waktu sesuai untuk cakap benda ni. Insya Allah waktu itu akan tiba juga suatu hari nanti.”

“ Okay. Macam ni. Saya bersetuju untuk berjumpa dengan dia. Tetapi, saya nak awak dan Irdina ada sekali.”

“ Tapi tak sopan kalau saya dan Irdina ada sewaktu perbincangan yang hanya melibatkan awak dan Rafiq. Tapi, awak jangan risau. Saya tak rasa yang Rafiq akan lakukan hal seperti yang awak sangka. Percayalah. Sekarang, masuk tidur. Jangan fikir banyak. Minggu depan kita akan bentang skripsi. Saya harap perkara ni tak akan menjejaskan pelajaran awak. Selamat malam. Assalammualaikum. Terima kasih air teh.” Ujar Harraz.

Seperti biasa, Harraz akan memberikan senyumannya. Dalam keadaan kusut seperti ini, jujur Qusyairah sudah terbiasa dengan kata galakan daripada Harraz. Namun, dia sendiri yang membataskan perasaan itu. Layanan Harraz hanyalah layanan baik daripada seorang sahabat kepada sahabatnya.

“ Sama-sama. Waalaikumsalam.” Qusyairah menunggu sehingga kelibat motorsikal Harraz hilang dari pandangannya.

Apalah dayanya selain daripada meminta pertolongan Allah. Setiap kegelisahan dan kedukaan, hanyalah Allah yang dapat menghapuskan.



Coffee Kayoe, Sigura-gura, Malang

“ Maaf lambat.” Hanya sepatah kata sahaja yang keluar daripada bibir Qusyairah. Sementara, Thorique masih dalam pelukannya.

“ Tak apa. Abang pun baru je datang ni. Nak pesan apa-apa ?”

Qusyairah menggeleng. Jika boleh, dia ingin menyelesaikan segala-galanya secepat mungkin. Irdina, Umar dan Harraz hanya memerhatikan mereka dari jauh.

“ So, apa yang Encik nak cakap, sampai nekad nak jumpa saya jauh di Malang ni ?”

Ahmad Rafiq menundukkan wajahnya. Kemudian, wajahnya sedikit didongak dan matanya memandang tepat pada mata bekas isterinya.

“ Abang tahu, abang…”

“ Maaf Encik, saya tak selesa dengan panggilan tu. Boleh tak Encik berbahasa dengan formal ?”
Kata-kata Ahmad Rafiq tergendala. Terhiris benar jiwa wanita yang berada di hadapannya.

“ Abang… Saya tahu. Dah terlambat untuk saya ucapkan kata maaf. Tetapi jujur dan ikhlas dari hati saya, saya ingin meminta maaf kerana…”

“ Saya dah maafkan. Tetapi, Encik jangan sangka saya dah lupakan.”

“ Saya, saya tahu, besar salah saya kepada Qusyairah dan Thorique. Tak mampu rasanya saya menjawab di hadapan Allah pada hari kiamat nanti jika saya tidak melafazkan maaf di atas kesalahan saya. Saya juga dalam proses untuk membersihkan nama Qusyairah. Saya dah failkan permohonan itu dan juga saya dah bercakap sendiri dengan ibu dan ayah Qusyairah. Mereka mengharapkan kepulangan Qusyairah.”

Qusyairah hanya mendengar tanpa apa-apa reaksi pada wajahnya. Hatinya sudah kering. Benar kata orang, seorang manusia boleh bertukar personaliti jika puas tersakiti.

“ Dan, saya juga ada menghibahkan sedikit harta pemilikan saya kepada Thorique. Memandangkan, hanya Thorique lah waris saya. Semoga apa yang saya tinggalkan dapat membantu awak untuk membesarkan Thorique. Saya yakin, awak mesti nakkan yang terbaik untuk Thorique. Sewaktu Thorique membesar, saya tak pasti yang saya masih ada di dunia ini. Laknat Allah kepada saya, bila-bila masa sahaja boleh tiba. Selain itu, yuran pengajian awak yang berbaki sudah saya lunaskan. Begitu juga bayaran rumah sewa awak. Saya tahu tak cukup dengan ini. Tetapi, ini sahajalah yang saya mampu untuk menebus semua kesalahan saya pada awak.”

Air mata Qusyairah menitis kerana teringatkan kenangan manisnya bersama Ahmad Rafiq sewaktu mula-mula bergelar suami isteri. Sewaktu itu mereka berdua sudah mulai merancang tentang anak dan masa depan mereka.

“ Abang kalau boleh, nak kita cepat-cepat ada anak. Dan kalau boleh abang nak anak lelaki dan kita namakan Thorique.”

“ Bukan ke Thorique tu nama penakhluk Andalusia ?” Tanya Qusyairah yang sewaktu itu sedang berbaring di riba Ahmad Rafiq.

“ Ya. Thorique Ziyyad. Tapi abang cuma ambil nama Thorique. Thorique Ahmad Rafiq.

“ Thorique Ahmad Rafiq. Tapi nanti kan abang jauh di Mesir. Qusyairah di Indonesia. Macam mana Qusyairah nak jaga Thorique ? Mesti Thorique rindukan papa dia.”

“ Eleh, mengaku jelah, Mama Thorique pun akan rindu Papa Thorique.”

“ Mana ada. Tak rindu pun.”

“ Sabar ya sayang. Jadikan perhubungan jarak jauh kita ni sebagai penguat semangat untuk kita sama-sama tamatkan belajar. Abang kalau boleh nak ambil Master di Malaysia tapi tu lah, Abang dah daftar dulu di sana sebelum mak dan abah satukan kita.”

“ Abang, boleh Qusyairah tanya satu soalan ?”

“ Tanyalah.”

Qusyairah bangkit daripada pembaringannya. Dia duduk di hadapan suaminya, lutut bertemu lutut. Mata suaminya dipandang dengan penuh kasih.

“ Kenapa abang bersetuju nak kahwin dengan Qusyairah, sedangkan abang tak kenal pun Qusyairah.”

“ Sebab redha orang tua. Mak dan abah adalah segalanya bagi abang. Satu lagi sebab Qusyairah dah memenuhi kriteria wanita yang dianjurkan untuk dinikahi.Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara. Yang pertama, adalah harta, keturunan, kecantikan dan agamanya.”

“ Nak dikatakan berharta, tak adalah sangat. Nak dikatakan keturunan, Qusyairah bukan puteri raja. Cantik tu tak ada, tapi, Qusyairah tahu Qusyairah comel.” Ahmad Rafiq sempat mencubit pipi isterinya yang bersahaja.

“ Agama…,” Qusyairah menyambung. “ Kalau agama, Qusyaira tak rasa ilmu agama ni penuh di dada. Setakat yang biasa-biasa tu adalah.” Ujar Qusyairah merendah diri.”

Tangan Ahmad Rafiq melingkar pada bahu Qusyairah. Semakin erat. Qusyairah suka. Rasa sangat disayangi.

  Ramai orang meletakkan kriteria yang tinggi dalam panduan memilih isteri. Bagi abang, jika harta yang dipandang bukanlah harta dan kemewahan. Cukuplah sekadar harta untuk memenuhi keperluan diri sendiri. Jika keturunan, bukanlah puteri raja ataupun keturunan terhormat. Cukuplah ada identiti diri. Jelas nasabnya. Keluarga abang pun tahu siapa ayah dan ibu Qusyairah. Itu sudah memadai. Jika kecantikan, kecantikan adalah subjektif. Ada orang suka yang kulit putih gebu. Hidung mancung. Ada orang suka yang kuning langsat. Ada orang suka yang kurus ramping. Ada orang suka yang berisi. Jadi, kecantikan tu abang nilai, asalkan tenang mata memandang. Jika agama, memadai orang yang menjaga solatnya. Pandai mengaji. Kerana selebihnya, suamilah yang membimbing.”

“ Tapi takkanlah abang tak ada pilihan lain selain Qusyairah ? Takkan tak ada akhawat Malaysia di Mesir yang abang boleh jadikan sebagai isteri ?”

“ Sayang cemburu ya ? Sayang. Di saat abang dah melafazkan akad, dah tak ada perempuan lain yang bertahta di hati abang. Atau, sayang sebenarnya pernah ada pilihan hati yang lain ? Jujur je. Abang faham.”

Qusyairah terdiam. Teringat Harraz. Namun cepat-cepat Qusyairah menggeleng.

" Antara kita harus saling percaya. Inilah dugaan hidup berjauhan. Abang berdoa kepada Allah agar rumah tangga kita diberkati dan kekal harmoni. Abang berjanji takkan mensia-siakan sayang."

" Qusyairah pun akan selalu mendoakan agar hati kita sentiasa teguh dan tabah. Satu tahun tu tak lama. Qusyairah yakin kita boleh lalui satu tahun ni dengan baik."
Doa yang dipanjatkan ternyata tidak termakbul. Mungkin ada sesuatu yang lebih baik Allah akan gantikan. Tangisan Thorique mengembalikan Qusyairah ke alam realiti. Qusyairah segera menyeka air matanya. Ahmad Rafiq juga turut sama menangis kerana gagal mempertahankan rumah tangga mereka.

“ Boleh saya pegang Thorique ?”

Qusyairah mengangguk lemah. Dia menyerahkan Thorique kepada Ahmad Rafiq. Sementara Irdina, 
Umar dan Harraz hanya menyaksikan adegan air mata antara Ahmad Rafiq dan Qusyairah. Ada sesuatu di dalam benar hati Harraz yang mengganggunya ketika itu. Dia langsung beredar ke luar mengambil angin malam.

Tidak lama kemudian, Harraz menerima panggilan daripada Malaysia.

“ Assalammualaikum anak ummi.”

“ Waalaikumsalam, Ummi. Ummi sihat ?”

“ Sihat. Alhamdulillah. Bila nak balik Malaysia ?”

“ Tak tahu lagi Ummi. Masih dalam proses penilaian. InsyaAllah bila dah selesai semua urusan, Harraz balik.”

“ Ya. Ummi rindu dekat Harraz. Adik-adik pun sama jugak. Lagipun, madrasah kita perlukan Harraz. Itu amanah arwah Abi.  Qusyairah dan anak dia apa khabar ?”

“ Alhamdulillah baik.”

“ Kamu masih jaga anak dia ?”

“ Masih.”

“ Ummi bukannya apa. Ummi dah serik dengar bualan orang. Macam mana orang jaja nama anak Ummi dulu. Pedih hati Ummi. Kamu pun dah kenal Qusyairah lama. Anak dia pun dah selesa dengan kamu. Kalau boleh, kamu nikahilah Qusyairah tu. Dia perlukan pelindung. Ummi tahu, kamu masih sayangkan Qusyairah.”

Sebenarnya sudah lama dia fikirkan tentang itu. Namun belum ada kekuatan untuk mengatakannya 
kepada Qusyairah. Qusyairah juga masih belum benar-benar melepaskan perasaannya terhadap Ahmad Rafiq. Sanggupkah Harraz tinggal dalam bayang-bayang seseorang sedangkan dirinya benar-benar mencintai Qusyairah ?

“ Harraz akan fikirkan lagi. Lagipun, Harraz masih kena tanggung Ummi dan adik-adik. InsyaAllah akan tiba juga waktunya.”

“ Baiklah. Ummi letak dulu. Nak urus adik-adik ni. Sampaikan salam Ummi kepada Qusyairah. Assalammualaikum.”

“ Waalaikumsalam.”

Harraz meletakkan panggilan. Dia kembali ke dalam kafe. Qusyairah masih lagi duduk bersama Ahmad Rafiq. Tetapi ada Irdina dan Umar bersama. Harraz melangkah menyertai mereka.

“ Pergi mana tadi ?” Tanya Umar.

“ Mak aku telefon tadi. Qusyairah, Ummi kirimsalam.”

“ Waalaikumsalam.”

Ahmad Rafiq masih cemburu tetapi salah dia sendiri kerana mensia-siakan Qusyairah. Dia berharap jika Harraz lah pilihan Qusyairah nanti, Harraz dapat menjaga Qusyairah dan Thorique dengan baik.

“ Semua dah ada dalam tu. Saya yang tolong Qusyairah kemaskan tadi. Kalau ada apa-apa minta tolong Harraz sebab dia dah biasa.” Ujar Irdina. Umar dari jauh memberi isyarat mata kerana ekspresi wajah Ahmad Rafiq mulai berubah. Namun Irdina masih berlagak biasa.

“ Baiklah. Terima kasih sekali lagi. Saya balik dulu. Assalammualaikum.” Ujar Ahmad Rafiq. Harraz dan Umar hanya mengikuti dari belakang. Irdina dan Qusyairah tidak lama kemudian pulang ke bilik sewa mereka masing-masing.



Di  kediaman Harraz, setelah menidurkan Thorique, Ahmad Rafiq mengajak Harraz berbual sebentar. Kali ini isi kandungannya lebih serius daripada pemintaan yang sudah terlaksana.

“ Harraz. Aku nak minta maaf.”
Harraz hairan. Tidak mengerti maksud Ahmad Rafiq.

“ Aku dah memisahkan dua jiwa yang saling mencintai. Aku tahu tindakan aku zalim dan ego. Kalaulah aku tak menikahi Qusyairah, pasti dia dah bahagia bersama kau.  Maafkan aku sekali lagi sebab dah merampas Qusyairah dari kau. ”

“ Tiada siapa yang merampas Qusyairah. Walaupun pada awalnya aku kecewa tetapi kenapa perlu aku kesalkan sesuatu yang bukan milik aku pun. ”

“ Tetapi kali ini aku harap kau dapat terima Qusyairah dan Thorique. Aku yakin yang kau boleh jaga mereka. Aku betul betul menyesal dengan apa yang aku dah lakukan. Antara kami, dah tiada kata kembali. Sekarang apa yang aku fikir, masing-masing kena teruskan kehidupan. Untuk memberikan kehidupan yang baik seperti janji aku kepada Qusyairah dahulu adalah mustahil. Jadi dengan ini, besar harapan aku untuk kau kembali kepada Qusyairah. Jadi ayah yang baik kepada Thorique.”
Suara rengekan Thorique kedengaran.

“ Aku tak paksa. Tapi aku harap kau fikirkan balik permintaan aku. Aku nak masuk tidur dulu. Anak aku dah menangis.”

“ Rafiq, aku tak boleh hidup dalam bayang-bayang kau. Qusyairah sebenarnya masih mencintai kau. Seperti yang kau cakap, antara kau dan Qusyairah tiada kata kembali. Tapi bagaimana jika ada ? Aku pasti Qusyairah akan menerima kau kembali.”
Ahmad Rafiq terdiam.

“ Tapi hal ini takkan merubah kasih sayang aku terhadap Thorique. Aku sayang Thorique bukan kerana Qusyairah.” Jujur Harraz mengatakannya.

“ Baiklah. Semoga Allah memberi petunjuk dan bantuan kepada kita untuk menyelesaikan semua kekusutan ini.”

Ahmad Rafiq beredar ke bilik sebelah. Dia membaringkan dirinya di sisi Thorique. Air mata penyesalannya mengalir lagi. Dahi Thorique dikucup lembut.

“ Anak papa. Mungkin suatu hari nanti Thorique tak akan kenal papa sebagai bapa Thorique. Papa redha. Tapi percayalah, papa sangat menyayangi Thorique. Maafkan papa sebab dah jadi kejam kepada mama dan Thorique. Papa tinggalkan Thorique bukan kerana Papa tak sayang. Salah papa juga sebab tak cukup percaya dengan mama. Mama Thorique adalah perempuan yang baik. Seorang yang taat dan menjaga agamanya. Cuma papa yang tak menghargai mama. Papa harap  Thorique jadi anak yang soleh. Jaga mama. Kalau Thorique ada papa baru nanti, Thorique kena hormat dia. Thorique mesti qowiy. Semoga Thorique menjadi insan yang bermanfaat kepada keluarga dan agama dunia dan akhirat. Papa sayang Thorique.”

Air matanya mengalir deras. Tanpa sedar, Harraz telah menyaksikan semuanya. Kasih yang tak kesampaian dari seorang bapa kepada anaknya. Adakah Harraz tegar membiarkan permintaan Ahmad Rafiq begitu sahaja. Sesungguhnya dia juga buntu. Namun, kepada siapa dia harus luahkan semua ?

“ Allah. Jika jiwa rasa kosong dan sesak, kembalilah kepada Allah. Kerana Dialah yang mengetahui segala isi hati.” Pesan Ummi masih lagi terngiang-ngiang. Sudah lama dia tidak bertahajud. Adakah apa yang berlaku di sekelingnya itu merupakan teguran daripada Allah ?

Lantas Harraz beredar membiarkan Ahmad Rafiq berdua bersama Thorique dan mengorak langkah untuk mengadu kepada Sang Pencipta.



 
 BAB LIMA


Fakultas Syariah, UIN Maulana Malik Ibrahim

Di hadapan ruangan SY 201 Qusyairah menanti penuh debar. Hari ini dia akan membentangkan tesis kajiannya. Dia sudah mencuba sehabis baik dan kini hanya berserah dan bertawakal kepada Allah.
Sementara itu Qusyairah melilau keadaan sekeliling. Dia mencari kelibat Harraz. Sudah dua minggu dia tidak bertemu dengan Harraz. Qusyairah juga tidak terfikir untuk menghubungi Harraz dan dia juga tidak menerima sebarang panggilan dan mesej daripada Harraz.

“ Ya Allah kenapa aku ni ? Penting sangat ke ?”
Qusyairah hairan kerana perasaannya berbaur-baur di luar kebiasaan. Adakah dia tidak betah tanpa Harraz ? Jiwanya berkecamuk. Seperti sedang berperang dengan ego dalamannya.

“ Astaghfirullahalazim.” Qusyairah meletakkan kedua-dua tapak tangannya pada wajahnya. Fikirannya runsing beberapa hari ini. Mungkin kerana terlalu banyak berfikir.

“ Qusyairah. Kau relaks je. Kau je yang overthinking. Fokus… Fokus..”
Qusyairah menyarung blazernya dan masuk ke dalam ruangan SY 201 setelah dipanggil masuk.

“ Allahumma Yassir Wa La Tuassir Rabbi Tamim Bil Khair,”
Qusyairah melangkah masuk dengan penuh debar. Senyuman ibuk Faridatus Syuhada menenangkannya. Selain itu, terdapat beberapa panel penilai yang lain bersama mereka di ruangan itu.

“ Qusyairah, sihat ?”

“ Iya buk.”

“ Ibuk kira kamu pulang sekalian ke Malaysia bersama Harraz ?”

“ Harraz pulang bu ?”

“ Iya, sempat pamit ke ibuk.”

Di dalam hati Qusyairah mempersoalkan. Mengapa Harraz tidak memberitahu kepadanya ?

“ Qusyairah, sudah siap ?”

“ Iya buk.”

“ Silakan dipresentasi skripsinya.”

Qusyairah mengembalikan fokusnya. Harapannya agar segera lulus dan dapat memulakan kehidupan baru setelah berjaya menamatkan pelajarannya. Namun kini, fikirannya masih sedikit terganggu dengan panggilan telefon daripada ibu dan bapanya. Dia benar-benar masih belum bersedia untuk berkomunikasi dengan mereka. Tidak cukup dengan hati yang terluka, dia masih terkesan kerana kata-kata bapanya.

" Mulai hari ni, kau carilah kehidupan kau sendiri. Keluarlah dari rumah ni. Dan kau bukan anak aku lagi."

Inilah yang sedang dia lakukan sekarang. Mencari kehidupan sendiri.




Irdina masih lagi tekun menyiapkan segala tugasannya. Hari ini dia tidak bertugas di hospital kerana keadaannya yang kurang sihat. Pada awalnya Irdina berdegil, namun dia hampir pitam akibat daripada tekanan darah rendahnya.

“ Assalammualaikum.” Qusyairah mengetuk pintu bilik Irdina. Thorique di bawa sekali.

“ Waalaikumsalam.” Balas Irdina sambil membuka pintu. Sesekali Irdina terbersin.

“ Dina. Ni aku ada masak bubur ayam. Kau makanlah ya. Tadi Umar minta tolong aku suruh tengok-tengokkan kau.”

“ Thanks Qusyairah. Thorique sayang. Sorry, Aunty Dina tak boleh nak dukung.” Pipi Thorique dicuit sahaja. Irdina tidak mahu menjangkitkan demamnya kepada Thorique.

“ Banyak kerja kau ?”

“ Biasalah. Report banyak kena buat. Ni pun aku tengah runsing ni. Balik je Malaysia nanti Abah aku suruh nikah terus dengan Umar. Aku dah lah tak ready apa-apa lagi.”

“ Wah. Alhamdulillah. Baguslah. Kahwin terus. Lagipun sejak third year Umar dah jumpa abah dan family kau kan ?”

“ Dah. Tapi tu lah kita orang risau gak dengar berita di Malaysia. Graduan Medik sekarang bersaing untuk dapatkan penempatan. Kalau kita orang menganggur, macam mana nak membina kehidupan ? Kita orang tak nak lah kalau kahwin nanti parents masih tanggung. Memang abah aku tak kisah. Parents Umar pun tak kisah, tapi kita orang yang rasa serba salah.”

“ Dina. Percaya dengan rezeki Allah. Lagipun jalan kau dan Umar dah dipermudahkan oleh Allah. Keluarga dah restu.” Tangan Irdina dipegang. Qusyairah tumpang gembira dengan berita yang dibawakan sahabatnya.

“ Tapi kau macam mana ? Aku tak boleh tinggalkan kau sendiri sementara aku seronok honeymoon.”

“ Tak apa Irdina. Aku okay je. Insya Allah aku boleh jalani kehidupan aku.”

“ Qusyairah. Kenapa kau tak nak terima je si Harraz ?”

“ Eh, kenapa kau tanya macam tu ?”

Irdina terdiam sahaja. Dia lupa yang Umar memintanya merahsiakan perkara itu.

“ Eh tak jadi lah.” Ujar Irdina sambil tersengih.

“ Irdina. Cakap.”

“ Aku memang tak boleh berahsia dengan kau. Kau ni cepat je tahu kan ?”

 “ Eh, kita kenal berapa lama ? Okay teruskan apa yang kau nak cakap.”

“ Harraz. Dia balik Malaysia sebab fikiran dia terganggu.”

“ Kenapa ?”

“ Sebab kau tolak dia hari tu ?”

“ Aku bukannya tolak dia. Aku rasa aku tak layak. Aku dah lukakan hati dia dan lepas tu mengharapkan dia kembali dalam kehidupan aku ?”

“ Tapi aku tengok dia ikhlas je dengan kau.”

“ Kau fikir senang ke hati kita ni nak ikhlas ? Tak semudah tu tau.”

“ Ke kau yang masih tak boleh lupakan Rafiq ?”

Qusyairah terdiam sekali lagi. Dia keliru dengan perasaan sendiri. Hendak kembali tiada jalan lagi, jika meneruskan kehidupan dengan Harraz, dia berasa paranoid. Semakin dia belajar di dalam bidang hukum keluarga, semakin itu dia dihadapkan dengan pelbagai realiti kehidupan dalam institusi keluarga. Tidak perlu mengambil contoh lain, apa yang berlaku kepada dirinya sudah cukup menjadikannya serik untuk hidup berdua. Ironi ? Cukup ironi.

“ Aku tahu masih ada sekelumit perasaan kau kepada Rafiq. Kau cuma tawar hati je Qusyairah tapi tak bermakna perasaan tu dah hilang. Aku, sebagai sahabat kau nak kau bahagia. Sudah sudahlah memandang masa lepas. Buang semua rajuk kau. Jangan sampai kau hilang orang yang sayang kau.”

“ Dina, kau tak faham…”

“ Apa yang tak faham. Aku kenal kau dah berapa lama ? Berhentilah pura pura kuat Qusyairah. Aku tahu kau sebenarnya pura-pura kuat sebab kau dah terbiasa berdikari. Beri peluang untuk orang terdekat dengan kau memanjakan kau. Beri peluang Harraz untuk melindungi kau. Ayat “ saya tak cukup baik untuk awak” dah cliché. Ni dah tahun 2017.”

“ Kenapa kau bebelkan aku ?”

“ Sebab kau degil Qusyairah. Sometimes kau ego.”

“ Aku tak nak Harraz menerima aku sebab belas kasihan.”

“ Mana kau tahu ? Kau ni tak percaya aku. Jap. Aku nak tunjukkan kau benda ni. Ya Allah. Maafkan aku sebab aku tak jaga amanah ni. Semoga Kau redha. Aku cuma nak betulkan hamba-hambaMu yang degil dan kepala batu ni.”

“ Apa doa macam tu Irdina.” Qusyairah ketawa. Perwatakan Irdina yang selamba membuatkan keadaan tidak tegang seperti mula-mula tadi.

“ Apa-apalah. Aku yakin Allah faham doa aku. Eh, sekejap.” Irdina mengeluarkan sebuah kotak kecil yang disimpan di dalam lacinya.

“ Kotak apa ni ?”

“ Kau bukalah.”
Qusyairah teragak-agak untuk membuka kotak tersebut. Ada sejumlah wang yang bercampur mata wang Indonesia dan juga Malaysia. Di sebalik kotak tersebut, ada sekeping kertas yang tertulis

“ BaitulMuslim 2017  Harraz dan Qusyairah. Semoga Allah permudah semua.”

“ Aku rasa aku tak perlu jelaskan benda ni. Aku yakin kau tahu untuk apa duit tu.”
Qusyairah terkedu. Dia kehilangan kata.

“ Masa dia tahu kau nak menikah, dia bagi aku kotak tu. Kenapa ? Sebab dia tak nak kotak tu mengingatkan dirinya tentang kau. Sebab duit tu dia simpan demi kau. Kau tahu tak dalam tu ada berapa ?”
Qusyairah menggeleng.

“ Campur tolak ada dalam RM 2500. Tiga tahun menabung. Jadi apa maksudnya ?”

“ Dina. Aku tak tahu nak buat apa. Aku blur.”

“ Sekarang, yang tahu apa yang terbaik untuk kau adalah diri kau sendiri. Dan yang menentukan apa yang terbaik untuk Thorique adalah kau. Dulu kau hanya fikirkan tentang diri kau sahaja. Tapi sekarang, kau kena fikirkan tentang anak kau. Aku rasa Harraz lah yang terbaik untuk menjadi ayah Thorique dan aku pasti Rafiq pun nakkan hal yang sama.”

“ Tapi aku rasa Umar lah yang sesuai untuk jadi ayah Thorique. Ke camne ?”

“ Eh, sengal kau ni. Aku hempuk kang pakai bantal. Tak boleh. Umar aku punya.”

“ So, cepatlah kahwin.”

“ Orang nasihat dia, dia pulak nasihat kita. Apa-apalah.”

“ Erm, kau tahu tak bila Harraz balik ?”

“ Tu aku tak pasti. Kenapa kau tak direct je call Harraz ?”

“ Aku tak ada urusan dengan dia.”

“ Ha, nanti tak pasal-pasal Harraz balik sini nanti dengan bini dia. Jangan menyesal sudah.”
Qusyairah mencemik. Manakala tangan Irdina masih menaip. Thorique pula seakan mengantuk dan Qusyairah meminta diri untuk pulang ke biliknya.



Tujuh Hari Kemudian…

“ Esok Harraz balik. Tapi berdua.” Ujar Umar. Hari ini Irdina membawa Umar dan Qusyairah ke Bangi Kopitiam sebagai ganjaran setelah melalui minggu peperiksaan.

“ Dengan siapa ?” Irdina ingin tahu.

“ Erm. Tak pasti.” Umar seperti menyembunyikan sesuatu.

“ Mak dia kot.” Teka Qusyairah. Dua hari yang lepas Qusyairah ada menghantar mesej kepada 
Harraz namun belum mendapat balasan. Mungkin Harraz sibuk.
Umar tidak menambah. Dia hanya tunduk.

“ You tak sihat ke Umar ?”

“ I okay je. Dah makan cepat. Lepas ni kita pergi MOG.” Dari nada suara Umar masih tergambar rasa serba salahnya. Apakah penyebabnya.

“ Umar. Kenapa ?” Qusyairah dapat mengagak.

“ Tak ada apa.”

“ Baiklah.




Malang Olympic Garden ( MOG )

Qusyairah melihat Umar seperti runsing. Tidak ceria seperti biasa. Begitu juga Irdina. Sepertinya ada sesuatu yang berlaku di luar pengetahuannya.

“ Apa masalah kau berdua ni ? Ada apa-apa ke yang sepatutnya aku kena tahu tapi aku tak tahu ?”

“ Harraz dah menikah, Qusyairah.”

“ Jadi ?”

“ Harraz dah menikah tapi kau ?”

“ Dah jodoh dia Irdina. Tak apa. Aku gembira dia dah jumpa jodoh yang terbaik untuk diri dia.”

“ Kau tak rasa kesal ke apa ?”

Qusyairah menggeleng. Dia senyum sahaja.

“ Eh, Umar, tolong dukung Thorique dulu, aku nak pergi tandas sekejap.”

Thorique yang tembam diserahkan kepada Umar. Irdina tidak betah mendukung Thorique lebih dari lima minit.

Sementara di bilik air, Qusyairah tidak dapat menahan air matanya daripada terus mengalir. Beberapa kali dia menyeka air matanya dan memujuk hatinya.

“ Kenapa aku perlu sedih.” Qusyairah bermonolog. Sementara beberapa pengunjung lain hairan melihat kelakuannya. Beberapa kali wajahnya dicuci supaya tidak kelihatan seperti baru menangis.

“ Mbak ?” Tisu dihulur oleh salah seorang pengunjung tandas awam.

“ Makasih.”

Lima minit kemudian, Qusyairah keluar daripada tandas dengan wajah yang pura-pura tenang. Umar dan Irdina juga berpura-pura tidak perasankan kemerahan setelah menangis pada wajah Qusyairah.

“ Nak pergi mana lagi selepas ni ?” Irdina bertanya.

“ Balik ?” Umar mencadang.

“ Jap. Teman aku pergi kedai CD dulu. Aku nak cari drama Korea.”

“ Eh sejak bila kau layan Korea ni ?”

“ Hari ni ? Jom.”

Irdina mengerti, sahabatnya sedang gundah. Dia dan Umar berasa serba salah kerana menipu 
Qusyairah. Bukannya apa. Qusyairah dan Harraz adalah manusia yang paling degil dalam muka bumi ini. Ego untuk mengakui perasaan sendiri. Sampai bila Irdina dan Umar harus menjadi pendengar luahan perasaan yang tidak terluah pada empunya badan ?





BAB ENAM


Qusyairah seperti biasa pada masa lapang dia akan mengemas biliknya. Setelah itu, dia akan menghabiskan masanya dengan membaca buku undang-undang di Malaysia. Memandangkan tidak lama lagi dia akan menamatkan pengajiannya, Qusyairah sudah mulai menghantar resume ke mana-mana agensi yang boleh menawarkan pekerjaan kepadanya di Malaysia. Tentang soal pekerjaan, Qusyairah tidak memilih. Asalkan dia dapat mempraktikkan keilmuan yang ada.

“ Eeeeeekkkkk.” Tiba-tiba Thorique menangis seperti kesakitan. Qusyairah panik. Tidak pernah Thorique menangis seperti itu. Qusyairah memeriksa anaknya yang menangis tiba-tiba. Irdina di bilik sebelah juga mendengar suara tangisan Thorique yang luar biasa.

“ Kenapa Thorique ni ?”

“ Aku tak tahu. Dia elok je atas katil tadi. Tiba-tiba menangis. Kau tolong check dia.”

“ Mungkin masuk angin atau sembelit. Kau ada bagi makan solid food tak ?”

“ Tak ada.”

Irdina mengendong Thorique dan menterbalikkan Thorique. “ Dia ada muntah-muntah tak ?”
Qusyairah masih menggeleng.
Irdina memeriksa suhu badan Thorique. Normal sahaja.

“ Sekarang kau mandikan Thorique dan susukan dia. Aku ingat dulu masa adik aku nangis. Macam ni lah mak aku buat. Aku siap dulu, lepas ni kita pergi hospital. Risau pulak aku tengok. Takut ada sakit di dalam. Aku order grab car.”
Irdina bersiap-siap dahulu. Dia mengenakan blaus maksi dan instant shawl berwarna sama. Setelah itu, Irdina membantu Qusyairah menyiapkan Thorique yang masih lagi menangis walaupun sudah disusukan. Dalam masa yang sama Irdina menghubungi Harraz.

“ Harraz…”

Telefon bimbit Irdina dirampas oleh Qusyairah. Panggilan dimatikan. Irdina hairan dengan kelakuan Qusyairah.

“ Kenapa kau rampas ?”

“ Tak perlu minta tolong dia. Tak perlu cakap kat dia. Ni anak aku. Bukan anak dia. Dia dah ada kehidupan sendiri.”

“ Tapi  Qusyairah. Harraz yang selama ini jaga Thorique. Harraz pun dah dianggap seperti ayah Thorique. Tak salah kan ?”

“ Apa kata isteri dia nanti. Korang kan cakap dia dah menikah. Sekarang ni pun dia ada di Malang dengan isteri dia.”
Irdina tiba-tiba teringat dengan rancangan dan pakatannya bersama Umar semalam sewaktu di MOG. Ternyata Qusyairah benar-benar terkesan dengan berita pernikahan Harraz.

“ Sorry Qusyairah. Aku dah text Umar. For sure, kalau benda berkaitan dengan Thorique dan kau, Umar mesti akan beritahu Harraz. Dah kau pergi bersiap. 10 minit lagi Grab Car sampai.”
Qusyairah menurut sahaja. Ada benar kata Irdina. Tapi bagaimana utnuk dia menghadapi Harraz nanti ?



Instalasi Gawat Darurat
Rumah Sakit Universitas Muhammadiyah Malang

Irdina masih setia menemani Qusyairah yang menunggu giliran mendapatkan rawatan untuk Thorique. Sedari tadi Thorique tidak berhenti menangis. Telefon bimbit Qusyairah yang berdering tidak disambut.

“ Meh sini handphone kau. Kenapa lah tak angkat call ? Kot-kot benda penting.”
Qusyairah membiarkan sahaja. Baginya Thorique adalah keutamaannya sekarang. Irdina mengambil telefon bimbit Qusyairah dan menjawab panggilan tersebut.

“ Assalammualaikum Kakak…” suara tangisan di talian.

“ Waalaikumsalam. Saya Irdina kawan Qusyairah. Boleh tahu ni siapa ?”

“ Kak Irdina. Ni Qusyairi. Adik Kak Qusyairah. Kakak mana ?”

“ Thorique masuk hospital. Jadi Qusyairah masih sibuk uruskan Thorique. Kenapa ya ?”

“ Abah.. Abah dah tak ada.”

“ Innalillahiwainnalillahiwailaihirajiun. Bila dik ?”

 “ Pagi tadi. Kakak boleh bagi telefon dekat Kak Qusyairah ?”

“ Sekejap ya dik.”
Irdina serba salah untuk memberitahu Qusyairah berita kematian bapanya.

“ Qusyairah. Adik kau nak cakap.”

“ Tak nak. Aku tak ada urusan apa-apa dengan dorang.”

“ Qusyairah. Tolong sekali ni. Cakap dengan adik kau.”

“ Jangan paksa aku boleh ?”

“ Qusyairah.” Suara Irdina naik dua oktaf. Semua staf yang bertugas memandang. Irdina sudah hilang sabar. Maka secepatnya dia beredar ke luar dan membiarkan Qusyairah sendiri bersama Thorique. Air mata Irdina mengalir. Dia sedih melihat perubahan sikap sahabatnya yang dahulu dikenali sebagai seorang yang lembut hati dan sentiasa berlapang dada.

Dari jauh Umar datang bersama Harraz dan seorang wanita yang berusia sebaya.  Mereka mendekati Irdina yang sedang duduk sambil menundukkan kepalanya di tempat duduk penunggu.
 
“ Thorique mana ?” Tanya Harraz.

“ Ada di dalam.”

Harraz segera masuk ke dalam ruangan Instalasi Gawat Darurat meninggalkan Umar, Irdina dan Maisarah.

“ Kak Mai. Sorry. Dina baru perasan. Kenapa datang Malang tak cakap ?” Irdina memeluk kasih Maisarah. Sudah lama dia tidak bertemu Maisarah, naqibah usrahnya semasa dia belajar di asasi UIA di Gambang dahulu.

“ Saja surprise.”

“ Kenal ke ?”

“ Apa tak kenal nya ? Anak usrah akak. Umar ni adik susuan akak.”

“ Tak pernah cakap pun.  Kenapa datang Malang kak ?”

  Umar tak cakap apa-apa ke ?”

“ Kak Mai datang pun Dina tak tahu.”

“ Jom masuk dalam dulu, kak Mai nak jumpa Qusyairah.”

“ Kak Mai masuklah dulu. Dina tunggu luar.”
Maisarah mengikuti langkah Harraz. Sementara Umar menunggu di luar bersama Irdina.

“ Kenapa you nangis ?”

“ Tak ada apa.”

“ You tak boleh tipu I. Sebelum I lupa. Ayah Qusyairah baru meninggal pagi tadi. Tak tahulah dia tahu ke tak.”

“ Belum. Dia tak tahu lagi.”

“ You dah tahu ?”

Irdina tidak dapat menjawab. Dia mendahulukan tangisannya. Masih kecewa dengan sikap sahabatnya.

“ Adik dia call tadi nak cakap dengan dia. Tapi dia tak nak. I geram sebab dia masih lagi nak simpan dendam dia. Rafiq dah bersihkan nama dia kan. Keluarga dia pun dah nak terima dia balik. Minta maaf. Di mana ketinggian darjat seorang ayah jika ayahnya sendiri kalah dengan ego seorang anak yang tinggi menggunung ? I tak sangka Qusyairah macam tu, Umar.”

“ You tahu kan, dia ditimpa banyak masalah. Kita kena faham Dina. You sebagai sahabat yang ada bersama dia, you kena menerima lebih dan kurang sahabat you. Kadang-kadang kita dah rasa kita cukup kenal sahabat kita tapi sebenarnya tak. I tak salahkan you jugak. You pun nakkan yang terbaik untuk sahabat you kan. So, it’s better to refresh yourself. Zohor pun dah masuk. Jom kita solat kat masjid depan.”

Irdina hanya mengikut langkah Umar. Tiba-tiba dia teringatkan Maisarah.

“ Apa yang you sembunyikan lagi daripada I tentang Kak Mai ?”
Umar menghentikan langkahnya.

“ Kita solat dulu ya. Nanti Maisarah sendiri yang akan cakap.”

“ Okay.” Malas Irdina mahu menyoal lagi. Sekarang dia mahu menenangkan dirinya. Begitu jauh fikirannya menghukum Qusyairah. Kepada Qusyairahlah dia berhutang pahala nanti.


Sementara itu, Qusyairah sedikit kekok apabila berdiri bersama Maisarah dan Harraz. Demi anaknya, Thorique dia bertahan semampunya. Selesai sahaja sesi rawatan Thorique, Qusyairah akan segera beredar. Tidak sanggup rasanya untuk melihat mata Harraz dan Maisarah bertentang. Cemburu ? Pasti ada.

“ Boleh saya pegang anak Qusyairah ?” Maisarah meminta izin.

“ Boleh.”

“ Semangatnya budak ni. Doktor cakap apa tadi ?”

“ Normal. Mungkin dia terkejut sahaja.”

“ Qusyairah, awak okay ?”

“ Okay ? Awak datang dengan isteri awak dan bermesra depan saya. Lepas tu awak tanya saya okay ke tak ?” Kata-kata itu hanya tersimpan dalam hati. Tidak tegar dia menghamburkan kemarahannya di hadapan seorang wanita yang baik budi pekerti. Maisarah dan Harraz kedua-duanya tiada salah kepadanya.

“ Okay.”

“ Takziah.”

“ Takziah kenapa ?” Qusyairah hairan.

“ Awak tak tahu ?”

“ Tahu pasal apa ?”

“ Ayah awak baru meninggal pagi tadi.”

“ Harraz, awak cakap apa ni ?” Bergetar suara Qusyairah. Masih lagi ingin menafikan.

“ Ya. Ayah awak meninggal pagi tadi. Saya fikir awak dah tahu.”

“ Saya tak tahu. Patutlah Qusyairi call saya berkali-kali dari pagi tadi.”
Maisarah yang melihat Qusyairah seperti tidak stabil cepat-cepat berada di samping Qusyairah. Dia mengurut belakang Qusyairah. Thorique diserahkan kepada Harraz.

“ Saya bawa Thorique keluar dulu ya.” Ujar Harraz.
Qusyairah tidak mampu mengungkapkan perasaannya. Selepas satu musibah menimpanya, ada lagi bencana yang datang. Tiba-tiba dia teringat kata-kata Irdina dua hari yang lepas.

“ Jangan sampai orang yang betul-betul sayangkan kau pergi meninggalkan kau .”
Tangisan Qusyairah bertambah deras. Dia kesal dengan keegoannya.

“ Anak jenis apa kita ni Qusyairah kalau ibu bapa sendiri yang kena melutut nak minta maaf dengan kita ? Memang mereka salah. Tapi kau tahu kan mereka dah minta maaf malah sedar kesilapan mereka. Kau masih berkeras. Di mana darjat kemuliaan ibu bapa ?”

“ Dalam hal ni aku dah dibuang keluarga tau, Irdina. Aku bukan saja-saja bawa perasaan tawar hati ni.

“ Qusyairah. Ingatlah yang memaafkan itu lebih mulia. Aku tahu aku tak lalui perkara tu, tapi takkan tak ada sekelumit kemaafan yang berbaki untuk ibu bapa kau ? Kalau Rafiq semudah tu kau maafkan, kenapa tak ibu dan bapa kau. Aku kesian tau dengan ayah kau, mak kau.”

Telefonnya berdering. Kali ini panggilan yang diterima adalah daripada Fikri. Qusyairah segera mengangkat panggilan tersebut.

“ Qusyairah. Abang dah beli tiket untuk Qusyairah dan Thorique petang ni. Nanti malam abang dan kakak jemput di KLIA 2.”

“ Ya. Terima kasih.”

Qusyairah dan Maisarah berjalan beriringan keluar daripada hospital menuju ke masjid. Thorique dititipkan kepada Irdina dan Umar yang sudah selesai solat.

“ Semoga arwah bapa Qusyairah ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman.” Pujuk Maisarah. Irdina menyertai mereka. Dia juga turut sama memeluk Qusyairah. Kemarahan yang dia rasakan tadi telah menghilang.

“ Sorry Qusyairah aku tinggikan suara tadi.”

“ Aku pun nak minta maaf sebab tak dengar cakap kau. Dah aku nak solat dulu.”
Sedang Maisarah dan Qusyairah menunaikan solat, Irdina hanya duduk di suatu sudut. Thorique disusukan dengan susu perahan. Thorique kini lebih tenang. Si kecil itu seperti tahu yang ibunya sudah kehilangan bapa.

“ Irdina. Irdina.” Harraz memanggil.

“ Apa ?”

“ Sini sekejap.”

Irdina menurut. Di luar Harraz dan Umar sudah menunggu.

“ Kenapa ?”

“ Tadi Dina tanyakan, kenapa bawa Maisarah ke sini ?” Harraz bertanya.

“ Ya. Kenapa ?” Irdina ingin tahu.

“ Maisarah sebenarnya,...” Umar menyambung.
Maisarah dan Qusyairah muncul menyertai mereka. Umar tidak sempat menghabiskan ayatnya.

“ Lepas ni kita nak pergi mana ?”

“ Kak Mai dah jalan pergi mana sahaja ?”

“ Belum jalan lagi.”

“ Kalau macam tu, kau dengan Irdina bawa Maisarah pergi jalan-jalan. Aku akan teman Qusyairah untuk ke airport lepas ni.”

“ Tak payahlah. Saya boleh gerak sendiri. Awak ikut Umar, Irdina dan Maisarah.”

“ Okay. Saya ikut awak.” Harraz berdegil. Qusyairah malas melayan.  Umar membawa mereka singgah sebentar di kediaman Irdina dan Qusyairah. Setelah itu, Umar terus menghantar Qusyairah, Harraz dan Thorique ke stesen keretapi.

“ Terima kasih Umar.” Ucap Insyirah.

“ Kau balik bila Harraz ?”

“ Aku ke Malaysia sekali. Abang Fikri suruh ikut sekali. Tadi dia call.”

“ Kau biar betul ?” Tanya Umar seperti tidak percaya.

“ Macam mana Kak Mai ni ?”

“ Eh tak apa. Saya okay je. Hati-hati di jalan. Apa-apa jangan lupa inform kami di sini. Qusyairah. Maaf kita tak sempat berborak lama. Semoga nanti suatu hari kita berkesempatan untuk borak-borak.”

Qusyairah membalas pelukan Maisarah. Dia berasa geram dengan Harraz kerana tegar meninggalkan Maisarah sendirian di Malang. Meskipun Umar dan Irdina ada untuk bersama Maisarah, tetapi sebagai suami, Harraz sudah melukakan hati Maisarah.

“ Kenapa awak ikut saya ? Kenapa awak tinggalkan Maisarah sendiri ?”

“ Abang Fikri yang minta saya ikut awak. Sebab risau awak berdua je dengan Thorique.”

“ Tapi awak tak terfikir ke apa perasaan Maisarah awak ikut saya ?”

“ Okay je saya tengok. Irdina ada. Umar pun ada. Kenapa ?”

“ Malas nak cakap dengan orang macam awak.”
Harraz membiarkan sahaja Qusyairah menghamburkan kemarahannya. Dia tahu yang emosi Qusyairah kurang stabil.

“ Awak rehatlah dulu. Biar saya yang pegang Thorique.”
Qusyairah berhati-hati. Sengaja Harraz tidak memesan tempat duduk berdua dengan Qusyairah kerana masing-masing tidak selesa duduk dalam jarak yang dekat. Kebetulan, Qusyairah duduk bersama seorang wanita yang berusia separuh abad.

“ Anaknya imut sekali. Siapa namanya ?”

“ Thorique bu.” Jawab Qusyairah penuh hormat.

“ Kayaknya anak itu lebih akrab sama ayahnya.” Wanita tersebut memberikan pandangan jujur. Suka melihat layanan Harraz kepada Thorique. Thorique juga kelihatan riang.

Qusyairah hanya tersenyum. Betapa dia mengharapkan seperti itu, namun Harraz sudah menjadi milik orang. Salah Qusyairah juga. Saat Harraz benar-benar ikhlas, Qusyairah menyatakan alasan. Layakkah dia untuk berduka di atas perbuatannya sendiri ?

“ Saya dah fikir dan saya dah minta petunjuk Allah. Insya Allah keputusan yang saya ambil ni, betul.”

“ Apa awak cakap ni Harraz ?”

Harraz berjeda. Mengumpul kekuatan.

“ Setelah selesai semuanya, balik sahaja kita di Malaysia, saya nak ambil awak jadi isteri saya yang sah. Dan kita akan mulakan hidup baru.” Laju-laju Harraz menundukkan pandangannya. Sebagai seorang lelaki, dia juga mempunyai rasa gugup itu.

Qusyairah terkesima.  Namun hatinya berbagi tetapi laju sahaja lisannya menutur balas.

“ Tak. Maaf Harraz, saya tak boleh terima awak.”

“ Awak pasti ? Kenapa Qusyairah ?”

“ Saya hanya tak boleh terima. Saya suka dengan awak Harraz. Saya hargai semua kebaikan dan pengorbanan awak tapi, saya….”

“ Saya tak minta peluang kedua Qusyairah. Saya cuma minta satu sahaja peluang. Saya tak boleh berjanji apa-apa yang lain tapi saya hanya mampu berdoa agar saya diberi kesempatan dan kudrat untuk menghargai awak dan Thorique.”

“ Maaf Harraz. Saya tak boleh. Awak layak mendapatkan seorang perempuan yang bersih, baik dan sesuai dengan awak. Saya tak boleh memberi kebahagian kepada awak.”

“ Saya tak minta tu Qusyairah. Saya cuma nak menjadi Harraz, kepada awak dan Thorique. Pelindung kepada awak. Saya tahu. Awak masih sayangkan Rafiq. Tapi saya tunggu. Saya akan tunggu saat hati awak boleh terima saya sepenuhnya.”

“ Jangan seksa diri awak Harraz.”

“ Awak yang jangan seksa diri sendiri, Qusyairah. Saya akur seandainya awak tak pilih saya. Tapi beri peluang dan buka ruang hati awak untuk menerima orang lain. Sebab apa, kita takkan dapat hidup seorang. Thorique perlukan seorang ayah. Saya rela untuk menerima Thorique dengan sepenuh hati. Saya akui, saya tak boleh berjauhan dari Thorique. Tapi takkan saya berhubungan dengan awak tanpa ada ikatan yang sah ?”

“ Harraz. Bagi saya, biarlah hubungan kita ni terbatas sebagai seorang kawan. Saya tak halang awak untuk dekat dengan Thorique. Malah, selepas ni awak menjauh pun saya faham. Maaf sangat-sangat. Saya tak dapat terima awak. Erm, saya masuk dulu. Assalammualaikum.”

Sejak daripada itu, Harraz tidak lagi menghubungi Qusyairah dan ternyata menurut Irdina, Harraz pulang ke Malaysia kerana kecewa. Selain itu, dia juga pulang kerana menguruskan madrasah milik arwah bapanya.

“ Mbak..mbak..”

“ Maaf bu. Ibu nanya apa tadi ?”

“ Lagi kuliah ta ?”

“ Iya bu di UIN Malang.”

“ Anaknya nanti pasti pintar soalnya mama sama ayahnya sedang kuliah.”
Qusyairah hanya tersenyum sahaja. Perit tetapi demi menghormati wanita itu, dia mengiyakan sahaja.

“ Setelah ini ke mana ?”

“ Mau ke bandara bu.”

“ Kamu bukan asal sini ?”

“ Saya Malaysia.”

“ Iye Malaysie..” Wanita tadi bertukar loghat. Qusyairah yang mengantuk terus segar kerana wanita tadi banyak berkongsi cerita dengannya. Sesekali Qusyairah melihat Harraz dan Thorique. Thorique sudah lena di dada Harraz dan tangan Harraz terletak elok memeluk Thorique.

“ Nah, kamu beruntung punya suami yang benar-benar sayang sama anak kamu. Sekarang ini sulit 
 untuk ketemu laki-laki yang mau bertanggungjawab. Ini ibu ke Surabaya untuk ngurusin fasakh anak ibu di peradilan negeri.”

“ Terus gi mana bu ?”

“ Masih di dalam proses. Semoga nanti cepat selesai.”

“ Ya bu. Amin Ya Rabbal Alamin.”

“ Kamu pulang ke Malaysie, libur ta ?”

“ Ga. Pulang mendadak. Bapa saya wafat pagi tadi bu.”

“Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un. Semoga tabah ya. Jauh-jauh kuliah, pulang ke Malaysie bapanya malah wafat. Mesti bapa kamu itu bangga punya anak seperti kamu. Pintar, punya suami sholeh, sudah punya anak.”

“Tapi saya belum sempat berbakti untuk bapa saya bu.” Tidak semena-mena air mata Qusyairah 
mengalir.Tersentuh dengan kata-kata wanita tadi.

“ Amal shalih seorang anak itulah yang menjamin kesejahteraan seorang bapa di alam sana. Teruskan berdoa. Yang pasti kehidupan di sana lebih baik jika dibandingkan dengan kehidupan kita di sini.”

Spontan wanita tadi memeluk Qusyairah. Qusyairah sangat merindui pelukan hangat ibunya. Dia bertekad selepas ini pulang sahaja ke Malaysia, dia ingin melupakan segala sengketa meskipun ia berbekas, segala yang lepas itu harus diikhlaskan. Untuk kehilangan sekali lagi dia tidak sanggup.




Lapangan Terbang Antarabangsa, Juanda, Surabaya


Setelah selesai menjalani pemeriksaan imigresen, Harraz dan Qusyairah menunaikan solat Asar dahulu di surau balai perlepasan. Mereka bergilir-gilir kerana tiada siapa yang menjaga Thorique. Kemudian, mereka berehat dahulu. Harraz menghulurkan bungkusan Sari Roti Keju kepada Qusyairah dan air mineral yang sempat dibeli sebaik sahaja melalui pemeriksaan imigresen.

“ Dari tadi awak tak makan. Kita nak jalan jauh ni. Makanlah.”

“ Terima kasih.” Qusyairah tidak menjawab panjang. Thorique dibaringkan di atas sejadah. Hanya mereka berdua sahaja di dalam ruangan surau itu.

“ Irdina, Umar dan Maisarah kirim salam. Mereka jalan-jalan di Selecta tadi.”
“ Waalaikumsalam.”

“ Nak lagi roti ? Saya ada.”

Qusyairah menggeleng.

“ Bukan main lagi awak bercerita dengan ibuk tu ?”

“ Eh bukan ke awak tidur ?”

“ Saya sedar. Tapi saja tutup mata.”

“ Awak dengarlah apa yang ibuk tu cakap ?”
Harraz selamba mengangguk. Qusyairah menjadi segan.

“ Macam mana ujian hari tu ?”

“ Okay.”

“ Okay je ?”

“ Ya okay. Harraz yang pasal hari tu saya nak minta maaf. Saya tahu saya salah dan kejam.”

“ Memang. Awak memang salah. Awak kejam sebab awak buat saya semakin sayang kepada awak. Cia..cia..cia.. ”

 “ Harraz. Awak jangan main-main. Kalau dulu awak cakap macam ni, saya tak kisah tapi sekarang, awak dah jadi suami orang.”

Harraz ketawa sehingga berair mata apabila mendengar bicara Qusyairah. Dia tahu ni mesti kerja Umar dan Irdina.

“ Macam mana awak begitu pasti yang saya dah kahwin ?”

“ Maisarah tu siapa ?”

“ Ya Allah. Maisarah tu bukan isteri saya.”

“ Awak jangan cakap macam tu Harraz. Lafaz kinayah pun boleh jatuh talak.”

“ Awak ni kalau boleh satu buku Munakahat tu awak syarahkan saya. Maisarah tu bukan isteri saya.”
“ Habis kenapa awak datang berdua dengan dia ?”

“ Salah ke ? Bukannya kami duduk sama. Ke awak jealous ?” Sengaja Harraz mengusik.

“ Harraz. Saya tak main-main.”

“ Saya pun tak main-main cintakan awak.”

“ Harraz.”

“ Okay. Umar dan Irdina tu saje je kenakan awak. Awak terus percaya. Manalah sempat dua minggu balik terus kahwin. Nak kena kursus lagi. Nak kena ajukan permohonan lagi ke pejabat agama. Lainlah kalau saya tak balik satu semester.”

“ Jadi awak balik Malaysia kenapa ?”

“ Saya urus madrasah arwah abah saya. Saya pun sempat jumpa arwah ayah awak. Mak awak rindu betul dengan awak. Qusyairi kirim salam.”

“ Waalaikumsalam.”

“ Banyak benda yang saya fikirkan balik hari tu. Saya tahu ni bukan masa yang sesuai untuk saya cakap benda ni. Tapi, kita tak tahu hayat manusia sampai bila. Kita sama-samalah jumpa Imran. Dia masih sakit. Dia nak sangat minta maaf kat awak.”

“ InsyaAllah tapi saya tak ada kekuatan nak jumpa dia. Apa yang dia buat tu terlalu besar.”

“ Kita manusia, Qusyairah. Tak terlepas daripada melakukan dosa. Kita yang maafkan orang ni nanti akan mendapat rahmat daripada Allah sebab memudahkan perjalanan dia. Sedih saya tengok Imran tu jadi macam tu.”

“ Saya pun tak sangka boleh jadi macam tu.”

“ Awak pernah janji apa-apa kat dia ?”

“ Tak pernah, Harraz.”

“ Tapi takkan dia menjadi terlalu nekad sampai macam tu, Qusyairah. Mesti ada sesuatu yang awak tak sedar sampai terberi harapan kat dia.”

“ Tak tahulah Harraz. Kenal dia pun tak sangat.”

“ Apa-apalah. Semoga benda ni jadi pengajaran. Berhati-hati dengan apa yang kita lakukan. Sama-sama tegur kalau ada buat salah. Kita semua nak jadi baik kan ?”

Qusyairah mengangguk. Dia masih terfikir sesuatu. Namun tak mungkin gara-gara itu, Imran menjadi terlalu berdendam.



Tiga tahun yang lepas…
Facebook Messenger

Imran Azman : Assalammualaikum Ukhti. Bolehkah Ana memulakan ta’ruf ? Ana sudah lama berkenan dengan Ukhti. Tak tertahan menanggung rindu pada yang tak halal.

Qusyairah Salleh : Waalaikumsalam. Silakan Akhi.

Teruja apabila seorang ikhwah tertarik kepadanya.

Imran Azman : Ukhti asal mana ?

Perbualan mereka pun berlarutan. Qusyairah seronok kerana keperluan nalurinya sudah terpenuhi. Selama ini dia tidak bebas untuk berbicara dengan para muslimeen. Sehingga suatu hari,

Imran Azman : Saya betul-betul nak jadikan awak sebagai isteri saya.

Qusyairah Salleh : Kalau macam tu, jumpalah Mak Ayah.

Sengaja Qusyairah menguji Imran. Dan, akhirnya Imran benar-benar serius sehingga membawa 
cincin tanda. Namun Qusyairah menolak mentah-mentah dan menyekat akses Imran di semua akaun media sosial Whatsapp, Facebook, Twitter dan Instagram.

Qusyairah kesal. Kesal kerana sikapnya dahulu. Meskipun elok penampilan luarannya sehingga disegani dan disanjung sebagai wanita solehah, tetapi hatinya masih liar mencari ajnabi. Mempermainkan perasaan orang lain. Kini dia sudah mendapatkan balasan dari kebodohan masa lalunya. Namun Allah masih menyembunyikan aib-aibnya.

Hingga dia mempunyai kesedaran dan mengenali Harraz. Qusyairah nekad untuk berubah bukan kerana Harraz tetapi kerana dia benar-benar disentuh hidayah. Dia mentajdid niatnya. Untuk apa dia datang ke sini jika sekadar main-main ?

“ Qusyairah. Jom masuk. Dah ada pengumuman.”

“ Saya nak duduk tepi tingkap.”

Harraz mengangguk. Tempat duduk mereka sudah diselaraskan. Afina sengaja menyusun tempat duduk mereka sebaris supaya Harraz dapat membantu Qusyairah untuk menjaga Thorique yang kini semakin aktif.

“ Ya Allah. Aku dah banyak buat dosa. Tapi aku bongkak seperti aku tak buat dosa. Ya Allah, terima kasih kerana dah sembunyikan aib-aibku Ya Allah. Aku ingin menjadi seorang muslimah yang baik selepas ini. Kau berikanlah kesempatan taubat kepada ku, Ya Allah.”

Air mata Qusyairah menitis tanpa diseka. Tak layak rasanya untuk menghapus air mata dosa. Biarlah ianya terus mengalir seperti turunnya hujan gerimis sore di Surabaya.



BAB TUJUH


Qusyairah memeluk kasih ibunya sebaik sahaja sampai di rumah. Seisi keluarga menyaksikan adegan jejak kasih yang menyayat hati. Qusyairi, adik lelaki Qusyairah juga memeluk kakaknya. Selama tujuh bulan tidak berbalas khabar, hari ini mereka saling melunas rindu.

“ Kak Long minta maaf Mak. Kak Long dah sia-siakan Mak, Abah dan Adik.”

“ Mak pun nak minta maaf bagi pihak arwah abah. Tak sepatutnya kami buang Kak Long macam tu.”

“ Dosa Kak Long lebih besar. Kak Long dah abaikan abah dan mak dan tak sempat minta maaf dengan abah. Kak Long rasa berdosa sangat.”

Afina dan Fikri hanya memerhati dari jauh. Ramai tetamu yang hadir untuk bersama-sama memberi sokongan kepada keluarga Qusyairah yang baru kehilangan abahnya. Ibu Harraz juga ada bersama. Fikri yang membawa Ibu Harraz dan adiknya. Jarak rumah mereka hanyalah 25 minit.

“ Dah masuk dulu ya. Fikri, Afina. Terima kasih sebab bantu bawa balik anak dan cucu makcik. Harraz. Terima kasih sebab tolong jaga Qusyairah di sana. Makcik tak tahulah kalau apa yang jadi kalau kamu tak ada.”

“ Dah tanggungjawab kami, makcik. Qusyairah pun saya anggap seperti adik saya sendiri.” Ujar Afina.

Fikri dan Harraz membantu membawa bagasi Qusyirah dan Thorique ke dalam rumah. Setelah itu mereka menyertai tetamu yang ada untuk solat berjemaah Isya. Harraz telah diminta untuk mengetuai solat berjemaah.

Qusyairah yang berhalangan hanya duduk di dalam bilik abah dan maknya. Perlahan-lahan Qusyairah merebahkan dirinya di atas katil abahnya. Kain pelikat bersih arwah abahnya dipeluk dan digunakan untuk mengelap air matanya.

“ Abah. Kak Long minta maaf abah sebab tak dapat jadi anak yang baik. Kak Long tak sempat jumpa abah. Kak Long rindu Abah.”

Satu persatu kenangan bersama arwah abahnya bermain diingatan.

“ Abahlah abah yang terbaik untuk Kak Long. Kak Long tahu Kak Long buat abah kecewa. Kak Long….,”

Qusyairah tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia tenggelam di dalam tangisnya. Masih terasa pelukan abahnya sewaktu pernikahannya dengan Ahmad Rafiq setahun yang lepas. Masih jelas lafaz sakinah di telinganya.

“Adalah saya Mohd Saleh bin Rosli, wali kepada nama pengantin perempuan dari saat ini menyerahkan tanggungjawab nafkah, perlindungan, keselamatan, kasih sayang dan tanggungjawab agama Islam kepada kamu Ahmad Rafiq bin Ahmad Syukri sebagai suami yang sah. Semoga diberkati oleh Allah s.w.t ke atas kamu dan orang yang di bawah tanggungan kamu serta zuriat keturunan kamu. Amin..”

Dahinya dikucup penuh kasih oleh bapanya. Seorang bapa jarang menunjukkan perasaannya kepada anak-anaknya. Namun pada hari pernikahan Qusyairah, air mata bapanya juga turut mengalir.

“ Jadi isteri solehah ya, Kak Long. Jaga maruah suami. Jauhi fitnah. Kak Long dah jadi isteri orang. Kak Long bukan tanggungjawab abah lagi dah. Tapi abah sentiasa ada kalau Kak Long perlu. Maafkan abah sepanjang Kak Long dalam jagaan abah, abah tak berikan yang terbaik untuk Kak Long. Abah sayang Kak Long. Walaupun suatu hari nanti abah dah tak ada, abah tetap sayang Kak Long. Kalau ya pun abah marah, marah tu sekejap sahaja.”

Qusyairah masih terbaring mengiring. Air matanya dibiar sahaja. Lama dia termenung. Tudungnya masih belum dilepaskan. Wajahnya kemudian ditutup dengan menggunakan kain pelikat arwah abahnya.

“ Kak long. Makan ya. Kak Long belum makan sejak sampai tadi.” Uajr Qusyairi yang memujuk. Tidak sampai hati dia melihat kakaknya terus begitu.

“ Kak Long kena makan. Kesian Thorique. Dia perlukan susu.” Qusyairi menambah. Tidak putus asa dia memujuk kakaknya.

Tidak masuk ke dalam bilik namun hanya berdiri di hadapan langsir, Harraz memanggil Qusyairi.

“ Qusyairi, ada susu Thorique dalam beg ni. Biarlah Qusyairah berehat dulu. Abang bawa Thorique balik rumah ya. Abang dah cakap kat mak Qusyairi tadi.”

“ Baik bang. Hati-hati di jalan.” Qusyairi berjabat tangan dengan Harraz.
Thorique yang akrab dengan Harraz berasa selesa apabila dijaga oleh Harraz. Meskipun masih bayi dan tidak tahu apa-apa, apabila bersama Harraz, keadaan Thorique lebih tenang.

“ Saya balik dulu. Esok saya bawa Thorique datang.”

“ Kenapa tak tidur sini sahaja, Harraz ? Tidur di bilik Qusyairi. Budak tu masih lagi kena susu badan.”

“ Tak apalah. Rumah saya pun dekat je makcik. Lagipun tak elok kalau saya bermalam di rumah ni. Terima kasih ya, makcik. Tentang Thoriue, jangan risau sebab Qusyairah dah letak semua dalam beg susu dan pakaian. Saya boleh tolong jagakan nanti.”

“ Yalah. Terima kasih Harraz sebab sudi bantu. Kamu pun tahu, Qusyairah masih terkejut lagi dengan pemergian arwah abah dia. Ustazah Mashitah, terima kasih ya sebab sudi datang. Saya pulak rasa malu dengan kehadiran ustazah sekeluarga. Dulu saya…,”

“ Yang lepas biar lepas lah Kak Azah. Ini pun tanggungjawab kita sesama islam. Saya harap kak Azah kuat. Kita sama-sama dah merasai kehilangan. InsyaAllah kalau Kak Azah perlu teman untuk bercakap, saya ada.” Ustazah Mashitah ibu kepada Harraz memeluk ibu kepada Qusyairah, Puan Norazah.

“ Kami balik dulu ya.” Fikri meminta diri. Afina sempat masuk ke dalam bilik menjenguk Qusyairah. Dia mendekati Qusyairah yang duduk tunduk membelakangi pintu. Afina lantas memegang kedua-dua bahu Qusyairah.

“ Dik. Adik kena kuat ya. Ikhlaskan pemergian abah adik. Kakak tahu adik terkesan sangat. Tapi, kita kena ingat, abah adik dah ada di suatu tempat yang baik. Banyak-banyakkan berdoa  ya. Jaga kesihatan. Esok kakak dan abang Fikri datang lagi ke sini.”

Qusyairah memandang Afina. Segera dia memeluk Afina dan menangis sepuas hati. Qusyairah mencuba untuk hilangkan kekesalan itu. Dia sudah mulai menerima yang abahnya sudah tiada. Menangis air mata darah sekali pun, abahnya takkan kembali.



Seminggu Kemudian…

Awal pagi lagi Harraz sudah tiba di rumah Qusyairah. Sejak mereka pulang satu minggu yang lepas, Harraz akan singgah ke rumah Qusyairah kerana Thorique sentiasa ingin bersama Harraz. Semalaman Thorique menangis mencari Harraz dan jika Harraz membawa pulang Thorique ke 
rumah, Thorique mogok tidak mahu menyusu kerana mencari ibunya.

“ Susah hati makcik tengok kamu setiap hari ulang alik. Kesian makcik tengok.”

“ Alah. Tak apa. Rumah saya bukannya jauh pun. Lagipun kesian Thorique tu. Dia tak nak dengan orang lain.”

“ Saya pun dia tak nak bang.” Qusyairi menyampuk.

“ Hari ni kamu nak pergi mana ?”

“ Hari ni nak pergi ke rumah Imran. Lepas tu jumpa dengan mak ayah Rafiq. Makcik nak ikut sekali ?”

Puan Norazah menggeleng. Dia masih tawar hati jika teringatkan peristiwa Qusyairah difitnah. Mereka masih mempunyai hubungan yang baik cuma tidak serapat dahulu dan agak canggung sedikit.

“ Harraz. Makcik nak cakap sikit boleh ?”

“ Kenapa makcik ?”

“ Makcik cakap terus terang tak nak berkias. Makcik nak kamu menikah dengan Qusyairah. Makcik dah bincang benda ni dengan Ustazah Mashitah. Dia pun setuju. Selain daripada tak nak mendengar bualan orang kampung, makcik yakin kamu boleh jaga Qusyairah. Kalau arwah abah Qusyairah ni masih hidup, dia pun nak benda yang sama. Kalau kamu setuju, nanti makcik minta Fikri tolong urus. Kalau boleh sebelum kamu berdua kembali ke Indonesia.”
Harraz hanya mendiamkan diri membiarkan Puan Norazah menghabiskan bicaranya.

“ Makcik tahu. Makcik dulu pernah memutuskan pengharapan kamu kepada Qusyairah. Makcik terlalu yakin dengan pilihan makcik sewaktu itu, Qusyairah akan hidup bahagia. Makcik terlalu teruja nak bermenantukan Rafiq dulu sebab keluarga mereka keluarga terhormat tinggi darjat di kampung ni. Makcik terlalu yakin yang Rafiq mampu mencukupi segala keperluan Qusyairah. Qusyairah pada waktu itu menjadi seorang yang tidak tahu apa-apa tetapi akur sahaja dengan kehendak makcik. Sedangkan dia sewaktu itu dah menyatakan nak menikah dengan kamu setelah habis belajar. Bila dah jadi macam ni dan makcik dah lihat sendiri. Makcik kesal dengan sikap makcik yang terburu-buru sewaktu itu.”

“ Tak apalah Makcik. Benda yang lepas. Saya pun dah tak ambil kisah pasal tu. Yang penting kita jalani sahaja kehidupan kita ke hadapan.”

“ Kamu memang anak yang baik Harraz. Semoga apa pun jawapan kamu nanti membawa kebaikan kepada kita semua.”

Qusyairah sudah bersiap. Kebetulan dia mengenakan baju berwarna sama dengan Harraz. Jubah biru tua dan tudung labuh berwarna hitam. Ringkas tetapi kemas dan menampakkan seri wajah Qusyairah.

“ Thorique tu biar mak yang jaga. Kamu berdua pun banyak urusan kan ?”

“ Tak apa ke Mak ? Kak Long boleh je bawa Thorique.”

“ Tak apa. Mak pun nak bermain dengan cucu mak yang semakin semangat ni.”

“ Baiklah kalau macam tu. Kami pergi dulu ya Mak. Jom Qusyairi.”

“ Ya sekejap. Dah nak siap dah ni.”

Qusyairah membawa Qusyairi sekali untuk keluar bersama mereka. Selama ini, Qusyairah tidak pernah berurusan berdua dengan Harraz. Pasti ada Umar dan Irdina. Selagi dapat dielak berurusan berdua, Qusyairah dan Harraz akan mencuba. Kerana fitnah itu di mana-mana. Mereka juga sama-sama sedang memperbaiki diri mereka.

“ Kak Long dan Abang Harraz nak pergi ke mana dulu ?”

“ Terus pergi ke rumah Imran.” Ujar Harraz sambil melihat pada cermin belakang.
Qusyairah menyedari hal itu. Dia sudah bersedia setelah mengumpul kekuatan seminggu yang lepas. Perjalanan 45 minit ke rumah Imran dirasakan agak panjang. Qusyairah sempat terlelap. Harraz sedari tadi merenung ke arah skrin telefonnya. Qusyairi pula tetap fokus dengan pemanduannya.




45 minit kemudian…

Kediaman yang mewah kelihatan suram dan sugul. Seluruh keluarga Imran berkumpul di kediaman tersebut termasuklah ibu dan bapa Rafiq. Rafiq sahaja yang tiada kerana sudah berlepas ke Mesir untuk sesi pengajian Sarjana.

“ Qusyairah.” Bekas ibu mertuanya memeluknya. Qusyairah menyambut seadanya. Dalam hal ini meskipun ibu mertuanya tidak bersalah, tetapi dia berasa canggung untuk bermesra berlebih-lebihan.

“ Anak Qusyairah tak bawa sekali ?” Tanya Tuan Hj Ahmad Syukri dengan hormat. Meskipun dia tahu bahawa Thorique itu cucunya yang sah, tetapi, demi menghormati perasaan Qusyairah, dia hanya membahasakan anak tersebut dengan gelaran anak Qusyairah.

“ Tak. Di rumah dengan mak.”

“ Kalau Qusyairah izinkan, mak dengan abah nak jumpa cucu kami. Tapi, kami tak paksa.”

“ Boleh. Nanti kalau ada kesempatan saya bawa ke rumah abah dan mak.” Ujar Qusyairah dengan sopan. Meskipun hubungannya dan Ahmad Rafiq sudah terputus untuk selama-lamanya, namun bekas mertuanya masih dianggap sebagai ibu dan bapa sendiri untuk selama-lamanya.

“ Alhamdulillah. Terima kasih Qusyairah sebab sudi datang ke sini. Terima kasih juga sebab beri peluang kepada kami untuk tebus kesalahan kami.”

Setelah itu, Qusyairah di bawa untuk bertemu dengan ibu bapa Imran. Terdapat sedikit perbualan antara mereka sebelum Qusyairah masuk ke dalam bilk Imran ditemani oleh Harraz dan kedua ibu bapa Imran.

“ Macam ni lah keadaan anak kami selama berbulan-bulan. Pelbagai ikhtiar dah kami usahakan. Tapi tetap begini. Dengan rendah diri, kami sebagai orang tua Imran, meminta untuk Qusyairah memaafkan Imran. Kami redha selepas ini jika dia dapat pergi dengan tenang. Dah tak sanggup nak tengok dia terseksa macam tu.” Kasihan Qusyairah melihat bapa Imran merayu. Meskipun berat hatinya, namun bila difikirkan semua, ada kemungkinan Imran jadi seperti itu kerana sikap Qusyairah di masa yang lepas.

“ Imran. Aku dah bawa Qusyairah datang.” Ujar Harraz berbisik kepada Imran. Mata dan mulutnya yang terbeliak membuatkan Imran tidak dapat bertutur dengan jelas.

“ A…….kuuuuuu…” tercungap-cungap Imran berkata-kata.

 “ Sa..lah aku… besar. Aku dah hancurkan hidup orang lain. Akuuu…. dah fitnah kau…..dan Harraz….Aku dah buat… anak… kau jadi….anak yatim…Aku tahu tak cukup dengan maaf…. Tapi aku betul…betul….nak minta maaf…..sebelum aku…..pergi…”

“ Aku dah maafkan kau Imran. Aku nak minta maaf jugak kalau.. kalau aku pernah bersalah dengan kau dulu. Aku tahu, aku pernah lukakan hati kau.” Qusyairah tidak dapat menahan tangisnya. Dia terduduk. Bekas ibu mertuanya memeluknya dari belakang memberi kekuatan agar Qusyairah tidak rebah.

“ Aku….dah lupakan… hal itu… Yang penting sekarang… Maaf aku…dah diterima….Sampaikan maaf aku sekali lagi kepada… Rafiq…..” Nafas Imran tersekat-sekat. Ahmad Rafiq hampir membunuhnya sewaktu dia mengakui segala silapnya.

“ Kau tahu tak kau dah hancurkan rumah tangga aku Imran… Kau fitnah isteri aku…Aku sangka kau orang yang boleh dipercayai…Tapi aku tak tahu perangai kau keji macam ni….Lebih baik kau mati je.”

“ Cik Rafiq, maafkan Imran. Imran sedar apa yang Imran buat tu salah. Maafkan Imran Cik Rafiq.”

“ Aku tak tahu nak cakap apa lagi. Kalau diikutkan aku nak bunuh je kau.” Sedikit pergelutan berlaku dan dileraikan oleh Khairul, sepupu Imran.

“ Cik, sabarlah. Jangan buat Imran macam ni.”

“ Kau senang cakap macam tu. Buat aku macam tak ada perasaan. Kau tahu tak apa yang budak ni buat terlalu besar. Astaghfirullahalazim. Kalau tak disebabkan mak ayah kau tu sepupu aku, aku tak kan lepaskan kau.”

“ Cik, maafkan Imran Cik…”

“ Aku takkan maafkan kau selagi Qusyairah tak maafkan kau. Selebihnya aku serahkan kepada Allah.” Ujar Ahmad Rafiq sambil badannya ditahan oleh beberapa ahli keluarga yang lain.
 Imran menangis sepuasnya. Dia berasa lega sedikit dari kesakitan setelah dimaafkan oleh Qusyairah. 
Sementara itu, Harraz dan Khairul tetap duduk bersama Imran di dalam bilik.

“ Aku nak solat. Tolong aku. Lepas ni tolong aku mengaji. Dah lama aku tak mengaji.”

Entah mengapa hari itu Khairul dan Harraz sama-sama tidak dapat menahan sebak. Terbayang segala kenangan mereka sejak mereka bersama-sama menuntut di madrasah sebelum melanjutkan pelajaran mereka ke Indonesia.

 Imran. Kau sabar eh. Aku akan tolong kau.”

Persahabatan antara mereka tidak pernah usai meskipun ada sahaja rintangan dan cabaran. Meskipun Harraz berkecil hati dengan perbuatan Imran dahulu, tetapi dia mengenang kembali kebaikan Imran yang pernah membantu melunaskan yuran pengajiannya sewaktu wang zakat Harraz belum dapat diproses.


“ Jom, Harraz. Kita bantu Imran ke bilik air.” Khairul berhati-hati mengangkat Imran.
Dengan berair mata Khairul memeluk sahabatnya itu.

“ Aku nak kau kembali sihat dan berjuang. Dah lama kita tak main futsal sama-sama. Dah lama kita tak pergi daurah sama-sama. Aku akan tunggu kau, kita sama-sama wisuda. (*konvokesyen)”
Imran yang tak berdaya hanya menangis kerana sakitnya balasan daripada Allah dan juga kerana keikhlasan sahabat-sahabatnya yang tetap bersamanya walaupun keadaannya sudah tidak sihat.

Sahabat yang baik adalah sahabat yang ikhlas menerima baik dan buruk. Sahabat yang sering menasihati dan membimbing ke jalan yang baik berlandaskan agama menuju kebesaran Tuhan yang Maha Esa.





Qusyairah sedang bersenang-senang di atas katilnya. Thorique sudah ditidurkan terlebih dahulu. 
Sudah lama dia tidak membaca bahan bacaan yang ringan sebagai hiburan dalam mengisi masa lapang. Novel karya Nurulhuda Sofia berjudul Bertemu Cinta dibaca sejak tengahari tadi. Mengapa watak Damien Christ di dalam novel itu terasa dekat di jiwanya. Seperti sedang berbicara dengan Harraz.

Telefon Qusyairah berdering. Panggilan daripada Irdina melalui aplikasi WhatsApp dijawab.

“ Babe. Lama tak dengar cerita.”

“ Waalaikumsalam.”

“ Eh lupa. Assalammualaikum ostajah. Kau buat apa tu ?”

“ Waalaikumsalam Doktor. Aku tengah baca novel ni.”

“ Amboi. Untunglah cuti panjang. Dah settle semua.”

“ Alhamdulillah. Kau sihat ?”

“ Mestilah sihat. Lagipun aku kan doktor tak boleh sakit.”

“ Ya lah tu. Doktor Umar pun ada jugakkan. Sebab tu kau sihat memanjang.”

“ Awak dengan Ustaz Harraz tu apa pulak kurangnya.”

“ Merepek. Ni kenapa call ?”

“ Oh, barang-barang kau, aku dah kemas. Nasib baik tak banyak. Kitab-kitab kau pun aku dah masukkan dalam kotak. Kau datang sini, kau tinggal ambil je barang-barang kau.”

“ Terima kasih. Nanti kalau dah tamat kontrak sewa bilik kau, kau pindahlah bilik aku. Lagipun Rafiq dah bayar dah bilik tu untuk setahun. Tak perlulah kau bayar lagi untuk bilik. Aku datang pun nanti untuk wisuda.”

“ Terima kasih Qusyairah. Jimat lah sikit dapat buat saving untuk kahwin.Cuti ni kau buat apa je ?”

“ Duduk rumah. Jaga anak. Kadang-kadang aku pergi ke madrasah keluarga Harraz. Sebab mereka dah nak buka untuk muslimah jadi Ummi Harraz minta tolong aku untuk buat silabus.”

“ Wah. Macam tak lama lagi tu. Jangan lupa jemput. Tapi kalau aku masih kat sini, aku tak dapat datanglah.”

“ Apalah kau ni. Memandai je.”

“ Ya lah. Jangan lukakan hati dia lagi Qusyairah. Aku yakin dan pasti kau tak buta. Kau tahu menilai. Harraz tu pun dah cukup baik. Bukan untuk kau sahaja. Tetapi untuk Thorique. Rafiq ada contact kau tak ?”

“ Ada dua hari lepas. Aku happy untuk dia. Sekurang-kurangnya dia dah mula move on dan Maisarah tu pun perempuan yang baik. Dia pun boleh jadi ibu tiri yang baik kepada Thorique.”

“ Umar yang kenalkan dorang dua. Semuanya macam kebetulan je kan ?”

“ Tiada kebetulan dalam dunia ni. Semuanya Allah dah tulis elok-elok. Kita sebagai manusia ni kena 
beriman kepada Qada’ dan Qadar.”

“ Ya lah Ustazah. Doakan untuk aku jugak ye, ustazah Qusyairah.”

“ InsyaAllah. Kau tak balik ke Malaysia ?”

“ Tak tahu lagi. Kalau aku balik ni, aku terus kahwin kot.”

“ Seriuslah ? Alhamdulillah.”

“ Jadi pengapit aku nanti tau. Boleh ? Majlis kecil je. Ikut kemampuan kita orang.”

“ Tak ada masalah. Yang penting baju kau sponsor.”

“ Boleh je. Eh, kau jangan lupa pesan aku. Jangan lukakan hati Harraz lagi. Orang seperti Harraz tu limited tau. Bukan semua orang boleh jadi macam Harraz.”

“ Baiklah doktor love. Aku nak sambung baca novel ni. Assalammualaikum.”

“ Waalaikumsalam.”




Dua bulan kemudian…

“ Takkan secepat ni Papa. Dina belum lagi pergi kursus kahwin. Banyak benda nak kena sedia.”
Keluarga Irdina dan Umar mengadakan mesyuarat di rumah Irdina untuk menetapkan tarikh perkahwinan mereka. Qusyairah dan Harraz juga ada bersama.

“ Tapi kalau boleh Papa nak secepat mungkin. Ustaz Harraz, Ustazah Qusyairah, ada jalan penyelesaian yang lain tak ?”

Qusyairah dan Harraz saling berpandangan. Mereka sama-sama berfikir untuk mencari solusi.

“ Kursus Kahwin boleh diambil sekurang-kurangnya sebulan sebelum menikah. Tentang yang lain,boleh settle dalam masa dua minggu. Ya, Qusyairah ?” Harraz menjawab.

“ Ya. Nanti saya tanya abang Fikri. Sekarang ni pun dah ada temuduga untuk menikah.”

“ Ha. Bagus kalau macam tu. Sekarang ni kita dah boleh decide bila Umar dan Irdina boleh dinikahkan. Saya bukannya apa. Selepas ni mereka kena uruskan hal pengajian mereka ke hulur ke hilir. Saya tak nak membiarkan mereka keluar berdua.”

“ Saya setuju Tuan. Semakin cepat semakin elok. Majlis pun kita buat sekali je. Sebab kita pun tinggal satu daerah jugak.”

“ Tapi banyak benda lain lagi nak urus.” Irdina masih risau.

“ Tak apa. Kak Long, Abang Ngah, boleh tolong.” Dari jauh kakak sulung Irdina bersuara. Semuanya memberi sokongan. Umar hanya tersenyum kerana bakal kakak ipar dana bang iparnya membantu memudahkan rancangan pernikahan mereka.

“ Nanti majlis kita gabung sekali dengan majlis kakak susuan Umar, Maisarah.”

“ Boleh. Lagi ramai lagi meriah.”

“ Alhamdulillah. Sekarang dah sepakat lah ya. Hujung bulan ni.”

“ Setuju.” Tiba-tiba suara Umar memecah kesunyian.

“ Amboi, bukan main gelojoh ya. Tak apa. Papa suka sebab Umar yakin.”
Masing-masing berseloroh. Tergambar kesyukuran dan kegembiraan pada wajah Irdina dan Umar. Qusyairah memeluk sahabatnya dan berkongsi kegembiraan yang sama.

“ Aku doakan selepas ni kau dan Harraz cepat-cepat menyusul tau.”
Irdina berbisik. Qusyairah melepaskan pelukan Irdina dan matanya bertentang dengan pandangan Harraz yang kemudian laju-laju mengalihkan pandangan.
Keliru atau masih takut meluah rasa ?




Majlis perkahwinan Umar dan Irdina serta Maisarah dan Ahmad Rafiq berjalan dengan lancar. Meskipun majlis dibuat kecil-kecilan sesuai dengan permintaan pengantin, tetapi ramai tetamu yang hadir untuk memeriahkan majlis tersebut. Qusyairah dan Harraz mengenakan baju berwarna sedondon iaitu berwarna coklat.

Qusyairah bersalaman dengan Maisarah. Seorang yang menggantikan tempatnya. Semoga nanti Ahmad Rafiq lebih menghargai Maisarah. Sudah tertulis hidupnya bukan bersama Ahmad Rafiq.

“ Semoga Abang dan Maisarah bahagia dunia dan akhirat. Qusyairah selalu mendoakan agar abang bahagia.” Satu persatu perkataan dilafaz. Walaupun hatinya terasa sebak kerana teringatkan peristiwa yang sudah berlalu lebih dari setahun, Qusyairah cepat-cepat mengawal perasaannya kerana tidak mahu merosakkan majlis.

“ Terima kasih atas doa Qusyairah. Jaga Thorique baik-baik. Abang pun mendoakan agar Qusyairah dikurniakan kehidupan yang sakinah mawaddah dan wa rahmah selepas ini dengan sesiapa pun.” 
Ahmad Rafiq membalas ucapan Qusyairah. Sejujurnya dia berasa terharu dengan doa Qusyairah dan dia akan memperbaiki sikapnya agar perkara yang lepas tidak berulang.

“ Maisarah. Terima kasih sebab sudi menerima Thorique sebagai masa lepas kami.” Qusyairah lantas memeluk Maisarah.

“ Mai janji supaya kita sama-sama dapat menjadi ibu yang baik untuk Thorique. Terima kasih di atas doa Qusyairah.”

Mereka sempat bergambar bersama dan Thorique telah didukung oleh Ahmad Rafiq. Walaupun banyak mata-mata yang memandang, mereka tidak mempedulikan itu semua. Nama Qusyairah juga telah bersih walaupun masih kedengaran suara orang yang mengata.

Keadaan kesihatan Imran semakin sihat. Namun, dia masih duduk di atas kerusi roda dan menghadiri majlis perkahwinan tersebut. Ramai sahabat-sahabat seangkatan mereka yang juga belajar di Bandung, Surabaya, Malang, Jakarta menghadiri majlis tersebut. Mereka gembira melihat Imran sudah semakin pulih.

“ Kau balik tak sem ni nanti ?”

“ Mestilah balik. Aku kan nak join Bandung  Games nanti. Kalau aku tak join, Surabaya tak menang.” Tutur Imran bersahaja.

“ Eleh. Malang pun hebat jugak okay.” Harraz mempertahankan pasukan futsal dari Malang.

“ Kalau Malang bertuah. Ni asyik ‘malang’ je.” Khairul bergurau. Harraz pula acah-acah menumbuk Khairul. Dia gembira kerana persahabatan mereka pulih seperti sedia kala.

 Lampu-lampu yang dipancarkan pada kain putih menyerlahkan keceriaan dalam majlis. Walaupun dihias ringkas, para tetamu tetap sahaja dapat mengabadikan kenangan mereka di hari terindah buat Irdina dan Umar serta Ahmad Rafiq dan Maisarah. Semua saudara mara saling berkenalan dan mengeratkan silaturrahim sesama mereka.

“ Sekarang kita mempersembahkan kumpulan nasyid  untuk mempersembahkan lagu Acapella mereka iaitu Kasih Kekasih. Kita mempersilakan Ustaz Harraz dan sahabat-sahabatnya.”
Harraz terkejut kerana namanya dipanggil tiba-tiba. Langsung dia memandang Umar. Memang Umar sengaja mengenakan Harraz. Harraz naik ke atas pentas kecil bersama Umar dan Khairul. Mujur lagu itu sentiasa dinyanyikan sewaktu masa lapang mereka.

“ Kau lead Harraz. Kita orang tak hafal.” Khairul berterus terang. Hendak harapkan Umar, suara dia kadang-kadang lari pitching.

“ Tak perlu.. Aku ragui.. Sucinya Cinta yang kau beri.. Kita Saling kasih mengasihi.. Dengan setulus hati…”

Semua tetamu bertepuk tangan. Suara Harraz memang merdu. Merdunya sama seperti ketika dia melaungkan azan dan mengaji Al Quran.

“ Ayah ibu merestui. Menyarung, cincin dijari. Dengan rahmat dari Ilahi, Cinta kita pun bersemi…”

“ Sebelum, diijabkabulkan syariat, tetap membataskan…. Pelajari, ilmu rumah tangga… Agar kita… lebih bersedia… Menuju hari yang bahagia,…”
Mata Harraz sempat melirik kepada Qusyairah yang duduk bersama Irdina di hadapan pentas sebelum menyanyikan korus.

“ Kau Tahu Ku Merinduimu, Ku Tahu Kau Menyintaiku…Oh…Kasih….Bersabarlah Sayang …Saat Indah Kan Menjelma Jua…..Kita Akan Disatukan…Dengan Ikatan Pernikahan…Oh..Kasih”.

“ Qusyairah. Dia dah propose kau tu. Bila lagi ?”  Irdina berbisik sambil mencuit bahu Qusyairah.
Ahmad Rafiq yang dari jauh juga tersenyum.  Sebagai seorang insan yang sentiasa memandang ke hadapan, dia mahukan Qusyairah juga bahagia seperti dia kini. Tiada kata kembali untuk masa yang lepas kerana masa hadapan adalah peluang kita untuk menjadikan kehidupan kita lebih baik.

“ Sebab abang menghormati Qusyairah, abang kena beritahu. Tak lama lagi, abang akan menikah dengan seseorang wanita pilihan abang sendiri. Antara kita juga dah tiada apa-apa di mana masing-masing kita harus meredhakan apa yang dah berlaku. Untuk kehidupan yang lebih baik, abang harap Qusyairah carilah seseorang yang dapat melindungi Qusyairah dalam seluruh kehidupan Qusyairah. Pilihlah lelaki yang baik akhlak dan agamanya agar dapat membimbing Qusyairah dan Thorique nanti. Sesiapa pun pilihan Qusyairah nanti, abang doakan yang terbaik.”
Kata-kata Ahmad Rafiq sebelum meninggalkan Kota Malang terngiang-ngiang di telinganya. Adakah ini masa yang sesuai untuk dia menerima Harraz sepenuh hatinya ? Qusyairah menjadi tidak keruan.

“ Dik…” Afina dan Fikri mendekati Qusyairah. Dia tahu isi bicara mereka.

“ Abang boleh tolong kalau Qusyairah nak.” Fikri mengusik.
Qusyairah masih malu-malu dan keliru. Bukannya apa. Harraz tidak pernah katakan apa-apa sejak mereka pulang ke Malaysia sewaktu kepergian arwah abahnya. Adakah Harraz sudah mempunyai pilihan yang lain ? Qusyairah semakin keliru.



Majlis perkahwinan berakhir pada jam 10:30 malam. Oleh kerana kediaman Harraz dan Qusyairah terletak jauh daripada kediaman keluarga Irdina, mereka telah disediakan bilik masing-masing. Bilik Harraz terletak di tingkat tiga, manakala bilik Qusyairah di tingkat dua.

Pada tengah malam, Qusyairah tidak dapat tidur kerana asyik memikirkan tentang Harraz. Sehingga dia berasa ingin menjerit namun apabila mengenangkan dia sedang berada di rumah orang, Qusyairah mengawal perasaannya. Mujur Thorique dijaga oleh ibu bapa Ahmad Rafiq yang sukarela mahu menjaga Thorique.

Tiba-tiba tekaknya menjadi haus. Qusyairah menyarungkan tudungnya untuk ke dapur di tingkat satu. 

Perlahan-lahan langkahnya diatur kerana tidak mahu seluruh isi rumah terganggu dengan pergerakannya.

“ Auch….” Jerit Qusyairah perlahan.

Qusyairah terjatuh. Kepalanya sakit kerana terhantuk.  
“ Awak buat apa malam-malam ni ?”

Ternyata kepalanya terhantuk pada dahi Harraz yang tunduk melihat anak tangga.
“ Saya haus. Nak minum air. Awak ?”

“ Baru dari dapur jugak.”

“ Okay. Saya pergi dapur dulu.”

“ Ya. Saya naik atas dulu.”
Ringkas sahaja perbualan mereka. Tidak sampai satu minit.

“ Harraz ni tak ada nak cakap apa-apa ke kat aku ?” Qusyairah bermonolog sendiri. Kemudian dia berpaling. Terkejut Harraz ada di belakangnya berjarak dua meter.

“ Oh mak kau. Awak tak naik atas lagi ?”

“ Saya nak hantar gelas.”

“ Oh. Saya naik atas dulu.” Qusyairah segera beredar. Dia tidak pasti sama ada yang Harraz terdengar atau tidak monolognya.

Lima minit kemudian….
2 Mesej diterima..

Qusyairah yang baru sahaja melelapkan matanya terbangun kerana mendengar nada dering telefonnya. Dua mesej diterima daripada Harraz.

HARRAZ  : Assalammualaikum
HARRAZ :  Esok kita balik dan saya akan bawa ummi untuk bincang dengan mak awak tentang kita. Selamat malam.

Beberapa kali Qusyairah membaca mesej tersebut. Matanya terus segar dan tersenyum tanpa henti. Qusyairah tidak membalas mesej tersebut. Dia tahu, kebiasaan Harraz yang menamatkan perbualan dengan ucapan selamat malam. Tambahan pula hari dah lewat malam.

“ Simple but sweet.”

Itulah Harraz.




Dua bulan kemudian..
Gedugul, Bali

Sebaik sahaja melangkah melepasi pintu masuk, Qusyairah terkesima melihat keindahan yang terbentang di hadapannya.

“ Subhanallah. Macam lukisan.” Qusyairah memuji. Dia berasa sangat tenang melihat keadaan danau yang berkabus. Walaupun ada yang tidak kelihatan, keadaan mendung seperti ini membuatkan Qusyairah senang. Tidak pernah dia terbayang untuk menjejakkan kaki ke Bali bersama insan kesayangannya. Insan yang dipilih Allah untuk bersamanya.

“ Lukisan Allah. Sehebat-hebat ciptaan Allah, Hebat lagi Yang Menciptakan segalanya.” Ujar Harraz.

“ Cantiknya seni bina kat sini. Ambil gambar saya.”

Harraz menurut sahaja. Dia seronok kerana kini dia punya teman kembara yang serasi.

“ Kalau awak perasan, dalam wang kertas RP 50.000 ada monumen ni. Tapi kenapa awak tak ada dalam wang kertas ni ?”

“ Awak ni.. Tanya soalan tak logik.” Qusyairah malas melayan Harraz.

 “ Sebab awak ada dalam hati saya. Cia cia cia…” Qusyairah  sudah mengagak idea nakal Harraz yang mahu mengenakannya.

Beberapa gambar sempat diambil oleh Harraz. Dia suka melihat ekspresi Qusyairah yang bersahaja.

“ Awak,  jom selfie. Saya nak update di Instagram saya.” Pinta Qusyairah.
Harraz mengikut sahaja. Ini pertama kali mereka bergambar berdua. Sewaktu majlis pernikahan mereka, semua gambar tidak sempat disimpan kerana kamera Fikri yang digunakan untuk merakam hari bahagia mereka hilang selepas kereta Fikri dipecah.

“ Okay, satu, dua, tiga….” Ujar Harraz. Setelah itu mereka merakam detik indah mereka tanpa mempedulikan orang sekeliling. Mereka seperti berada di dunia mereka sendiri.

“ Awak. Awak sayang saya tak ?” Soalan Qusyairah membuatkah Harraz terhenti daripada pekerjaannya.

“ Kenapa tanya macam tu.”

“ Saja. Tak ada soalan nak tanya.”
Hujan rintik-rintik mulai membasahi mereka. Qusyairah dan Harraz berjalan ke tempat berteduh. Hanya ada mereka berdua.

“ Pada awak, definisi sayang tu apa ?” Tanya Harraz.

“ Saya tak pasti.”

“ Dah tu, awak tanya, awak sayang saya tak.”

“ Mestilah sayang.”

“ Explain ?”

“ Saya tak tahu, macam mana saya boleh suka awak. At first saya kagum dan hormat kepada awak. Awak tak macam typical student agama. Awak simple. Dari luaran nampak biasa, tapi sebenarnya awak lebih menjaga. Awak seorang yang amanah dalam menjaga kerahsiaan dan harta benda.  Awak baik. Awak bijak. Saya tak risau kalau saya ada anak nanti sebab ayah dia bijak dan penuh ilmu agama di dada.”

“ Bukan sebab saya handsome ?”

“ Kalau saya nak yang handsome saya dah lama pilih Umar, awak. Sebab muka dia macam Oppa Korea.”

“ So saya tak handsome lah. Tak apa. Artis Korea lebih handsome.”

“ Tapi awak good looking. Kalau tengok awak, saya rasa tenang. Lama tau, saya nak confirmkan perasaan saya. Sama ada saya hanya suka biasa, kagum atau cinta.”

“ Sekarang ?”

“ Mestilah cinta. Dan, kalau awak tanya saya, saya suka awak tak ? Bukan setakat suka. Tapi sayang.” Kepalanya direbahkan di bahu Harraz. Mata mereka bertentang.

“ Awak pulak. Apa definisi awak tentang sayang ?” Qusyairah menambah pertanyaan.
Harraz mengalihkan tubuhnya. Mereka duduk berhadapan. Kedua-dua tangannya diletakkan pada kedua-dua pipi Qusyairah.

“Sayang itu tandanya tak boleh hidup tanpa, tak lengkap hidup tanpa yang saya raih dari rasa percaya, selesa dan hormat.Tak pernah perlukan penjelasan dan tak pernah perlukan sebab konkrit. Dan selarinya itu dengan lisan yang tersekat. Sukar diluahkan kerana mungkin terhalang pada ego dan ketidakpastian tetapi sayang itu tidak dapat disembunyikan dari senyum, cara menyantuni, cara menghormati, serta pemberian sepenuh hati.”

“ Sweetnya awak. Terharu saya.”
“ Ni baru sikit. Dari semester dua tau saya simpan.”
“ Jadi 7 Semester Mencintaiku ?”
“ Tak. Hari-hari mencintaimu.”
“ Amboi. Bersemut sebab sweet sangat.”
“ Terima kasih.”
“ Terima kasih jugak.”

Hujan semakin deras. Oleh kerana tiada payung, Harraz dan Qusyairah hanya menunggu sehingga hujan reda. Tangan mereka digenggam sesama sendiri. Sama-sama mereka menyulam cinta. Banyak ujian menimpa mereka. Pernah dahulu masing-masing memikirkan bahawa mereka tiada harapan untuk bersama. Harraz patah hati dan Qusyairah jiwanya rapuh kerana cintanya yang lepas tidak menjanjikan kebahagiaan.

Pernah Qusyairah meminta bersungguh kepada yang Maha Esa agar dia disatukan dengan insan bernama Harraz Iman bin Muhammad dan meminta Allah menemukan mereka dalam masa yang sesuai.

Mungkin detik ini adalah detik yang sesuai. Di mana Allah telah menciptakan Qusyairah untuk Harraz dan Harraz untuk Qusyairah.

Irdina untuk Umar dan Umar untuk Irdina.

Ahmad Rafiq yang pernah merasa gagal dalam hidupnya ditemukan dengan seorang wanita yang mampu menerima apa adanya Ahmad Rafiq termasuklah kenangan masa silamnya. Maisarah sudah dianggap sebagai seorang kakak kepada Qusyairah. Masing-masing mencuba untuk menjadi ibu yang terbaik untuk Thorique.

Takdir Allah tak pernah salah. Tiada kata kembali kepada masa yang lepas namun, kebahagian hari esok itu masih boleh dicipta. Kuncinya cuma satu.

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (QS. Ibrahim [14]: 7)

“ Antara kita mungkin tiada kata kembali pada masa yang lepas tetapi tiada kata terlambat untuk kita sama-sama memulakan kebahagiaan baru.”

Dahi Qusyairah dikucup hangat. Puitis kata-kata Harraz hanya dia sahaja yang boleh tafsirkan. Kerana cinta Harraz hanya untuknya dan cinta Qusyairah hanya untuk Harraz.



1 comment: